ULASAN: Sumbangsih Buat Nordin Ahmad
Walaupun lebih setengah abad berlalu, nama seniman Nordin Ahmad masih diperingati di Singapura dan Malaysia.
Nama seniman Nordin Ahmad masih diperingati di Singapura dan Malaysia. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Ramai daripada generasi muda Melayu mungkin hanya mendengar nama P. Ramlee sebagai tokoh besar seniman silam, mungkin kerana lagu-lagunya masih diputarkan di radio.
Jasadnya disemadikan di Perkuburan Muslim Bedok (sisa kuburan ini masih ada di estet Bedok South) dan kemudian dipindahkan ke Pusara Abadi.
Catatan kisah hidupnya dan sumbangsih madah (puisi) daripada sebahagian para peminatnya tersaji dalam buku biografi interaktif dan antologi puisi, Legenda Nordin Ahmad Dari Seberang Perai ke Singapura, terbitan Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Buku ini (cetakan pertama: 2024 dan kedua: 2025) selenggaraan Dr Sohaimi Abdul Aziz, mantan mahaguru di Universiti Sains Malaysia dan sasterawan nusa, Anuar Othman.
Almarhum Nordin Ahmad dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929, belajar dan membesar di nusanya.
Beliau berkelana ke Singapura untuk bekerja sebagai kerani di Pangkalan Tentera Udara Diraja British di Seletar, pada 1951. Pada mulanya beliau tidak berhasrat hendak menjadi pelakon filem. Tetapi dek terlihat iklan mencari pelakon baharu di akhbar Utusan Melayu, kalangan rakan sekerja mendorongnya untuk menyertai uji bakat di studio Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas. Sayangnya, pengarah S. Ramanathan yang menguji bakat lakonannya, mendapati Nordin tidak sesuai.
Namun, beliau ditawarkan bekerja di studio itu. Di sinilah beliau bersahabat dengan P. Ramlee (1929-1973) yang juga anak Pulau Pinang. Kemudian timbul peluang untuknya sebagai pelakon sampingan (tanpa dialog) dalam beberapa filem termasuk Rayuan Sukma dan Juwita (kedua-duanya pada 1951).
Akibatnya, nama Nordin merudum. Beliau kembali sebagai pelakon tambahan, terutama watak antagonis. Namun, beliau dinilai rakan-rakan kerjanya sebagai tabah dan jarang marah.
P. Ramlee bertanggungjawab menaikkan semula nama Nordin menerusi filem arahannya, Semerah Padi yang pecah panggung pada tahun 1956. Nordin berlakon sebagai Teruna iaitu hero utama. Sejak itu, namanya menyerlah dan sebaris dengan para bintang ternama dalam industri filem Melayu di Singapura.
Ketika tamat kontraknya bersama MFP, pada 31 Disember 1956, Nordin dilamar oleh Cathay-Keris Film Productions dengan ganjaran lebih menarik. Sekali lagi atas nasihat P. Ramlee, Nordin pun berpindah. Bintangnya pun bersinar lebih gemilang.
Beliau mengharumkan filem-filem Cathay-Keris seperti Hang Jebat (1961) arahan Hussain Haniff, Chuchu Datok Merah (1963) oleh M. Amin dan Sri Mersing (1961) oleh Salleh Ghani.
Beliau ditawarkan tugas pengarah dan pada 1964, maka muncullah Wan Perkasa yang kurang berjaya. Namun begitu, beliau terus mengarah filem-filem Kaseh Ibu, Naga Tasik Chini, Play Boy, Kekasih, Si Murai, Nafsu Belia, Keranda Berdarah, Mat Lanun dan Lubang Neraka. Keseluruhannya beliau terlibat dalam 55 filem termasuk yang terakhir, Jahanam (1971) bersama seniwati Saadiah dan arahan M.Amin.
Nordin dilaporkan media, sebagai mengakui bahawa bakatnya lebih terserlah sebagai pelakon berbanding pengarah. Bertubuh tegap, kacak dan mahir bersilat, penjiwaan lakonannya – luaran dan dalamannya – amat mengesankan, diperkuat sebutan dialognya yang jelas dan beremosi.
Kalangan peminatnya menilai karisma Nordin Ahmad lebih mengesankan berbanding P.Ramlee terutama sebagai hero serius atau berwatak anti-hero dalam filem Hang Jebat.
Dalam buku ini, entah berapa kali dialog Nordin sebagai hero, Damak (berganding dengan Rosnani), dalam Sri Mersing dipetik para pemujanya:
Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.
Dalam filem Gurindam Jiwa (1966) yang romantis dan penuh debar, Nordin berduet dengan Latifah Omar selaku isterinya, dengan mendendangkan lagu tema (lirik Hamzah Hussin dan gubahan Wandly Yazid) yang antara senikatanya:
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Dek demam kuning, beliau dirawat di Hospital Besar Singapura dan wafat pada 15 Jun 1971 ketika berusia masih muda, 41 tahun – meninggalkan balu, seniwati Salmah Ibrahim, dan tiga anak: Asmah, Norman Shah (Tuah) dan Asnor.
SESUDAH ZAMAN EMAS
Zaman emas filem Melayu di Singapura dicatatkan bermula pada 1934 dengan filem Laila Majnun lakonan para pelakon dari industri bangsawan seperti Pak Suki dan Sharif Medan. Kemudian tertubuh MFP (1947-1969) yang menghasilkan 150 filem dan Cathay-Keris (1953-1973) dengan hampir 100 filem Melayu serta beberapa pengeluar kecil seperti Nusantara dan Maria Menado Production. Pada 1973 dengan tertutupnya studio Cathay-Keris di Jalan Buloh Perindu, Siglap, berakhirlah era itu.
Banyak filem Melayu zaman itu masih dapat dinikmati di YouTube. Cuma ada kala mutunya kurang memuaskan. Ada juga percubaan ‘mewarnakan’ filem Melayu hitam putih itu agar lebih menarik.
Yang pasti, buku ini ‘ringkas tapi padat’ dalam mengungkapkan penghargaan setimpal kepada Nordin Ahmad. Ia disertai pautan kod QR (pautan video wawancara Dr Sohaimi dengan seniwati/pengarah Rosnani).
Di Pulau Pinang, buku ini telah dilancarkan bersama Galeri Karyawan Nordin Ahmad oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang pada 11 Januari lalu. Rumah asal kelahiran Nordin telah dimamah masa tetapi berganti dengan ‘replika’ untuk disewa pelawat di Sungai Besar, Selangor.
Seniman ternama
Pergimu sebelum senja
Yang tinggal hanya suara dan watak
Kekal ditatap di layar perak
Wibawa tak bergalang ganti
Untuk seribu tahun lagi....
MENGENAI PENULIS
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.