Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Tanah + ‘Air’ Dalam Hidup Orang Laut

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Drama ‘Air’ oleh Drama Box pada 12 hingga 14 Julai lalu di Teater Esplanade bak menyusuri sejarah Orang Seletar. Mohd Raman Daud mengupas kesan persembahannya yang mungkin antara drama terbaik buat Singapura.

Menonton drama, Air, bak menyingkap cebisan kisah penakatan (survival) Orang Seletar (suku kaum daripada Orang Laut) dalam menjejaki kesan tapak sejarah.

Orang Laut dikatakan oleh kalangan sejarawan, termasuk Buyong Adil (1907-1976), bahawa pernah menguasai perairan dua selat, Melaka dan Sunda.

Tahukah anda wira legenda Melayu, Laksamana Hang Tuah, juga berasal daripada Orang Laut dan Menteri Hj Othman Wok (1924-2017) digelar ‘Orang Laut Terakhir Singapura’? Dari segi antropologi atau ilmu kaji perkembangan manusia dan masyarakat, Orang Laut dipanggil Melayu Proto (Melayu yang awal atau Orang Asli).

Konsep drama ini iaitu pergantungan pada ‘air’ memang simbolik. Antara lain, Orang Laut tinggal di bot kajang di pantai dan jarang hidup di darat kecuali untuk berdagang tukar (barter trade). Menurut sarjana Malaysia, Prof Dr Abdul Mua'ti @ Zamri Bin Ahmad, istilah ‘tanah air’ mungkin hanya ada pada rumpun Melayu. Tanah leluhur atau nenek moyang orang lain dipanggil tanah bonda (motherland) atau tanah bapa (fatherland). Tetapi mengapa tanah + air?
Gambar: Raman Daud
PENTAS LENGKAP

‘Air’ persembahan Drama Box dari 12 hingga 14 Julai yang lalu, mungkin cuba menjawabnya.

Pentas drama Air menyerupai sebuah bot atau perahu kajang puak Seletar (juga dieja Silitar atau Slitar). Penonton (majoriti bukan Melayu) berada di utara dan selatan pentas. Pinggiran pentas pula dipancarkan sari kata Inggeris dan video penggambaran sekitaran Orang Seletar termasuk kampung dan hutan bakaunya. Dialog dalam Bahasa Melayu, tetapi ada percikan Bahasa Inggeris.

Seyogia pada 2019, Drama Box, sebuah badan teater Mandarin yang bertaraf amal, pernah mempersembahkan, ‘Tanah•Air’ (dua pertunjukan) sempena 200 tahun Singapura moden.

Maka ‘Air’ persembahan Drama Box dari 12 hingga 14 Julai yang lalu, bak sambungan daripada yang pertama. Ia dilakonkan secara hemat oleh empat pelakon (dua lelaki: Rizman Putra dan Saiful Amri Ahmad serta dua wanita: Dalifah Shahril dan Suhaili Safari). Lakonan mereka bak mewakili 3,000 orang Seletar.
Gambar: Raman Daud
Drama ini juga sebuah dokumentari iaitu bersandarkan kajian lapangan dan rakaman setempat oleh Drama Box pada 2019 (sebelum wabak COVID-19) dan Februari 2024. Maka ia boleh dikatakan sebagai dokudrama yang dipertingkat oleh sentuhan seni muzik yang mencengkam sukma dan tentulah pencahayaan dan lakonan.

Memandangkan dialog Orang Seletar turut disiarkan bersama dialog para pelakon, maka drama ini dipanggil ‘drama verbatim’ (verbatim: kata demi kata). Olahan skrip Zulfadli Rashid cukup padat dan meruntun hati.
Gambar: Raman Daud
ASAL ORANG SELETAR

Asal Orang Seletar ialah di Lembangan Kallang dan menyusuri Sungai Seletar dan Tasik Seletar sehingga Pulau Seletar di utara Singapura.

Namun sejak 1980, mereka sudah tidak mendiami kawasan ini tetapi berada dalam kategori orang Asli (Bumiputera) di bawah naungan kerajaan Malaysia (Johor) di sembilan kampung, pesisir Selat Teberau (Tebrau) – dari Kampung Teluk Kabung, Kampung Simpang Arang, Kampung Sungai Temun (Temon), Kampung Bakar Batu, Kampung Pasir Salam, Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Jawa dan Kampung Kong Kong.

Bahasa Orang Seletar ialah bahasa Kon yang tergolong antara bahasa rumpun Makronesia. Dialog drama ini turut diselitkan sejumlah kata Kon termasuk lagu rakyat, Yo Yong Sang, yang dinyanyikan ketika berperahu dan mencari rezeki di paya sehingga ke laut:

“Yo, yo, yo sang. Ke laung tangge lo bang. Ke da ah melintang pukang kayoh sa”

Arahan bersama Encik Adib Kosnan dan Encik Kok Heng Leun (pengasas Drama Box pada 1990), drama ini berjaya mengangkat isu hak asasi manusia – bahawa nasib Orang Seletar perlu diberi perhatian dan pembelaan. Namun pada akhirnya, mereka sendiri yang perlu menentukan masa depan mereka.

Daripada dialog para pelakon tertonjol bahawa sebahagian Orang Seletar sudah memeluk Islam, Kristian atau masih beragama nenek moyang. Memandangkan adanya sempadan di laut, mereka tidak sebebas nenek moyang mereka untuk mengembara. Dan demi mencari ‘ilmu’, mereka perlu menyekolahkan anak mereka dan mencari nafkah di darat.
Gambar: Raman Daud
Konsep Tuhan bagi mereka ialah sebagai ‘bapa’ atau ‘datuk’ ataupun ‘penjaga’. Mereka dikatakan tidak punyai konsep ‘mohon maaf’ atau ‘berterima kasih’. Benarkah begitu? Dan konsep ‘kahwin’ pula apabila lelaki dan wanita membuat hubungan badan dan terus bersama.

Fakta sejarah mendedahkan bahawa di sebalik ingin ‘bebas melata’ mereka pernah ditadbir oleh Temenggung Abdul Rahman dalam zaman Raffles “membuka loji” di Singapura. Ini menunjukkan mereka menghargai (tahu berterima kasih) jika diberi perlindungan.

Sasterawan Negara Malaysia, Dr Muhammad Hj Salleh, telah mengkaji asal usul Hang Tuah sehingga ke sebuah desa Orang Laut di Sumatera. Menurutnya, Dang Mahmud iaitu bapa Hang Tuah, ingin perubahan pada tahap hidup keluarganya sehingga sanggup ‘merantau’ ke Lingga untuk mendapat perlindungan Sultan (pentadbiran yang rasmi dan teratur).

‘Air’ tidak memiliki pemecahan bab dan adegan tetapi paparan konflik demi konflik selama sejam setengah tanpa henti. Para pelakon bercerita tentang suasana hubungan antara kaum Melayu dan Cina, erti perubahan yang ditanggapi dengan emosi yang menggetarkan (mentelah diiringi oleh paluan dan muzik secara langsung (live)).
Gambar: Raman Daud
Jelas sekali dari permulaan sehingga akhir, penonton didedahkan dengan pelbagai kemelut zahir dan jiwa Orang Seletar yang seolah-olah mencari-cari hala tuju masa depan mereka.

Mesej utama dalam drama ini terpapar pada kata-kata Saiful Amri Ahmad selaku Jeffri bin Salim (mewakili Tok Batin Salim bin Palun) mengenai peri perlu azam jaya diri bagi Orang Seletar:

Bagi saya, jangan lupa daratan. Tak kisahlah awak masuk Muslim ke, masuk Kristian ke, ikut adat ke, kahwin Cina ke. Bagi saya identiti Orang Laut tu, jangan lupa lah, adat, budaya. ...

Kalau dia masih ingat asal usul dia, kalau dia masih pegang adat dia, dia tak kan lupalah. Kalau dia salah campur, susah nak cakap. Selagi kau hidup, kau carilah saudara-mara kau....


Selepas persembahan, para pelakon yang tampak letih dan pengarah Adib berdialog dari hati ke hati pula dengan penonton.

Antara lain, seorang penonton remaja Melayu (berusia 16 tahun) amat terkesan dengan drama itu sambil menegaskan bahawa untuk menakat, sesebuah kaum perlukan warisan sebagai sauh identiti dan hala tuju yang jelas. Tidak syak, ‘Air’ boleh dikatakan antara drama terbaik berjati diri Singapura.

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan