Skip to main content

Iklan

Iklan

Lelaki S'pura agih alat pemantauan elektronik SHN di Lapangan Terbang Changi antara 24 kes baru COVID-19

Seorang lelaki rakyat Singapura yang bekerja di Lapangan Terbang Changi untuk mengagihkan alat pemantauan elektronik kepada para pelawat yang dikehendaki menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik mereka tiba di sini adalah antara 24 kes baru COVID-19 di Singapura pada Ahad (7 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura agih alat pemantauan elektronik SHN di Lapangan Terbang Changi antara 24 kes baru COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 07 Feb 2021 11:16PM Dikemas Kini : 07 Feb 2021 11:20PM

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura yang bekerja di Lapangan Terbang Changi untuk mengagihkan alat pemantauan elektronik kepada para pelawat yang dikehendaki menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik mereka tiba di sini adalah antara 24 kes baru COVID-19 di Singapura pada Ahad (7 Feb), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lelaki berusia 43 tahun itu, yang buat masa ini tidak terkait dengan kes-kes lain, adalah satu-satunya kes jangkitan dalam masyarakat yang dilaporkan pada Ahad. Lelaki berkenaan digajikan oleh BGC Group. Beliau bertugas di Terminal 1 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

"Tugasnya termasuk mengagihkan alat pemantauan elektronik kepada para individu yang menjalani (Notis Jangan Keluar Rumah) di luar kemudahan-kemudahan yang diperuntukkan dan membantu mereka memakai alat itu. Semasa bertugas, beliau memakai pelitup, pelindung muka dan sarung tangan," menurut MOH.

Lelaki itu tidak bergejala. Jangkitannya dikesan setelah beliau menjalani ujian rutin berkala yang dijadualkan pada 4 Feb.

Beliau didapati positif COVID-19 pada 5 Feb dan dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada hari yang sama.

Ujian rutin yang dijalaninya sebelum ini, dengan kali terakhir beliau diuji pada 22 Jan, adalah negatif COVID-19.

Hasil ujian serologi lelaki itu adalah negatif, menunjukkan bahawa ia mungkin jangkitan baru, menurut MOH.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan.

Sementara itu, semua kontak rapat lelaki tersebut, termasuk anggota keluarga dan rakan-rakan kerjanya sudah diasingkan dan dikuarantin," tambah MOH.

KES IMPORT

Baki 23 kes adalah kes-kes import yang dikenakan SHN sejurus selepas mereka tiba di Singapura. Daripada jumlah tersebut, 21 tidak bergejala, manakala tiga kes yang lain menunjukkan simptom jangkitan.

Mereka termasuk dua warga Singapura dan seorang Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari Kanada, Habsyah, India dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Enam lagi adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India, Sepanyol, UAE dan Amerika Syarikat.

Lagi lima adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Sepanyol dan UAE.

Terdapat juga 8 pemegang pas kerja, yang tiba dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Filipina. Tiga daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Baki kes import adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk meneruskan pengajiannya di Singapura.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja asing.

SATU KES DALAM KEADAAN KRITIKAL

Lagi 28 kes COVID-19 sudah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih sepenuhnya seramai 59,433.

Terdapat 36 kes yang masih berada di hospital. Seorang daripada mereka dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi.

Lagi 201 kes sudah diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat sudah merosot dari tiga pada minggu sebelumnya kepada dua kes pada minggu lalu.

Jumlah kes yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga kekal stabil sebanyak dua kes setiap minggu sejak dua minggu lalu.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan