Skip to main content

M'sia beri kelonggaran kepada individu lengkap divaksin berkuat kuasa 10 Ogos

Kerajaan Malaysia bersetuju untuk memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang sudahpun menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 10 Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia beri kelonggaran kepada individu lengkap divaksin berkuat kuasa 10 Ogos

Dua individu mendapatkan vaksin COVID-19 AstraZeneca di sebuah pusat vaksinasi di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 5 Mei 2021. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 08 Aug 2021 05:57PM Dikemas Kini : 08 Aug 2021 06:00PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju untuk memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang sudahpun menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 10 Ogos.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata menerusi kemudahan itu, pasangan suami isteri hidup berjauhan yang sudahpun melengkapkan vaksinasi mereka dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing. 

Selain itu, Encik Muhyiddin berkata ibu bapa yang sudahpun melengkapkan vaksinasi mereka juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak-anak bawah umur 18 tahun.

"Pengembara warganegara dan bukan warganegara, yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk Penduduk Tetap dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital," ujar beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam pengumuman khas, yang disiarkan di stesen televisyen tempatan, berhubung kemudahan-kemudahan bagi individu yang sudahpun menerima vaksinasi lengkap.

Encik Muhyiddin menjelaskan seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang sudahpun melengkapkan vaksinasinya apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mestilah sudahpun melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan untuk diktiraf sebagai telah melengkapkan vaksinasinya.

Memahami permintaan orang ramai yang ingin kembali menunaikan solat di masjid dan surau, Encik Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan bagi jemaah yang sudahpun menerima vaksinasi lengkap dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam PPN.

Beliau berkata pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan memastikan jemaah terus pulang setelah selesai menunaikan solat.

“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

”Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat dan ia tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri serta Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” ungkap beliau. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita