Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Tekad Sasterawan Djamal Tukimin Mengumpul dan Mengulas Persuratan Nusa

Sejak meraih Pingat Budaya pada 2017, Djamal Tukimin membuktikan tekad besarnya untuk menerbitkan pelbagai karyanya. Tahun lalu terhasil 11 buku beliau.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak meraih Pingat Budaya pada 2017, Djamal Tukimin membuktikan tekad besarnya untuk menerbitkan pelbagai karyanya. Tahun lalu terhasil 11 buku beliau.

Mohd Raman Daud menyingkap salah satu karyanya, ‘Sejarah Drama Melayu Singapura’, yang merakamkan peristiwa dan tokoh dalam pembentukan seni pementasan di negara ini.


Sasterawan Djamal Tukimin telah menghadiahkan saya 11 buku karyanya sebelum sempat saya berceramah mengenang Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad pada petang 14 September lalu di Bangunan Perpustakaan Negara.

Syabas! Beliau telah mengotakan janjinya yang dihebahkan oleh media setempat tidak lama selepas menerima anugerah tertinggi negara bagi kesenian iaitu Pingat Budaya yang disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob di Istana pada Oktober 2017.

SEBELAS BUKU

Pak Djamal, sapaan mesranya, dilahirkan pada 20 Oktober 1946 dan merupakan anak jati Geylang Serai. Beliau menceburi bidang persuratan sejak 1963 menerusi Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) di Kampung Melayu, Jalan Eunos. Beliau juga gigih menyantuni para penulis dan sarjana persuratan di rantau ini - dari Prof Emeritus Pendeta Dr Ismail Hussein (1932-2014) yang memimpin Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sehingga Taufik Ismail (1935 -), penyair ulung Indonesia.

Selain Pingat Budaya, beliau telah menerima Anugerah Tun Seri Lanang pada 2007 dan semoga beliau dikurniakan Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) daripada Kerajaan Thailand. Lazimnya, tiga anugerah ini bak pelengkap ketokohan sasterawan kita.



Pustaka dalam flatnya di Yishun memang kaya dengan ribuan buku yang pernah menjadi rujukan kalangan mahasiswa sehingga calon doktor falsafah (PhD). Difahamkan sebahagian koleksinya dihadiahkan kepada Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Sebelas buku yang diterbitkannya dengan biaya geran Pingat Budaya ialah:

(1) Ikan-Ikan Tropika (324 halaman) mengenai para penulis selepas perintis Angkatan Sasterawan ’50.

(2) Sejarah Drama Melayu Singapura (311 halaman) berkisar kebangkitan drama dari bangsawan sehingga yang bersifat ‘rewang’ (devised play).

(3) Seekor Kerbau Hitam Dalam Mimpi Sang Pangeran Tomtom (222 halaman) berupa kumpulan dua skrip dramanya.

(4) Perempuan Adalah Rawanhiba, Rawanhiba Adalah Cinta (173 halaman) merupakan kumpulan (bukan antologi) puisinya antara 1971 hingga 1980.

(5) Cakrawala Sastera Melayu, Sastera Sufi (165 halaman) yang membincangkan erti sastera Islam bersandarkan sastera Melayu, universal dan sufi (tasawuf).

(6) Beralun Kasidah Pantun Di Lautan Kasih (112 halaman) yang merakmkan pantun karya beliau dan isterinya, Maimunah Abdul Rahman.

(7) Penyair-Penyair Muda Singapura Di Tengah-Tengah Forum Masyarakat (108 halaman) mengenai lapan penyair pelapis sesudah era Dr Masuri Salikun (@Masuri SN).

(8) Mencari Hang Tuah Yang Hilang di Kota New York (94 halaman) berupa kumpulan lima cerpennya.

(9) Dipisahkan Oleh Selat Sejarah (90 halaman) adalah kumpulan puisi bersama Almarhumah Zaihasra (nama sebenar Zaiton Abdullah, kelahiran Melaka 28 Feb 1951 dan meninggal dunia pada 1989) yang pernah mengisi hati Pak Djamal sebelum mengenali isterinya kini.

(10) Kerana, Kita Masih Mampu Menuai Makna Sedu (65 halaman) berupa kumpulan puisinya yang agak mutakhir.

(11) Lambaian Melayu Singapura – Nusantara Membedah Seni (30 halaman) berupa puisi panjang bersandarkan kertas kerja yang dibentangkan dua kali di Ranong, Thailand pada Dis 2011 dan di Ayer Keroh pada Oktober 2019.

FOKUS PADA DRAMA

Sebelas buku tadi menampung genre cerpen, skrip drama, esei, pantun dan sajak. Semuanya terbitan Pustaka Melayu Publisher dengan ketebalan sekitar 1,700 halaman!

Dek ruang terhad, izinkan saya mengulas Sejarah Drama Melayu Singapura (SDMS) yang perlu dibaca bersama buku beliau terdahulu, Arus Teater Melayu Singapura (ATMS, Pustaka Nasional, 2007, 184 halaman).

SDMS dibahagikan kepada tujuh bab bermula dengan latar belakang Kemelayuan di Singapura; perkembangan bangsawan; suasana selepas Perang Dunia Kedua sehingga tahun 1973; bermulanya sandiwara; Festival Teater Remaja sebagai titik peralihan dalam membangunkan drama Melayu; pembaharuan menerusi 'devised play'; peranan Teater Kami dan kesimpulan (penutup).

Sebagai pengamat dan juga aktivis drama dan pernah menjadi ahli zamil (felo) di Institut Tamadun dan Dunia Melayu (ATMA), Pak Djamal memang seorang penghimpun data persuratan yang sarat. Bahkan isi buku pertamanya, ATMS, turut dimanfaatkan oleh ilmuwan Malaysia, Mana Sikana (Abdul Rahman Hanafiah, 1945 -), mantan pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE), dalam menyusuri persuratan Melayu di Singapura.
Dalam SDMS, Pak Djamal secara polos membentangkan sejarah bangsawan yang disifatkannya sebagai ‘Tiruan Wayang Parsi’ bermula dari Pulau Pinang tetapi mekar di Singapura. Baginya, bangsawan merupakan pencetus kepada persembahan drama moden atau lebih dikenali sebagai ‘sandiwara’ dalam perfileman Melayu.

Beliau turut menyorot para tokoh bangsawan seperti Khairuddin Tairu (1890-13 April 1964) sehingga Shariff Medan (1919-1997) yang telah berjasa dalam menghasilkan skrip filem bersifat sejarah. Walaupun bukan anak bangsawan, namun jasa Abdul Hamid Ahmad (@Hamid Cantik, 1926-2011) sebagai tokoh bangsawan terakhir di Singapura telah diabadikan pada sedutan skrip Sang Rajuna Tapa dalam buku SDMS.

Anehnya turut dipaparkan juga Jenaka Bangsawan iaitu versi baharu bangsawan yang bermula pada pertengahan 1980-an iaitu drama komedi hasil rintisan M Saffri A Manaf dan Mohd Yusof Maruwi.

BAPA DRAMA

Sepintas lalu perkembangan drama dari zaman Bani Buang (1929-1996) yang diangkat sebagai ‘Bapa Drama Melayu Singapura’ mencetuskan rasa nostalgia.

Bani bukan sahaja pemula sandiwara (dari kata Jawa: sandi = rahsia, wara = cerita) pada zaman Pendudukan Jepun, bahkan membawa drama Melayu dipentaskan di Panggung Victoria iaitu wadah pementasan golongan atasan seperti British di Singapura.

Malah Bani pernah menjadi pengurus panggung ini sebelum dilamar bekerja sebagai penerbit sambilan untuk drama di Radio dan Televisyen Singapura (RTS) pada akhir dekad 1960-an.

Singapura menjadi wadah drama daripada pelbagai sumber yang dipentaskan. Misalnya buku ini menampilkan sedutan skrip Awal dan Mira karya penulis Indonesia, Utuy Tatang Sontani (1920-1979). Ia pernah dipentaskan oleh Perkumpulan Seni (diasaskan pada 1955 oleh Bani dan rakan-rakan termasuk Usman Awang dan Hussein Jahidin).

Pak Djamal turut mengulas kehadiran penulis skrip dari Nadiputra yang diangkatnya sebagai yang paling prolifik di Nusantara sehingga Sapiee Ahmad Razali.

Namun beliau juga memberi tabik kepada generasi baharu dramatis Singapura seperti Khairul Anwar Salleh (kini tokoh media korporat di Malaysia) dengan ‘devised play’ iaitu pendekatan menghasilkan drama tanpa skrip tetapi dihasilkan secara spontan dengan kerjasama pelakon, pengarah dan sebagainya sehingga membentuk cerita yang teratur.

Kehadiran dua dramatis iaitu Atin Amat (nama sebenar: Halimah Jaafar), penerima Pingat Budaya 2011, dan Alin Mosbit, telah mengangkat suasana pencerahan pementasan drama setempat. Dua sutradara wanita ini merupakan ‘tokoh’ penggerak Teater Kami.

Tidak syak, buku 'Sejarah Drama Melayu Singapura' memanglah suatu sumbangan penting Pak Djamal. Sayangnya seperti 10 buku yang lain, ia memerlukan penataan (reka letak) dan suntingan rapi dari segi ejaan, nahu sehingga membuat catatan nota kaki (terutama untuk bukan fiksyen) agar memudahkan pembacaan.

Kesemua 11 buku tadi boleh diperolehi di Muslim Media, Wisma Indah, Changi Road. Ayuh, sokonglah karya penulis setempat demi kesuburan bahasa dan persuratan Melayu kita. Jika bukan kita, siapa lagi?

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan