Lebih 1,000 kes baru varian Delta dikesan di M'sia sejak 29 Okt
Sebanyak 1,047 kes baru membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta dikesan di Malaysia dari tempoh 29 Oktober hingga hari ini.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,047 kes baru membabitkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta dikesan di Malaysia dari tempoh 29 Oktober hingga hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini lantas menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan termasuk yang dijangkiti SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) sebanyak 3,692 kes.
"Daripada jumlah keseluruhan yang dikesan itu, 3,672 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam kenyataan hari ini (4 Nov).
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kes VOC sehingga kini, terdapat 3,432 kes varian Delta, 226 kes membabitkan varian Beta dan 14 kes adalah varian Alpha.
"Bagi kes-kes VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.
Beliau berkata varian-varian kes ini dikesan hasil kajian berterusan oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM-UNIMAS), Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI-UKM), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM) dan Institut Genom Malaysia (MGI).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.