Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Mencari kelembutan dalam beragama – mengapa ia semakin mendesak

Kalau teks agama dibaca dan difahami dengan teliti kita dapati ia sebenarnya tidaklah statik, malah cukup responsif untuk memberi jawapan kepada cabaran-cabaran semasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
ULASAN: Mencari kelembutan dalam beragama – mengapa ia semakin mendesak

Lambang berbilang agama (Gambar Wikipedia)

Kita mungkin pernah terbaca kata-kata Einstein: “Ilmu tanpa agama adalah buta dan agama tanpa ilmu adalah tempang.”

Ia mencerminkan  keseimbangan yang sentiasa dicari oleh manusia antara peranan ilmu (termasuk akal dan sains) dengan agama.

Keseimbangan itu memang sukar dicari dan sejauh ini masih merupakan suatu pengharapan daripada pernyataan realiti sejarah.

Hakikatnya baik dalam sejarah Islam atau pun Kristian Barat apa yang pernah berlaku adalah pergelutan antara ‘ilmu’ pada satu pihak dengan ‘agama’ di satu pihak yang lain.

Pergelutan ini hanya boleh diatasi jika adanya kesediaan semua pihak untuk menerima dan memperakui bahawa setiap satu bidang itu mempunyai peranannya masing-masing.

Bagi penulis perbandingan agama,  Karen Armstrong,  beliau melihat keseimbangan dan keharmonian yang diinginkan ini terletak pada sejauh mana kita memahami sejarah.

DIHAYATI SECARA LITERAL

Bagi Armstrong, pendirian yang diambilnya agak konsisten dengan tulisan-tulisannya yang terdahulu. Bagi Armstrong pada asasnya teks sesebuah agama (sebagai kitab suci atau ‘scripture’) menjadi lebih bermakna bergantung kepada bagaimana ia difahami dan untuk tujuan apa ia digunakan.

Pokok permasalahan yang diketengahkan oleh Armstrong adalah teks agama, baik Al Quran, Bible, Bhagavad Gita dan banyak lagi, kini lebih kerap difahami dan dihayati secara literal,  tegar dan tidak bertolak ansur.

Teks-teks ini kian dilihat dan dibaca  sebagai sumber ilmu pengetahuan yang serba lengkap yang tidak perlu lagi diimbangi dengan sumber ilmu pengetahuan yang lain.

Pendekatan ini tidak tepat kerana ia kerap menyebabkan fahaman dan tafsiran yang sempit.

Antara sebabnya adalah kerana ia gagal melihat peranan sebenar bahan-bahan agama itu dalam membantu kita melaksanakan transformasi jiwa dan kerohanian.

SUMBER PEDOMAN

Bagi Armstrong kalau teks agama itu dibaca dengan fleksibel, dengan sikap tenang dan bertolak ansur – kita akan dapat melihatnya sebagai sumber pedoman yang menggalak kepada kebaikan, ketenangan, sikap penyayang dan sebagainya.

Tetapi jika ia dilihat sebagai buku pedoman yang serba serbi lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan, akan   timbul salah faham bahawa kita tidak lagi memerlukan sumber-sumber ilmu yang lain.

Kita juga boleh menjadi alpa untuk mengambil pendekatan yang segar dan selari dengan keadaan semasa dalam melihat apa yang sebenarnya hendak dinyatakan oleh teks agama.   

Dalam sejarah kerohanian manusia, Armstrong melihat teks agama sebenarnya tidaklah statik, malah cukup responsif dalam memberi jawapan kepada cabaran-cabaran semasa.

Untuk membolehkan teks agama berperanan dengan berkesan, ajaran-ajaran utamanya tidak boleh terikat kepada norma-norma sains moden atau sebagai teks agama semasa.

BUKAN SAINS

Menurut Armstrong peranan sebenar teks agama  bukanlah untuk bertindak sebagai buku saintifik atau suatu catatatan sejarah yang tepat.

Peranan pentingnya adalah untuk memberi ruang kepada kita dalam melhat sesuatu isu itu menerusi pendekatan  pemikiran yang ‘kreatif dan imaginatif’.

Pendekatan begini membolehkan kita melihat sesuatu kebenaran itu tanpa perlu mengorek sedalam-dalamnya setiap fakta atau pernyataan yang terkandung dalam teks agama, sehingga kita terjerat dalam memahami sesuatu itu secara literal.

Berbeza daripada pandangan bahawa teks agama itu statik, Armstrong melihatnya sebagai berkembang secara fleksibel dalam memupuk sikap yang prihatin, empati dan berjiwa besar.

Dalam situasi begini pendekatan yang diambil dengan melihat agama sebagai suatu dinamika yang sentiasa memandang ke hadapan dan sentiasa boleh membuat penyesuaian apabila perlu.

MEMANDANG KE BELAKANG

Pendekatan yang salah menurut Armstrong adalah dengan membuat penekanan bahawa kebenaran sesuatu agama itu diukur dengan membandingkannya dengan kemajuan sains dan ilmu pengetahuan.

Penekanan begini kata Armstrong akan hanya menyebabkan pengikut agama sentiasa memandang ke belakang (untuk mencari-cari apa sahaja yang boleh dianggap sebagai bukti keserasian agama dengan sains).

Seperti kata seorang pengamat, ini hanya menggalakkan ideologi kita diselitkan dalam mempengaruhi perkembangan sesuatu pemikiran agama atau sains.

Contohnya, oleh kerana pengaruh ideologi fundamentalis Kristian yang menolak teori evolusi lahirlah apa yang dipanggil Creation Science atau Creationism.

Selaras dengan tafsiran literal terhadap apa yang disebut dalam Bible (Genesis 1), alam kita ini  tercipta dalam tujuh hari, dengan usianya kini sekitar 10 ribu tahun sahaja!

Bayangkan apa yang akan terjadi pada perkembangan sains sekiranya kepercayaan agama yang terbatas ini dipaksakan ke atas para saintis, pelajar dan masyarakat.

Tentunya  pertumbuhan ilmu pengetahuan keseluruhannya akan terjejas dengan kita semua masih lagi terperangkap dalam minda zaman batu.

PERUBAHAN DARI DALAM

Jelas bahawa untuk menyegarkan kembali pemikiran agama bukanlah dengan memaksakannya menjadi lebih rasional dengan teks agama dilihat sebagai bahan rujukan untuk fakta-fakta sains dan sejarah.

Peranan utama pemikiran agama bagi sarjana seperti Armstrong adalah untuk menjadi sumber kerohanian yang kental yang boleh membawa ‘perubahan dari dalam’ setiap insan.

Sejajar dengan nilai-nilai asas yang terkandung dalam Al Quran, transformasi kerohanian ini haruslah menjadikan seorang Muslim itu lebih jelas dan komited terhadap tanggungjawab utamanya sebagai orang Islam.

Iaitu tanggungjawabnya dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan penyayang, di mana kemewahan dikongsi dengan semua, sementara yang miskin dan lemah - tidak kira Muslim atau bukan Muslim -  dlindungi dan dilayani dengan baik.

Inilah masyarakat yang benar-benar melaksanakan tangungjawabnya sebagai penyebar rahmat kepada seluruh alam.

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan