Skip to main content

Iklan

Iklan

Lagi 9 kematian akibat COVID-19; S'pura lapor 3,190 kes baru

Singapura melaporkan 3,190 kes baru COVID-19 pada Rabu (13 Okt) sedang lagi sembilan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan virus tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 9 kematian akibat COVID-19; S'pura lapor 3,190 kes baru

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 13 Oct 2021 11:46PM Dikemas Kini : 13 Oct 2021 11:47PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 3,190 kes baru COVID-19 pada Rabu (13 Okt) sedang lagi sembilan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan virus tersebut.

Mereka yang meninggal dunia adalah enam lelaki dan tiga wanita, berusia antara 52 dengan 98 tahun. Dalam kalangan mereka, enam tidak divaksin terhadap COVID-19, dua belum lengkap divaksin dan seorang lagi sudah divaksin sepenuhnya.

Lapan daripada mereka mengalami pelbagai keadaan perubatan sedia ada, manakala lagi seorang yang belum divaksin tidak mempunyai sebarang keadaan perubatan yang diketahui. Pesakit berusia 52 tahun pula belum lengkap divaksin terhadap COVID-19 dan mengalami beberapa masalah perubatan.

Ini membawa jumlah kematian di Singapura akibat jangkitan koronavirus kepada sebanyak 192 korban jiwa.

Sebanyak 3,190 kes baru dilaporkan secara keseluruhannya pada Rabu berbanding 2,976 kes pada Selasa.

Dalam kalangan kes baru, 3,184 adalah kes tempatan yang terdiri daripada 2,686 kes dalam masyarakat dan 498 yang merupakan penghuni dormitori pekerja hijrahan.

Enam adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada pihak media pada sekitar 11.00 malam.

Setakat Rabu, Singapura melaporkan sebanyak 135,395 kes COVID-19 secara keseluruhannya sejak pandemik tersebut melanda.

KES DI HOSPITAL DAN PEMULIHAN DI RUMAH

Dalam kalangan kesemua kes COVID-19 yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 17,080 kes atau 77.8 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah.

Lagi 2,885 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 473 di kemudahan rawatan COVID-19.

Lagi 1,507 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besarnya sedang dipantau, menurut MOH. Daripada jumlah itu, 300 pesakit memerlukan sokongan oksigen dan 46 dalam unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, dalam kalangan 61,274 individu yang terjangkit, 1.1 peratus memerlukan bantuan pernafasan dan 0.1 peratus di ICU.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU, 49.6 peratus sudah lengkap divaksin dan 50.4 peratus sama ada tidak divaksin atau belum lengkap divaksin.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan