Lebih 3,000 rayuan untuk mengecualikan kos SHN bagi pembantu rumah asing diluluskan
Sekitar 3,200 permohonan rayuan untuk mengetepikan kos penginapan bagi pembantu rumah asing semasa menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) diluluskan dalam tempoh 10 bulan kebelakangan ini, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang di Parlimen pada Selasa (16 Feb).

(Gambar: TODAY/Najeer Yusof)
SINGAPURA: Sekitar 3,200 permohonan rayuan untuk mengetepikan kos penginapan bagi pembantu rumah asing semasa menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) diluluskan dalam tempoh 10 bulan kebelakangan ini, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang di Parlimen pada Selasa (16 Feb).
Jumlah itu membentuk kira-kira 13 peratus daripada 25,000 permintaan untuk membawa masuk pembantu rumah asing ke negara ini antara April tahun lalu dan Januari tahun ini, kata Cik Gan.
Pembantu rumah asing yang dibenarkan masuk ke Singapura sama ada bekerja dengan majikan baru, atau menggantikan pembantu rumah yang pulang ke negara asal, tambah Cik Gan.
Rayuan tersebut "dikaji dengan teliti", dengan mempertimbangkan faktor-faktor seperti pendapatan isi rumah dan keadaan kewangan pemohon.
Sebagai sebahagian daripada usaha membendung penularan COVID-19, kebanyakan pembantu rumah asing baru yang datang ke Singapura harus menjalani SHN di kemudahan khusus.
Mereka juga harus mengambil ujian COVID-19 sebelum tamat SHN mereka.
Agensi-agensi pekerjaan memberitahu Mediacorp bulan lalu bahawa kos bagi menjalani SHN di kemudahan yang dikhususkan menelan belanja sekitar S$1,500, sementara ujian COVID-19 pula berharga sekitar S$200 setiap satu.
Sebuah agensi menganggarkan bahawa belanja yang perlu ditampung majikan untuk mendapatkan pembantu rumah asing naik hampir seganda dari S$2,500 kepada sekitar S$4,800.
Cik Gan, yang juga Menteri Negara Pendidikan menjawab pertanyaan dari Anggota Parlimen Gan Thiam Poh (PAP - Ang Mo Kio), yang ingin tahu berapa ramai warga Singapura dan penduduk tetap (PR) yang membuat permohonan sedemikian.
Encik Gan juga ingin tahu berapa banyak warga Singapura dan PR yang tidak berhasil dalam permohonan mereka untuk membawa masuk pembantu rumah asing, telah membuat permohonan rayuan.
"Kira-kira 600 rakyat Singapura dan Penduduk Tetap yang permohonan awal mereka tidak berhasil membuat permohonan rayuan, dan sekitar 500 permohonan itu akhirnya diluluskan," kata Cik Gan.
Jumlah pembantu rumah asing di Singapura "sebahagian besarnya stabil" dengan sebanyak 250,000, tambahnya.
Sejak 5 Feb lalu, pembantu rumah asing dan pengasuh anak yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke negara atau wilayah berisiko tinggi perlu menjalani ujian serologi setibanya di Singapura, selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang diwajibkan sejak 24 Januari lalu.
Ujian serologi itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti pekerja yang telah pulih dari jangkitan COVID-19 lama dan mempunyai antibodi, yang membolehkan mereka tidak perlu menjalani SHN, lantas mengurangkan kos bagi majikan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.