M'sia catat 19,807 kes baru COVID-19; hampir 83% belum lengkap atau tidak divaksin
Kes harian COVID-19 di Malaysia hari ini (22 Ogos) mencatat sebanyak 19,807 kes, turun sedikit berbanding 22,262 kes semalam.
Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksinasi di Seri Kembangan. (Gambar fail: REUTERS)
KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 di Malaysia hari ini (22 Ogos) mencatat sebanyak 19,807 kes, turun sedikit berbanding 22,262 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 1,555,093 kes.
Selangor terus menjadi negeri yang merekodkan jangkitan baru tertinggi dengan 5,379 kes, katanya melalui laman Twitter.
Selain Selangor, negeri lain yang turut merekodkan kes jangkitan tinggi ialah Sabah dengan 2,638 kes diikuti Kedah (1,948), Sarawak (1,772), Pulau Pinang (1,501), Johor (1,391) dan Kelantan (1,196).
Sementara itu, sebanyak 999 kes direkodkan di Kuala Lumpur, Perak (703), Pahang (598), Melaka (558), Terengganu (534), Negeri Sembilan (508), Perlis (54), Putrajaya (24), dan Labuan (empat).
Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa 1,026 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 496 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Beliau turut mendedahkan bahawa kes sembuh mencatatkan 18,200 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh terkini sebanyak 1,278,670, manakala kes aktif kini 262,255.
HAMPIR 83% KES BARU BELUM LENGKAP ATAU TIDAK DIVAKSIN
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan itu, daripada 19,807 kes hari ini, sebanyak 343 kes atau 1.7 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala lagi 19,464 kes terdiri daripada kategori satu dan dua.
Katanya secara keseluruhan, 16,368 kes atau 82.6 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Mengenai kes kematian baru, beliau berkata 232 kematian dilaporkan melibatkan 201 warga tempatan dan 31 bukan warga dengan 43 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).
Mengenai 24 kelompok baru yang dikesan Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata 12 daripadanya melibatkan tempat kerja, 11 komuniti dan satu kelompok kumpulan berisiko tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.