Lelaki 62 tahun tidak divaksin maut akibat komplikasi COVID-19; 450 kes baru dalam negeri
Seorang lelaki berusia 62 tahun menjadi kes kematian ke-57 akibat jangkitan COVID-19 di Singapura, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (9 Sep).
Gambar fail: Gaya Chandramohan
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 62 tahun menjadi kes kematian ke-57 akibat jangkitan COVID-19 di Singapura, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (9 Sep).
Lelaki rakyat Singapura itu meninggal dunia angkara komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19 pada Isnin (6 Sep). Dikenali sebagai Kes 65636, lelaki itu belum divaksin dan mempunyai sejarah penyakit barah dan bronkiektasis, iaitu sejenis keadaan paru-paru.
Beliau dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) disebabkan oleh keadaan perubatan yang tidak berkaitan pada 20 Julai dan diuji positif COVID-19 pada keesokan harinya.
Singapura melaporkan 450 kes baru COVID-19 dalam negeri pada Khamis, termasuk 108 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Dalam kalangan 450 kes tempatan itu, 419 adalah kes dalam masyarakat dan 31 merupakan penghuni dormitori, menurut data Laporan Situasi COVID-19 MOH di laman webnya.
Terdapat juga tujuh kes import pada Khamis, membawa kes harian Singapura kepada sebanyak 457 kes.
2 KELOMPOK BESAR
Dua "kelompok besar" baru dikenal pasti pada Khamis, termasuk di Hu Lee Impex dan Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard masing-masing dengan 22 dan 32 kes.
Menurut MOH, ia sedang memantau dengan teliti sebanyak 11 kelompok besar secara keseluruhannya.
Ini termasuk lima kelompok berhubung kait dengan pusat-pusat pertukaran bas di Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Punggol dan Jurong East. Terdapat 16 kes baru yang dikaitkan dengan pusat-pusat pertukaran bas pada Khamis.
Kelompok-kelompok besar yang lain adalah di pusat beli-belah Bugis Junction, Hospital Besar Changi, dormitori North Coast Lodge dan sebuah tapak binaan di 30 Sunview Way.
26 SAKIT TERUK, 7 TENAT
MOH juga melaporkan 654 kes yang sedang dirawat di hospital. Dalam kalangan kes tersebut, 26 kes sakit teruk dan memerlukan bantuan oksigen dan lagi tujuh dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU).
Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 28 adalah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
"Sepanjang 28 hari yang lalu, peratusan mereka tidak divaksin yang sakit teruk atau meninggal dunia adalah 5.2 peratus manakala bagi mereka yang lengkap divaksin pula, kadarnya adalah 0.8 peratus," menurut MOH.
81% PENDUDUK SELESAI REJIM VAKSIN PENUH
Setakat Rabu, lebih 8.8 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di bawah program vaksinasi negara. Ia meliputi lebih 4.5 juta individu dengan 4.3 juta sudahpun melengkapkan rejim vaksin sepenuhnya, dedah MOH.
Lagi 175,027 dos vaksin lain yang diiktiraf dalam senarai kegunaan darurat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut diberikan kepada 86,379 individu.
Secara keseluruhannya, 81 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai rejimen vaksinasi sepenuhnya atau sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 dan 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.
Setakat Khamis, Singapura melaporkan jumlah terkumpul sebanyak 70,039 kes jangkitan COVID-19 dan 157 kematian akibat jangkitan penyakit itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.