Skip to main content

Lelaki 32 tahun diberkas; 'sapu' lebih 200 pelitup dari mesin layan diri

Seorang lelaki berusia 32 tahun diberkas pada Khamis (28 Mei) selepas lebih 200 pelitup yang diagihkan oleh Pemerintah diperolehi secara haram daripada mesin-mesin layan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 32 tahun diberkas; 'sapu' lebih 200 pelitup dari mesin layan diri

Pelitup yang dirampas. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 30 May 2020 10:03AM Dikemas Kini : 30 May 2020 10:06AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 32 tahun diberkas pada Khamis (28 Mei) selepas lebih 200 pelitup yang diagihkan oleh Pemerintah diperolehi secara haram daripada mesin-mesin layan diri.

Lelaki tersebut disyaki menggunakan maklumat yang diperolehi secara tidak sah untuk mendapatkan pelitup daripada mesin-mesin layan diri itu.

Menurut polis dalam kenyataan medianya pada Jumaat (29 Mei), pihaknya menerima beberapa aduan pada Rabu dan Khamis daripada para mangsa yang tidak berupaya mendapatkan pelitup agihan pemerintah itu daripada mesin-mesin layan diri di pelbagai kawasan di Singapura.

"Pemeriksaan ke atas rekod sistem menunjukkan bahawa pelitup mereka sudahpun diambil," menurut pihak polis.

Lelaki berkenaan diberkas pada Khamis setelah para pegawai Divisyen Polis Bedok mengenal pasti identitinya melalui rakaman kamera polis.

Lebih 200 pelitup sudah dirampas daripada lelaki itu dan akan digunakan sebagai bukti bagi kes tersebut.

Siasatan awal mendapati bahawa antara Selasa hingga Khamis, lelaki itu "memperolehi lebih 200 pelitup dengan cara menipu" daripada mesin layan diri yang ditempatkan di 10 Simei Street 2, menurut polis.

Dia berbuat demikian dengan menggunakan maklumat peribadi yang diperolehi secara tidak sah daripada pekerjaan lalu sebagai perekrut tenaga kerja bagi sebuah syarikat pengambilan pekerja.

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu dengan tuduhan menipu dan menyimpan maklumat peribadi orang lain secara tidak sah.

Jika sabit kesalahan menipu, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun. Jika didapati bersalah kerana menyimpan maklumat peribadi orang lain secara tidak sah, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita