Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Karya Akhir Wasiat Pak Suratman

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Siapakah sesudah Suratman Markasan yang gigih melaungkan kepedulian menerusi persuratan agar masyarakat Melayu Singapura memelihara jati dirinya?

Mohd Raman Daud menyusuri pesan sesepuh ini menerusi karya terakhirnya, kumpulan puisi ‘Kukuruyuk!’


Menyusuri kumpulan puisinya yang terakhir, Kukuruyuk!, terasa seolah-olah Suratman Markasan (29 Disember 1930-27 Februari 2024) masih malar segar berbicara kepada masyarakat Melayu Singapura.

Hayatilah wasiat beliau yang cukup jelas maksud dan arah tujunya:

“Saya mengajak bangsa Melayu dan pemimpinnya merenung dan berfikir: Bahawa dalam masa 40 tahun, atau sekurang-kurangnya 20 tahun lagi – apakah masih ada orang Melayu di Singapura lagi?”

Beliau menggunakan tiga penanda jati diri orang Melayu iaitu beragama Islam, berbudaya dan berbahasa Melayu.

Menurutnya, Islam tetap masih menjadi pegangan orang Melayu dan begitu juga budayanya seperti adat perkahwinan.

Namun, yang kian pudar ialah kefasihan berbahasa Melayu yang merupakan wahana yang mendukung jati dirinya.

Keprihatinannya disandarkan pada graf menurun penggunaan Bahasa Melayu (BM) di rumah iaitu mencecah 65 peratus menurut Banci Penduduk 2020.

SI TUA RENTA YANG PEDULI

Menyifatkan dirinya sebagai ‘si tua renta’ dalam kumpulan 62 kuntum sajak ini, Pak Suratman memanglah sasterawan yang tidak lelah menyuarakan isu-isu masyarakat Melayu sejak 1950-an sehingga nafas akhirnya.

Tidak syak beliau memang penulis prolifik bermula dengan sajak, cerpen dan novel (kecuali drama). Beliau juga sibuk sebagai guru, penolong pengarah pendidikan bagi Bahasa Melayu dan Tamil dan aktif dalam Angkatan Sasterawan ’50, Kesatuan Guru Melayu Singapura, Majlis Pusat dan masjid.

Menerusi sajaknya, ‘Ketika Menjelang 90 Tahun Usiaku’, Pak Suratman dengan terus terang dan polos mengingatkan bahawa masyarakat Melayu bakal dalam kerugian kerana perubahan pesat masa yang mencabut erti kemanusiaan dan ihsan, apatah lagi erti jati diri pada bahasa dan budaya warisan.

ada orang umur semacamku tak mahu campur olahan dunia lagi
duduk di masjid dari pagi sampai senja hari
tapi tak kurang umur di jalur begini
mahu terus mengusung diri menolak teman musuh sejati
mencari harimau Asia yang sesat di ujung negeri
kekadang mengaum macam singa tunggangan diri
kamu si tua lain tak mungkin bijak semacam daku
tapi dia lupa diri sejarah membukti dia selalu keliru
nilai harimau terus jatuh kerana olahnya diri
oh, itu bukan salahku itu kerja si anu dan si anu!


Buku ini menghimpunkan puisi beliau dengan penggolongan yang agak unik iaitu 38 kuntum puisi dibubuh tema berjudul ‘Perjalanan Lahir Batin’ dan baki 24 kuntum puisi dikelompokkan dengan judul ‘Perjalanan Batin Yang Tidak Sudah-Sudah’.

Puisi dengan judul ‘Kukuruyuk!’ diangkat sebagai judul buku setebal 96 halaman.

Namun tiruan ‘bunyi’ kokok ayam jantan itu (menurut loghat Betawi di Jakarta) seperti tidak ‘kena-mengena’ dalam menceritakan pengalaman penyair dalam rangka wisata bersama keluarganya ke Turki pada 2019.

Catatan perjalanan ke Tanah Suci iaitu melaksanakan umrah turut beliau puisikan sehingga mencakupi berita di Arab News mengenai forum strategik Arab. Pak Suratman hairan dengan tindakan tegas melenyapkan gerakan pelampau Arab tetapi yang digantikan pula dengan kebebasan ala Barat seperti membiarkan wanita Arab dapat bergaul bebas.

Sebagai seorang Islam, Pak Suratman amat menonjolkan sikapnya untuk berdakwah seperti dalam sajak, ‘Menghitung Hari Tak Menghisab Diri’ yang ditulisnya pada 2 April 2020 ketika meluas wabak COVID-19:

semua orang menghitung hari
tapi manusia tak menghisab diri
mengapa corona virus 19 muncul begini
pemimpin dunia di mana-mana negeri
mengeluh berfikir sendiri-sendiri
rakyat ketularan bertambah tinggi
rakyat yang mati juga mengerikan diri
tidakkah kamu sedar diri
di mana salah dirimu?
di mana antidotnya itu?
kalau bukan dari Yang Maha Kuasa!


Pengamatan beliau mengenai wabak COVID-19 yang turut mewarnai suasana berkempen politik yang terpapar dalam sajak ‘Pilihan Raya 2020’ yang antara lain menyatakan tentang pilihan sukar untuk masa terdekat – memberhentikan pekerja, melepaskan pekerja asing (hijrahan) dan sebagainya.

Buku ini suntingan Hartinah Ahmad, juga seorang penulis mapan yang disegani, dapat dikatakan berisi lagi menarik.

Sayangnya terdapat sejumlah kesilapan ejaan yang wajar diteliti sejak awal agar tidak menjejas keasyikan pembaca.

Sayang terkilan, bak diakui oleh Cik Hartinah, Pak Suratman tidak sempat menyaksikan siapnya buku ini atau detik pelancarannya oleh penerbitnya, Ombak Scripthouse Production.

Betapa pun begitu, kumpulan puisi terakhir insan yang dianggap antara sesepuh (istilah Jawa mengenai tokoh yang dituakan atau sarat ilmu dan pengalaman lagi dihormati) kesusasteraan Melayu Singapura perlu dijulang.

Ia menunjukkan azam besarnya pada detik-detik perih dan dibebani bimbang akan masa depan orang Melayu Singapura. Bacalah wahai saudara....

*Orang ramai boleh meminjam buku ini daripada perpustakaan NLB.


MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan