Lelaki S'pura 63 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19
Seorang lelaki Singapura berusia 63 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 sekali gus menjadi korban keempat koronavirus itu dalam masa lima hari.
SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura berusia 63 tahun meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 sekali gus menjadi korban keempat koronavirus itu dalam masa lima hari.
Lelaki berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Kes 67716, meninggal dunia pada Khamis (5 Ogos). Beliau belum menerima vaksinasi.
Lelaki tersebut mengalami demam dan batuk pada Selasa (3 Ogos). Beliau dibawa ke Hospital Khoo Teck Phuat pada Khamis selepas rebah di rumahnya. Beliau disahkan positif COVID-19 selepas kematiaannya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).
Beliau mempunyai sejarah penyakit jantung, angin ahmar, kencing manis melitus, darah tinggi dan kolestrol tinggi, tambah MOH.
Secara keseluruhannya, 41 orang sudah meninggal dunia akibat COVID-19 di Singapura.
93 KES TEMPATAN
Singapura melaporkan 93 kes baru tempatan setakat tengah hari Jumaat termasuk 29 jangkitan yang tiada hubung kait dengan kes-kes terdahulu.
Sebanyak 56 kes berkait dengan kes sebelumnya dan sudahpun dikuarantin. Lagi lapan kes yang berhubung kait pula dikesan melalui ujian pengawasan.
Satu daripada kes baru itu berusia lebih 70 tahun dan sudah menerima suntikan pertama vaksin serta berisiko menghidap penyakit serius, menurut MOH.
Selain itu, terdapat empat kes import dan kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sejurus tiba di sini. Semua kes dikesan sewaktu ketibaan mereka di Singapura.
Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 97 kes baru COVID-19 pada Jumaat.
LIMA KELOMPOK BARU
Lima kelompok baru COVID-19 dikenal pasti termasuk satu yang berhubung kait dengan pusat beli-belah Jem. Kelompok Jem itu mempunyai empat kes. Terdapat juga tiga kelompok baru berkait dengan perniagaan - syarikat katering makanan Elsie's Kitchen, kedai urut Nimble/Knead serta firma pembekal makanan Chee Song Frozen Foods.
MOH bagaimanapun tidak memberikan maklumat tentang baki kelompok baru yang dilaporkan pada Jumaat.
Sementara itu, enam lagi kes berkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim. Ini membawa jumlah keseluruhan kes kelompok itu kepada 1,134.Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.
Setakat Jumaat, terdapat 126 kelompok aktif COVID-19 di Singapura.
7 DI ICU
Menurut MOH, kebanyakan daripada 546 kes yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.
Terdapat 38 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan tujuh pesakit dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).
Daripada 45 kes itu, enam sudahpun lengkap divaksinasi. Dalam kalangan enam pesakit itu, lima memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala seorang memerlukan jagaan ICU kerana menghidap masalah perubatan sedia ada.
Seramai 35 orang berusia 60 tahun dan ke atas mengalami sakit tenat - 30 daripadanya sama ada belum divaksinasi sama sekali atau sudahpun menerima suntikan dos pertama.
"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti," menurut MOH.
Sepanjang 28 hari lalu, 85 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Daripada jumlah itu, 53 belum divaksinasi, 24 sudahpun menerima suntikan pertama dan lapan sudah lengkap divaksinasi.
Setakat Khamis, 67 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai menjalani rejimen vaksinasi lengkap mereka atau menerima dua dos vaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan. Sekitar 78 peratus sudahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Selain itu, 120,665 dos vaksin Sinovac sudahpun diberikan setakat Khamis, memberi perlindungan kepada 79,297 orang.
Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 671 kes pada minggu lalu berbanding 878 kes pada minggu sebelumnya.
Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga merosot kepada 203 kes pada minggu lalu dari 244 kes pada minggu sebelumnya.
Jumlah purata dalam tempoh tujuh hari bagi kes berhubung kait dalam masyarakat dan kes tidak berhubung kait dalam masyarakat masing-masing ialah 66.9 dan 29.
Secara berasingan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan tiga pasar dan pusat makanan yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong akan dibuka semula pada beberapa hari mendatang.
Pasar dan Pusat Makanan Haig Road akan dibuka semula hari ini (7 Ogos) manakala Pasar dan Pusat Makanan 448 Clementi akan dibuka esok (8 Ogos). Pusat makanan Boon Lay Place Food Village pula akan menyambung semula operasi pada Selasa (10 Ogos).
Setakat Jumaat, Singapura melaporkan jumlah terkumpul 65,605 kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.