Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ULASAN: Firasat Isa Untuk Masa Depan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan terbit novelnya ke-12, ‘Firasat’, yang dilancarkan pada Sabtu 4 Januari lalu, Isa Kamari membuktikan dirinya sebagai tukang cerita prolifik dan juga pemuka ilmu firasat.

Ayuh hidupkan semula ilmu firasat!

Begitulah seruan Isa Kamari, sasterawan mapan 64 tahun, yang sedang menamatkan kajian doktoratnya (PhD) mengenai firasat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Dalam majlis dihadiri sekitar 30 tetamu pada petang Sabtu (4 Jan) lalu di bangunan NLB, beliau menyampaikan ceramah 30 minit berjudul, ‘Ilmu Firasat dalam Budaya Melayu’ diiringi persembahan slaidnya. Menurutnya, beliau terpanggil oleh anjuran Dr Jelani Harun, pakar sastera klasik Melayu di Universiti Sains Malaysia, hampir suku abad lalu – agar ilmu lama ini digali dan dikembangkan dalam konteks pasca moden.

AKAL DAN HATI

Menurut beliau, ilmu firasat merupakan antara khazanah Islam yang terpapar dalam sejumlah kisah nabi dan wali. “Ini ilmu hati insan yang amat patuh kepada Allah sehingga dianugerahi dengan keistimewaan daripada-Nya dalam memberikan jangkaan tepat tentang sesuatu.”

Kisah dari Quran iaitu Nabi Yusuf (a.s) dan kisah Nabi Musa (a.s.) bertemu insan luar biasa (Nabi Khidir a.s.) amat jelas melukiskan erti ‘firasat’ – sesuatu yang dilakukan mendahului masa.

Pada hematnya, ilmu firasat yang meliputi kemahiran membaca tanda seperti ciri dan mimik muka (fisiognomi), sehingga tanda alam telah hampir luput dalam amalan orang Melayu hari ini. Atas kesedaran inilah, beliau sedang menghasilkan kajian peringkat doktorat mengenainya. Beberapa eseinya tentang ilmu ini boleh diakses di internet.

Encik Isa, pesara jurubina atau arkitek kanan di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), memang gigih dalam bidang persuratan dan telah meraih ijazah sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tambahnya lagi, firasat bukanlah ilmu jangkaan bersandarkan akal (nalar) seperti menjangka kelakonan ekonomi berdasarkan unjuran data (data projection) atau mencerap sejarah (historical observation). Ia adalah ilmu hati yang berteraskan lima teras – kepaduan, keseimbangan, keharmonian, kejelasan dan kesyumulan.

“Memang mempelajarinya amatlah mencabar tetapi bukan mustahil. Inilah kelebihan yang ada pada masyarakat Melayu dahulu yang telah hilang dek zaman. Maka, saya bertekad untuk cuba menghidupkan semula.

“Malah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, juga tampak cenderung untuk menerokanya sebagai sebuah modul,” jelasnya. Apakah ini bermakna beliau mungkin menjadi pensyarah bidang ini kelak? Mudah-mudahan.
 
NOVEL KE-12

Sebagai pengamal ‘bikin serupa cakap’, Encik Isa telah menghasilkan novel mengenai ilmunya iaitu novel ke-12 berjudul ‘Firasat’ yang siap pada tahun lalu.

Novel terbaharu Encik Isa dilancarkan Encik Hamed Ismail, juga sasterawan mapan berusia 76 tahun. Encik Hamed telah menggesa penerbit setempat termasuk Ombak Script Production yang menerbitkan ‘Firasat’, agar cekap menggunakan media sosial sehingga copywriter (penulis ala iklan) untuk memasarkan karya penulis nusa.

‘Firasat’ mencakupi pelbagai isu yang menjejas orang Melayu Singapura – dari kerapuhan rumah tangga, penagihan dadah, masalah pendidikan sehingga yang terbaharu iaitu ehwal kejantinaan (LGBTQ) selepas terhapusnya Akta 377A yang melarang hubungan sesama jantina.

Agak berbeza dengan novel-novel Encik Isa yang terdahulu, ‘Firasat’ sarat dengan sajak dan madah yang baharu dicipta atau dimuat kembali dari karyanya yang awal. Boleh dikatakan hampir di setiap bab novel ini diserikan puisi – seolah-olah mengembalikan pembaca ke zaman persuratan lama iaitu hikayat oleh para pelipur lara yang pintar menyulam cerita dengan syair, seloka dan gurindam.

WATAK DAN PLOT

Setebal 365 halaman (saiz A5), Firasat mengutarakan kisah cinta yang tidak sampai antara Ilham dengan Wani (Hazwani). Nama ayah Ilham ialah Firasat @Pak Sat, seorang noja yang memiliki tanah luas dan rumah usang tidak jauh dari Masjid Tentera. Sebelum wafat, hartanya sudah diberikan kepada Ilham, anak tunggalnya. Isterinya, Murni, meninggal dunia tidak lama selepas menimang Ilham.

Pak Sat mahukan dua kekasih ini ke jenjang pelamin tetapi mujurlah tersedar bahawa mereka sebenarnya saudara susuan (bukan saudara kandung tetapi menyusu daripada ibu yang sama) yang telah lama terpisah. Dari segi Islam, saudara susuan dinilai adik-beradik kandung. Mengapa ini berlaku? Moga pembaca dapat membaca novel ini dan menyelongkarnya?

Dilema LGBTQ pula dipaparkan pada watak Liza yang pernah diperkosa oleh seorang penulis ternama, sehingga membuatnya membenci lelaki dan menyukai wanita.

Hazwani pula telah memutuskan pertunangannya dengan Ilham setelah mendapati dirinya kurang sifat perempuan iaitu tidak boleh mengandung. Anehnya, Hazwani menerima seorang anak yang ditinggalkan wanita dari negara jiran.

Diberi upah besar oleh Encik Lee, pemaju hartanah yang licik, Liza cuba menggoda Ilham tetapi apakah dia berjaya? Anehnya pada akhir cerita, terdapat kejutan setelah Liza dan Encik Lee berubah sikap. Ini berlaku secara agak mendadak.
Jumlah watak dalam ‘Firasat’ memang terhad – mungkin kerana penulisnya mahu membangunkan setiap watak menerusi plot atau alur cerita. Encik Isa lebih cenderung menjadi pencerita yang memberikan ‘kesudahan’ atau jalan keluar bagi naratif atau cerita.

“Islam memberikan huraian. Maka sebagai penulis, saya rasa kita elok mengelakkan cerita berakhir tergantung iaitu cara penulis Barat yang kononnya cuba menguji daya imaginasi pembaca. Padahal, kaedah ini tidak menguntungkan sesiapa,” hujahnya.

Encik Isa telah menghasilkan tiga kumpulan puisi, dua kumpulan cerpen, beberapa naskhah teater dan seni kata lagu. Novel-novelnya yang berbahasa Melayu telah diterjemahkan ke beberapa bahasa dunia termasuk Inggeris, Turki dan Mandarin. Beliau dikurniai pelbagai anugerah persuratan termasuk Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Thailand: 2006), Pingat Budaya Singapura (2007), Anugerah Tun Seri Lanang (2009) dan Anugerah MASTERA (2018).

‘Firasat’ boleh ditimbangkan sebagai teks sastera untuk pelajar kita yang mengambil subjek Bahasa Melayu lanjutan. Olahan bahasanya cukup bernas lagi indah walaupun konflik atau benturan dalam plotnya boleh diruncingkan lagi.

Syabas Encik Isa kerana menyuburkan sastera Melayu nusa. Semoga profesional Melayu setempat dari doktor sehingga peguam juga teruja lagi terangsang untuk ghairah menuruti contohnya – gigih berkarya demi membangunkan tamadun nusa.

MENGENAI PENULIS
 
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @LBKM.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan