Skip to main content

Iklan

Iklan

Lebih 80% pekerja gaji rendah dapat gaji lebih tinggi di bawah PWM jelang 2023

Sebanyak 82 peratus atau 234,000 pekerja bergaji rendah akan mendapat gaji lebih tinggi di bawah Model Gaji Progresif menjelang 1 Mac 2023.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 82 peratus atau 234,000 pekerja bergaji rendah akan mendapat gaji lebih tinggi di bawah Model Gaji Progresif menjelang 1 Mac 2023.

Antara lain pekerja pebtadbiran di semua syarikat di Singapura harus dibayar gaji sekurang-kurangnya S$1,500 sebulan, sementara para pemandu pula harus menerima minumum S$1,750 sebulan.
Ini apabila Gaji Progresif Pekerjaan (OPW) diluaskan juga kepada pekerja pentadbiran dan pemandu selain pelaksanaan Gaji Kelayakan Setempat (LQS) bagi semua pekerja tempatan.

Malah dengan pelancaran Tanda Gaji Progresif nanti, sehingga 94 peratus atau lebih 260,000 pekerja bergaji rendah akan meraih gaji lebih tinggi.

Ini menyusuli langkah pemerintah menerima 18 saranan Kumpulan Kerja Tiga Pihak - iaitu Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) - demi meningkatkan kebajikan pekerja bergaji rendah.

55,000 PEKERJA PENTADBIRAN, PEMANDU DAPAT GAJI LEBIH TINGGI

55,000 pekerja pentadbiran dan pemandu akan disertakan ke dalam Model Gaji Progresif (PWM) bermula Mac 2023.

Ini sekali gus membolehkan mereka meraih gaji lebih tinggi serta meningkatkan kemahiran dan daya penghasilan.

Ini juga kali pertama PWM diterapkan ke dalam kumpulan pekerjaan tertentu seumpama itu, berbanding berpaksikan kepada sektor sahaja, bagi memastikan pertumbuhan gaji lebih mampan.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata ia situasi unik di mana mereka tidak mempunyai perwakilan daripada pihak majikan atau perwakilan daripada pihak kesatuan pekerja.

"Ini seperti usaha perintis untuk kami, bagaimana kita dapat lakukan Gaji Progresif Pekerjaan untuk pekerja-pekerja tersebut dan bagaimana dapat memasukkan pengembangan dan pertumbuhan gaji mereka dan pada masa yang sama latih kemahiran dalam sektor tersebut," kata Encik Zaqy, yang juga pengerusi kumpulan kerja tiga pihak itu.

Teksi-teksi dan bas di jalan raya Singapura.

Bagi para pekerja pentadbiran dan pemandu, kumpulan kerja itu menyarakankan gaji kasar seperti berikut:

Pembantu pentadbiran – Sekurang-kurangnya S$1,500

Eksekutif pentadbiran – Sekurang-kurangnya S$2,000

Penyelia Pentadbiran – Sekurang-kurangnya S$2,800

Pemandu biasa – Sekurang-kurangnya S$1,750

Pemandu khas – Sekurang-kurangnya S$1,850

PWM sudahpun dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu dalam empat sektor, merangkumi 28,000 pekerja atau 10 peratus daripada sekitar 283,000 pekerja yang meraih gaji bawah 20 persentil di Singapura.

Empat sektor itu ialah pembersihan, keselamatan, landskap serta penyenggaraan lif dan tangga bergerak.

Antara tahun 2014 hingga 2019, gaji kasar median sebenar para pekerja dalam empat sektor di bawah PWM ini meningkat 31 peratus secara purata. Ini mengatasi pertumbuhan gaji median sebenar sebanyak 21 peratus bagi tempoh yang sama.

MASIH KAJI PWM BAGI KUMPULAN PEKERJA PENGHANTARAN

Mengulas ucapan Rapat Hari Umum Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (29 Ogos), di mana beliau menyentuh kemungkinan peluasan PWM kepada kumpulan pekerja penghantaran, Encik Zaqy berkata pihak beliau masih mengkajinya.

"Kita akan melihat bagaimana kita dapat menolong mereka yang boleh dapat, seperti insurans, CPF dan sebagainya untuk melengkapi manfaat bagi mereka atau manfaat pengambilan pekerja bagi mereka," kata Encik Zaqy.

Kajian dan usaha pihaknya, kata Encik Zaqy, adalah untuk meneruskan kesejahteraan serta meningkatkan gaji para pekerja.

Jika majikan tidak dapat menanggung beban gaji pekerja mereka, pekerja bergaji rendah itu akan hilang pekerjaan, jelas beliau.

SEMUA PEKERJA TEMPATAN AKAN DIBAYAR MINIMUM $1,400 DI BAWAH LQS

Bermula September tahun depan, syarikat-syarikat yang mengambil pekerja asing juga perlu membayar sekurang-kurangnya $1,400 kepada semua pekerja tempatan di bawah Gaji Kelayakan Setempat (LQS). Ini sekali gus merupakan suatu gaji asas bagi pekerja bergaji rendah.

Sekitar 99,000 pekerja bergaji rendah dijangka meraih manfaat daripada dasar ini.

Sekarang ini hanya sebilangan pekerja tempatan sahaja dibayar LQS sebelum ini bagi memenuhi kuota tenaga pekerja asing.

Apabila ditanya tentang beban kos tambahan yang mungkin dipikul pihak syarikat, ini jawapan Encik Zaqy:

"Impak ini tak setinggi seperti mana apa yang orang boleh bayangkan. Kita akan memberikan sokongan peralihan dalam bulan-bulan akan datang.

"Satu syarikat yang menggunakan pekerja asing, mereka juga mendapat akses pekerja yang boleh digajikan dengan lebih rendah berbanding pakej pekerja Singapura, jadi ini adalah subsidi gaji pekerja asing itu dan oleh itu penting supaya kita menekankan bahawa ini melindung pekerja Singapura daripada kesan gaji mereka direndahkan," jelas beliau.

TANDA GAJI PROGRESIF SATU TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Satu lagi inisiatif besar yang dipersetujui ialah pelancaran Tanda Gaji Progresif.

Encik Zaqy langkah ini menjangkaui satu dasar pemerintah.

"Ini tanggungjawab sosial bagi mereka untuk menyokong pekerja bergaji rendah supaya mereka dapat manfaat daripada kemajuan Singapura dan ekonomi kita, terutama sekali dalam ekonomi yang sedang berkembang dan pulih dari COVID-19," kata beliau.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, PWM akan dilanjutkan kepada sektor runcit (Sep 2022), khidmat makanan (Mac 2023) dan pengurusan sisa (Mac 2023).

PWM sedia ada bagi pekerja pembersihan, keselamatan dan landskap juga akan diperluaskan kepada pekerja dalam syarikat bermula September tahun depan.

"Kami sudah melakukan kemajuan baik sejauh ini dan kami mesti terus memastikan para pekerja bergaji rendah kami boleh bangkit lebih kukuh dengan masyarakat lain Singapura sebaik sahaja kita bangkit dari pandemik COVID-19.

"Sebagai satu masyarakat, kita mesti menjaga setiap pekerja, terutama sekali yang paling terdedah, kerana ini melibatkan mereka memberi nafkah kepada keluarga mereka, bagi menyokong anak-anak mereka supaya mereka dapat mencapai potensi mereka," kata Encik Zaqy. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan