Lonjakan kes COVID-19 sudah 'dijangka' tetapi peningkatan mendadak 'membimbangkan', kata Gan Kim Yong
Bilangan kes COVID-19 yang meningkat memang sudah dijangkakan sedang Singapura membuka semula ekonominya. Namun, lonjakan mendadak "membimbangkan", kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) Gan Kim Yong pada Jumaat (10 Sep).
SINGAPURA: Bilangan kes COVID-19 yang meningkat memang sudah dijangkakan sedang Singapura membuka semula ekonominya. Namun, lonjakan mendadak "membimbangkan", kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) Gan Kim Yong pada Jumaat (10 Sep).
Beliau menarik perhatian jumlah kes harian naik seganda sejak minggu lalu dengan 450 kes jangkitan baru dilaporkan pada Khamis.
“Walaupun kami menjangkakan peningkatan dalam bilangan kes setiap hari apabila kami membuka semula (ekonomi), kadar kenaikan yang mendadak merisaukan," kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
“Meskipun kadar vaksinasi kita sudah menjangkaui banyak negara dan adalah yang tertinggi di dunia, kami mahu memastikan jumlah kes tidak akan melonjak secara mendadak, yang akan membawa kepada lebih banyak kes serius dan kemudian, membebankan sistem jagaan kesihatan kita."
Ini adalah kali pertama Singapura mengalami "peningkatan pesat" gelombang jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.
Negara-negara seperti Israel dan United Kingdom (UK) sudahpun menyaksikan lonjakan mendadak pada kes koronavirus selepas melonggarkan langkah-langkah COVID-19 walaupun dengan perlindungan vaksinasi yang tinggi, ujar Encik Gan.
“Maka itu, kami mengambil pendekatan berhati-hati dan mengambil masa lebih panjang untuk berasa yakin bahawa jumlah kes harian yang tinggi tidak akan membawa kepada jumlah kes serius atau kematian yang tinggi," tambahnya.
"Oleh itu, tempoh dua hingga empat minggu akan datang adalah genting untuk melihat sama ada pesakit akan akhirnya mengalami penyakit serius dan komplikasi."
Setakat Khamis, 664 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital - 26 daripadanya menghidap sakit teruk dan memerlukan sokongan oksigen di wad am. Lagi tujuh pula berada dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU), kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak.
“Kami faham bahawa kenaikan pantas dalam jumlah kes jangkitan telahpun mencetuskan keprihatinan dan keresahan dalam kalangan penduduk kami," kata Encik Gan. Beliau menarik perhatian langkah-langkah yang diumumkan awal minggu ini bertujuan untuk memperlahankan lonjakan kes jangkitan.
“Sedari itu, terdapat juga soalan-soalan tentang sama ada Pemerintah akan berganjak dari rancangan asal untuk membuka semula (ekonomi) walaupun kadar vaksinasi kami yang tinggi," tambah beliau.
“Meskipun saya faham ramai akan memilih laluan terus untuk mencapai daya ketahanan COVID-19, kami sudahpun mengatakan sebelum ini kita harus menjangkakan beberapa kerumitan dan perubahan pada arah yang diambil memandangkan sifat virus ini yang tidak boleh diramalkan. Maka itu, kita perlu bersedia menghadapi jalan yang berliku-liku dan membuat penyesuaian sepanjang jalan untuk hidup dengan COVID-19."
Memandangkan keadaan sekarang, terdapat keperluan untuk mengambil satu langkah berwaspada, kata pengerusi bersama Lawrence Wong.
“Tidak lama lagi, kita menjangka akan mencapai 1,000 kes sehari. Dalam masa beberapa minggu, kita mungkin ada sehingga 2,000 kes baru sehari," ujarnya.
“Inilah sebabnya kita perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam keadaan sekarang dan memastikan kita menyesuaikan diri secepatnya kepada keadaan jangkitan yang cepat berubah-ubah."
KEMAS KINI PROTOKOL KESIHATAN, SUNTIKAN DOS KETIGA
"Tugas paling segera" adalah untuk menyusun semula protokol jagaan kesihatan supaya Singapura boleh menangani tahap jangkitan sekarang, menurut MOH dalam kenyataan medianya.
Ini termasuk meningkatkan ujian seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Ini terutamanya penting untuk mengelakkan lonjakan jumlah kes," kata Encik Gan. "Ini juga penting bagi perniagaan kerana jangkitan yang dikesan awal kurang berkemungkinan akan menyaksikan kelompok besar, yang akan sebaliknya mewujudkan gangguan teruk kepada operasi perniagaan."
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menekankan peri pentingnya vaksinasi dengan mengatakan ada "bukti kukuh" bahawa ia melindungi orang ramai terhadap sakit teruk.
Suntikan ketiga juga diumumkan bagi warga tua berusia 60 tahun ke atas dan penghuni di kemudahan jagaan orang tua yang sudahpun selesai menjalani rejim vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
"Seberapa boleh, kami tidak mahu berganjak daripada rancangan peralihan asal kami," kata Encik Ong.
"Kami perlu memantau rapi insiden-insiden sakit teruk dan kematian dalam dua, tiga, empat minggu akan datang. Jadi marilah kita mengharungi gelombang ini dahulu sebelum kita memulakan langkah lanjut untuk membuka semula.
"Buat masa ini, kami tidak akan berganjak daripada rancangan asal, kami masih mahu meneruskan perjalanan peralihan kami. Tetapi kita tidak akan tergesa-gesa, kita beri respons secara aktif, melihat dan memantau."
Dalam kalangan kes yang terkena jangkitan, peratusan kes belum divaksin yang jatuh sakit teruk atau meninggal dunia adalah 5.2 peratus manakala mereka yang lengkap divaksin adalah 0.8 peratus, kata Prof Madya Mak.
“Ini bermakna jika anda masih belum divaksin sepenuhnya terhadap virus COVID-19, anda berkemungkinan 6.5 kali lebih tinggi akan mengalami jangkitan teruk berbanding individu yang lengkap divaksin," terangnya.
Kes tempatan baru yang naik seganda setiap minggu menunjukkan penularan COVID-19 berterusan dalam masyarakat telahpun berlaku apabila langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dilonggarkan, kata Prof Madya Mak.
Dengan lebih banyak interaksi sosial dibenarkan berlaku, MOH mendapati penularan COVID-19 di tempat kerja, persekitaran sosial dan rumah, menyumbang kepada kelompok besar seperti di Bugis Junction serta pusat-pusat pertukaran bas.
“Penularan ini mungkin dimudahkan dengan interaksi fizikal yang dekat dan tanpa memakai pelitup antara individu serta dalam kalangan kumpulan," kata Prof Madya Mak.
“Terdapat juga pelanggaran dalam langkah-langkah pengurusan selamat dan pematuhan lemah pada syarat memakai pelitup dalam sesetengah kes ini yang berkemungkinan menyumbang lanjut kepada penularan itu."
VARIAN DELTA
Buat masa ini, varian Delta adalah virus COVID-19 utama yang menyebabkan jangkitan dalam masyarakat, kata Prof Madya Mak, seperti yang didapati dalam ujian filogenetik kes sekarang ini.
Berbanding varian-varian lain yang dialami Singapura tahun lalu, varian Delta menyebabkan corak klinikal dan epidemiologi yang berbeza kepada jangkitan COVID-19 yang dihadapi sekarang, tambah beliau.
Virus Delta "amat berjangkit dan mudah menular" berbanding varian-varian lain yang ditemui dalam tempoh 20 bulan lalu, kata Prof Madya Mak.
Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) mendapati bahawa individu dijangkiti varian Delta mungkin mempunyai jumlah virus yang tinggi pada fasa awal jangkitan mereka, ujar Prof Madya Mak.
“Ini terutamanya bagi kes belum divaksin tetapi terkena jangkitan dan mereka mempunyai penyebaran virus yang lebih lama berbanding varian lain. Ini menyumbang kepada kenaikan kebolehjangkitan yang dapat dilihat dengan varian ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.