Skip to main content

Iklan

Iklan

Langkah COVID-19 diperketat bagi pelawat & mereka yang transit dari Indonesia

Singapura akan serta-merta mengurangkan kelulusan kemasukan bagi para pengunjung dari Indonesia yang bukan rakyat atau penduduk tetap negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Langkah COVID-19 diperketat bagi pelawat & mereka yang transit dari Indonesia

Para pelawat di Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 10 Jul 2021 06:16PM Dikemas Kini : 10 Jul 2021 06:22PM

SINGAPURA: Singapura akan serta-merta mengurangkan kelulusan kemasukan bagi para pengunjung dari Indonesia yang bukan rakyat atau penduduk tetap negara ini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (10 Jul).

"Kelulusan kemasukan mungkin dipertimbangkan jika langkah-langkah tambahan pengurusan selamat diambil," tambah kementerian itu.

MOH menyatakan langkah-langkah sempadan diperketat ke atas para pelawat dari Indonesia itu dilaksanakan di tengah-tengah keadaan COVID-19 yang meruncing di sana.

MOH juga menyatakan semua pelawat dengan sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari lalu tidak akan dibenarkan untuk membuat persinggahan melalui Singapura berkuat kuasa pukul 11.59 malam pada 12 Julai.

SYARAT UJIAN SEBELUM PELEPASAN DIKEMAS KINI

Berkuat kuasa pukul 11.59 malam pada 12 Julai, MOH menyatakan semua pengunjung yang memasuki Singapura namun mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dalam tempoh 21 hari lalu perlu mengemukakan keputusan negatif ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) COVID-19 yang sah, yang diambil dalam masa 48 jam sebelum berangkat ke Singapura.

Buat masa ini, pelawat sedemikian perlu menunjukkan keputusan negatif ujian PCR yang sah dalam tempoh 72 jam sebelum pelepasan.

Para pengunjung yang tiba di Singapura tanpa keputusan negatif ujian PCR yang sah mungkin tidak dibenarkan masuk.

Penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang gagal mematuhi syarat-syarat baru itu boleh berdepan permit atau pas mereka dibatalkan, tambah MOH.

MOH menyatakan semua pelawat akan terus dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari di kemudahan yang dikhusukan dan perlu menjalani ujian PCR sebaik tiba di sini dan ujian berikutnya pada hari ke-14 selepas ketibaan mereka.

Para pelawat juga perlu menjalani ujian pantas antigen (ART) sebaik tiba di sini dan melakukan sendiri ujian ART pada hari ketiga, ketujuh dan ke-11 selepas ketibaan mereka.

"Sedang keadaan sejagat berubah, kami akan terus menyesuaikan langkah-langkah di sempadan untuk menguruskan risiko membawa masuk kes import dan penularan dalam kalangan masyarakat," jelas MOH.

Sebarang perubahan ke atas langkah-langkah di sempadan akan dikemas kini di lelaman SafeTravel.

MOH menasihatkan para pelawat agar melayari laman tersebut untuk mendapatkan kemas kini terbaru mengenai langkah-langkah di sempadan sebelum memasuki Singapura dan bersiap sedia dikenakan langkah-langkah sempadan sedia ada sejurus tiba di sini.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan