Skip to main content

Iklan

Iklan

'Lebih mudah' terus kekalkan peraturan 2 semeja, kata pengendali kedai kopi

Para pengendali kedai kopi yang diwawancara Mediacorp berkata mereka lebih rela mengekalkan kumpulan sehingga dua individu untuk duduk makan di premis buat masa ini.

Anggaran Waktu Membaca:
'Lebih mudah' terus kekalkan peraturan 2 semeja, kata pengendali kedai kopi

Pelanggan di Pusat Makanan Maxwell. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 17 Nov 2021 06:51PM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 06:54PM

SINGAPURA: Sebilangan pengendali kedai kopi mengadu tentang cabaran-cabaran logistik yang perlu dilalui untuk memastikan para pelanggan dalam kumpulan lima orang, yang ingin duduk makan bersama di premis, datang dari rumah yang sama.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (15 Nov) mengumumkan isi rumah yang lengkap divaksin tidak lama lagi boleh duduk makan semeja dalam kumpulan sehingga lima orang di beberapa pusat penjaja dan kedai kopi.

Namun para pengendali kedai kopi yang diwawancara Mediacorp berkata mereka lebih rela mengekalkan kumpulan sehingga dua individu untuk duduk makan di premis buat masa ini.

Kumpulan pertama pusat penjaja di bawah peraturan baru itu perlu melaksanakan kawalan akses dan sistem pemeriksaan sebelum hujung November, menurut MOH, dan baki pusat penjaja "harus berupaya melaksanakan aturan sama tidak lama kemudian".

Ia menambah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sudahpun mendampingi persatuan pusat penjaja dan majlis bandaran. Bagi kedai-kedai kopi, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga sudah mendampingi para pengendali.

RISIKO "SANGAT TINGGI"

Ia "sangat sukar" untuk melihat lima anggota keluarga serumah duduk makan di luar pada hari biasa, kata Naib Pengerusi Persatuan Restoran Peniaga Kopi dan Pemilik Bar Kheng Keow, Kenneth Lee.

Lantaran itu, beliau berasa "tidak wajar" untuk kedai-kedai kopi melakukan pemeriksaan untuk memastikan para anggotanya datang daripada rumah yang sama. Ini kerana kedai kopi itu perlu menanggung kos menggajikan pekerja untuk menguruskan kemasukan pelanggan.

"Tenaga kerja ini memerlukan wang. Bagi ruang minuman di luar...katakanlah satu orang bertanggungjawab (bagi satu syif). Dalam sehari, anda memerlukan dua orang. Katakanlah satu orang digajikan S$1,500, dua orang akan menelan kos S$3,000. Wang ini dari mana datangnya? Pasti lambat laun perlu ditanggung pelanggan, jika ia berterusan," Encik Lee memberitahu Mediacorp.

"Untuk kedai kopi saya, saya tidak rasa saya akan melakukannya. Kosnya terlalu tinggi. Namun saya akan menasihatkan anggota Kheng Keow jika mereka mahu melakukannya, silakan, kerana mereka yang perlu menanggung kosnya, bukan persatuan ini."

Encik Lee, yang mengendalikan Kedai Kopi Hai Fong, menambah peraturan sedia ada bagi kegiatan duduk makan di premisnya, iaitu hanya dua orang yang lengkap divaksin "lebih senang" dan "lebih mudah".

Sekiranya pelanggan melanggar peraturan, beliau merujuk kepada denda yang "amat serius", jadi "tidak berbaloi" untuk membuka kedai kopinya kepada kumpulan sehingga lima orang buat masa ini.

Begitu juga, Hong Poh Hin, naib pengerusi Persatuan Restoran Kopi dan Peniaga Bar Foochow, berkata para pengendali kedai kopi bertanggungjawab memastikan kesemua lima individu yang duduk makan semeja adalah daripada rumah yang sama.

"Jika anda terlepas (melakukan pemeriksaan), selain denda ke atas pelanggan, mereka akan mengenakan denda ke atas para pengendali juga. Anda mungkin digantung selama 10 hari. Pengendali biasanya berasa bahawa (denda) terlalu berat, namun inilah risiko yang terpaksa dipertimbangkan," kata beliau.

Perniagaan-perniagaan perlu menimbangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk menggajikan kakitangan untuk memeriksa status vaksinasi dan alamat rumah pelanggan dengan margin untung mereka, tambah Encik Hong.

"Hasil penjualan mungkin naik 10, 20 peratus sahaja. Kerana tidak begitu ramai orang daripada rumah yang sama akan duduk makan semeja di premis pada hari-hari biasa, hanya hujung minggu," kata beliau.

"Jadi hanya untuk keuntungan pada dua hari itu sahaja, anda mengambil risiko lima hari. Adakah ini berbaloi?"

Encik Lee percaya jika Pemerintah membenarkan kumpulan lima individu lengkap divaksin untuk duduk makan semeja, meskipun daripada rumah yang berbeza, itu akan lebih membantu perniagaan.

"Sekarang ini, kesannya adalah ke atas (gerai-gerai yang menjual) makanan laut. Kerana berapa banyak makanan yang akan ditempah oleh hanya dua orang? Paling kurang tiga hidangan. Tentunya, perniagaan bagi gerai-gerai lain di kedai kopi juga akan merosot, namun saya tidak rasa peraturan ini akan banyak membantu, kerana (lima individu itu perlu) datang daripada rumah yang sama. Sangat sukar."

Seorang jurucakap bagi Kopitiam dan FoodFare juga memberitahu Mediacorp menerusi kiriman emel bahawa individu-individu masih boleh duduk makan semeja dalam kumpulan dua orang di cawangan-cawangan mereka.

"Kami akan mengekalkan peraturan sedia ada iaitu dua orang yang lengkap divaksin di semua kedai kopi kami buat masa ini...Kami hanya akan menimbangkan untuk membukanya kepada kumpulan lima orang, jika kami dapat memastikan langkah-langkah yang diperlukan boleh dilaksanakan dengan berkesan, (seperti) lima individu lengkap divaksin itu datang dari rumah yang sama."

KAEDAH PELAKSANAAN

Sekalipun demikian, langkah-langkah baru itu boleh dilaksanakan oleh kedai-kedai kopi lebih kecil dengan ruang terbuka, tambah Encik Hong.

Beliau juga menyarankan agar pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai kopi tidak perlu melakukan pemeriksaan di pintu masuk, sama ada individu-individu dalam kumpulan lima orang tinggal di rumah yang sama. Lagipun, mereka mungkin duduk di dua atau tiga meja berasingan sebaik sahaja masuk di kedai kopi atau pusat penjaja.

Pengumuman peraturan terkini itu, disambut baik oleh Persekutuan Persatuan Peniaga Singapura, meskipun pengerusi divisyen penjaja, Anthony Low, menyuarakan kebimbangan terhadap sejauh mana ia mudah untuk memeriksa alamat para pelanggan.

Untuk memudahkan proses, Encik Low berkata pusat-pusat penjaja boleh membantu pelanggan dengan meletakkan sepanduk di tempat yang mudah dilihat untuk memaklumkan mereka tentang langkah-langkah baru itu.

Para pegawai penguat kuasa daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) juga perlu memainkan peranan untuk melakukan pemeriksaan rambang.

Pada Isnin, MOH mengumumkan bahawa isi rumah yang duduk makan semeja boleh menggunakan aplikasi MyICA dan SGWorkPass sebagai bukti kediaman serta NRIC dan SingPass.

Sumber : CNA/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa