ULASAN: Mesej Padat Dalam Filem Gayong
Pelbagai ulasan dibuat mengenai filem ‘Gayong’ yang dilaporkan telah meraih kutipan pecah panggung dalam beberapa minggu sejak ia ditayangkan.
Filem 'Gayong' terbitan Sol Pictures Sdn Bhd diinspirasikan daripada kisah sebenar perjalanan hidup pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Meor Abdul Rahman. (Gambar: Instagram/bernamaofficial)
Menonton filem ‘Gayong’ baru-baru ini bak mengimbas kenangan tentang perjuangan untuk merdeka di Singapura dan Malaya (Tanah Melayu) yang dijajah British dan kegetiran Pendudukan Jepun (Perang Dunia II, 1942-1945).
Lakonan Beto Kusyairy selaku wira dan isterinya ‘Som/Com’ iaitu Kalsom Hj Kecik (lakonan Nabila Huda), filem ini seolah-olah suatu riwayat atau biografi mahaguru silat Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim (1915-1991).
FILEM DAN HAKIKAT
Pendekatan filem mengenai tokoh sering bertukar menjadi cereka (fiksyen) kerana pelbagai faktor seperti kesukaran penggambaran, walaupun publisiti atau serantanya mendakwa ia suatu biopik (gambaran biografi/riwayat hidup). Agar penonton terpaku pada layar, maka dipertingkatkan kesan debar atau dramatiknya.
Filem ini dimulakan dengan babak pertarungan jaguh tomoi (bela diri Thai) yang bongkak mencabar setelah mengalahkan beberapa lawan. Akhirnya Meor muncul untuk menundukkannya secara budiman sambil berpesan seni bela diri bukan untuk bermegah-megah. Babak ini agak lama juga, penuh aksi mendebarkan diiringi paluan gendang.
Babak selanjutnya menyaksikan Meor dan isteri bersama anak sulung, Fadilah, diiringi keluarga di stesen kereta api Taiping untuk bertolak ke Singapura. Ketika itu, terpapar kilasan ibu bapa Meor dan datuknya.
Menurut versi PSSGM, datuk kepada Meor (sebelah ibu) ialah seorang Arab, Syed Zainal (bin Syed Idris) Al-Attas. ‘Meor’ adalah gelaran bagi anak yang ibunya berketurunan Sharifah (berdarah keluarga Rasulullah - Arab Hadrami). Wikipedia menyatakan Syed Zainal ialah bekas hulubalang Pahang, yang melatihnya dengan ilmu silat warisan Daeng Kuning dari Sulawesi.
Meor, isteri dan adik iparnya, Mat (lakonan Syafie Naswip) tiba di Pasir Panjang agak lewat tetapi disambut baik oleh jiran-jiran. Paginya ketika di ‘pasar tani’, Meor bergelut dengan insan yang disalah sangka pencuri tetapi sebenarnya seorang pesilat (lakonan Yayan Ruhian, pendekar Pulau Sudong). Sejak itu, imej Meor sebagai pesilat mula ketara.
Dalam versi PSSGM pula, Meor dan Mat telah bekerja sebagai pemateri di Naval Base dan setelah itu sebagai mekanik di Berek Gillman untuk pasukan Royal Signal Corps.
Filem ini memaparkan pandangan hina para pegawai British terhadap peribumi – termasuk adegan dua pegawai memakai kanta malam untuk membelasah Meor dan Mat di dalam stor pinggan mangkuk yang dimatikan lampunya – namun mereka kalah. Sejak itu, kehebatan Meor (sesudah menundukkan ahli kung fu yang menjadi jurulatih askar di kem) telah dimanfaatkan British.
Dalam versi PSSGM, Meor berpindah bersama dua isteri, ibu mentua, adik ipar dan anaknya, Fadilah ke Kampung Raden Mas. Tetapi dalam filem, Meor hanya diam di Pasir Panjang dan kurang bersiap sedia sehingga berlaku pengeboman Jepun dan terpaksa berpindah ke Pulau Sudong. PSSGM mencatatkan Meor ada membina kubu bawah tanah (di mana?) dan kemudian berpindah ke Pasir Panjang dan selanjutnya, Pulau Sudong.
PUNCAK CERITA
n tentera Jepun pimpinan pegawainya, Yamada yang sengaja membiarkan Meor dan kalangan orang kampung melarikan diri ke Sudong. Rupa-rupanya, Yamada dengan pasukannya yang lebih lengkap telah mendatangi Sudong. Namun Meor dan penduduk Sudong juga lebih bersedia.
Dalam detik paling cemas, Yamada memberi kata dua agar Meor mengalahkannya demi penakatan penduduk di situ. Bermula dengan berlawan pedang yang dimenangi Meor dan akhirnya anggota lawan anggota. Ternyata jaguh Jepun itu tewas dan berundur dengan hormat. Terselit juga adegan cemas apabila Som menunjukkan kecekalannya mengalahkan serdadu Jepun yang tunggal tetapi bersenapang.
Filem berakhir dengan janji ada sambungan. Menurut Wikipedia, ‘Gayong @’ akan menampilkan para pelakon Singapura.
Zaman pembentukan Dato’ Meor memanglah di Singapura. Sesudah bersara, barulah namanya masyhur di Malaysia dan Indonesia sehingga dihebohkan pernah mengalahkan Bruce Lee, pelakon kung fu legenda.
SEMANGAT JUANG
Seperti filem ‘Mat Kilau’, ‘Gayong’ juga memancarkan azam juang orang Melayu dalam berhadapan dengan penjajahan. Bezanya, dialog ‘Gayong’ lebih mendasar, padat dan bernas. Plot atau rangka ceritanya kemas. Rentaknya lebih tersusun tanpa mengurangi debaran. Sebahagian kata bualnya wajar dikhazanahkan:
Silatku bukan untuk mencari musuh
Tapi untuk menjadikan bangsaku ampuh. (kata Meor)
Paling sakit bila yang disayangi disakiti
Tanah ini juga jangan biarkan ia disakiti. (kata Som)
Watak-watak orang kampung Pasir Panjang tampak sopan dan terbentuk satu persatu dengan semula jadi. Mujur terdapat lebih banyak sorotan pada para pelaku, khususnya Meor selaku wira yang ‘hidup’ lakonannya – penjiwaan lakon luar dan dalamnya amat berbekas. Begitu juga isterinya, Som, berjaya menunjukkan kehalusan seorang ibu tetapi gigih untuk berjuang bersama suaminya. Dialog mereka dan suara hati Meor membentuk ‘falsafah’ filem ini.
Pun terdapat kritikan bahawa ada dialog yang tidak kena seperti menyapa orang kampung dengan ‘hai’ atau slanga (loghat) British yang tidak ketara tetapi lebih slanga Amerika. Namun, ini kekurangan kecil sahaja yang boleh diatasi andai pembetulan hendak dibuang menerusi proses suai suara atau dubbing.
Dengan bajet terhad, ‘Gayong’ bergantung pada kesan khas (special effects) seperti suasana pengeboman oleh pesawat Jepun dan kebakaran dengan penggunaan teknik paparan komputer (CGI). Ada kritikan bahawa kesan khas kurang meyakinkan dan boleh dirapikan lagi sebaik filem besar Hollywood. Atur lawan yang disusun Yayan Ruhian (juga selaku watak Wak Kesang, pendekar Pulau Sudong) memang menakjubkan.
MENJAGAT
Dilaporkan bahawa ‘Gayong’ akan cuba dieksport sejauh Amerika Latin. Usaha pemasaran ini tentulah penting bukan sahaja dari segi komersial, tetapi juga menonjolkan imej seni silat gayong dan keupayaan filem terbitan rantau ini. Diharap suatu hari nanti, filem rantau ini dijulang di pesta filem dunia seperti di Cannes. Dan selagi silat terus dipancarkan, diharap orang Melayu sendiri akan lebih gigih untuk mengamalkan warisannya bukan sahaja untuk bela diri, maruah tetapi juga kesejahteraan jasmani dan rohani.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.