Skip to main content

Lebih banyak insentif bagi galak guna kenderaan elektrik

 Sebagai sebahagian daripada langkah untuk terus menggalak penggunaan kenderaan elektrik, pemerintah akan memperkenalkan lebih banyak insentif untuk merapatkan jurang "perbezaan kos" antara kereta elektrik dengan kereta biasa, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak insentif bagi galak guna kenderaan elektrik

Keadaan lalu lintas di Singapura. (Gambar fail: Hester Tan)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 07:42PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 07:49PM

SINGAPURA: Sebagai sebahagian daripada langkah untuk terus menggalak penggunaan kenderaan elektrik, pemerintah akan memperkenalkan lebih banyak insentif untuk merapatkan jurang "perbezaan kos" antara kereta elektrik dengan kereta biasa, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa menyampaikan Belanjawan 2021 pada Selasa (16 Feb).

Pertama sekali ia akan diperkenalkan dalam bentuk menurunkan Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF) kepada sifar bagi kereta elektrik dari Jan 2022 hingga Dis 2023, menurut Encik Heng, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

ARF adalah cukai yang dibayar semasa mendaftarkan sesebuah kenderaan dan ia dikira berdasarkan peratusan bagi Nilai Pasaran Terbuka untuk sesebuah kenderaan - kos sebuah kenderaan diimport ke Singapura.

Langkah itu akan membolehkan para pembeli kereta elektrik daripada pasaran terbuka untuk memanfaatkan sepenuhnya rebat Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik(EEAI), jelas Encik Heng.

EEAI membolehkan mereka yang membeli teksi dan kereta elektrik sepenuhnya untuk menerima rebat ARF sehingga 45 peratus. Rebat itu akan dihadkan pada S$20,000. Inisiatif ini akan ditawarkan sehingga 31 Jan 2023.

Selain itu, terdapat juga semakan pada cukai jalan raya bagi memastikan kereta elektrik pasaran terbuka akan dikenakan cukai yang sebanding dengan kereta-kereta lain, dedah Encik Heng. Butiran lanjut mengenai rancangan-rancangan ini akan dibentangkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan di Parlimen, menurut beliau.

Ini berdasarkan pengumuman dalam Belanjawan tahun lalu di mana langkah-langkah termasuk EEAI, diperkenalkan sebagai sebahagian daripada visi Singapura untuk memastikan semua kenderaan di sini menggunakan tenaga bersih menjelang 2040.

Turut diumumkan di bawah Skim Menangani Pencemaran Asap Kenderaan (VES) pada lewat tahun lalu, lebih banyak rebat akan ditawarkan bagi kenderaan lebih bersih, serta bayaran tambahan yang dikenakan ke atas kenderaan yang mencemari alam sekitar. Skim VES yang dipertingkatkan itu akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2022.

Bersama dengan EEAI yang juga dimulakan pada awal tahun ini, para pembeli kereta elektrik sepenuhnya boleh meraih penjimatan sehingga S$45,000,manakala para pembeli teksi elektrik sepenuhnya dapat berjimat sebanyak S$57,500.

SUNTIKAN DANA S$30 JUTA

Menyifatkan kenderaan elektrik sebagai kenderaan tenaga bersih "paling menjanjikan" hari ini, Encik Heng juga mengumumkan bahawa Singapura akan memperuntukkan S$30 juta sepanjang lima tahun seterusnya bagi menyokong inisiatif-inisiatif berkaitan kenderaan elektrik.

Ini termasuk langkah-langkah untuk menyediakan lebih banyak prasarana mengecas di premis-premis privet.

Langkah itu akan membolehkan Singapura untuk "memangkinkan kerjasama" antara sektor awam dengan swasta, tambah Encik Heng.

Encik Heng juga menekankan bahawa Singapura akan mempercepatkan pembinaan infrastruktur mengecas untuk menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik dalam masa 10 tahun akan datang.

Merujuk kepada pengumuman yang dibuat dalam Pelan Hijau Singapura minggu lalu, beliau turut mendedahkan bahawa sasaran Singapura adalah untuk menyediakan 60,000 tempat mengecas di tempat letak kenderaan awam dan premis privet menjelang 2030, lebih seganda berbanding sasaran awal iaitu sebanyak 28,000. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita