ULASAN: Dari Raja Ke Rakyat Demi Masjid

Buku sejarah Masjid Sultan bertajuk ‘The Grand Mosque of Singapore – Two Centuries in the History of Masjid Sultan’. (Gambar: Masjid Sultan)
Wajar dikatakan buku, ‘The Grand Mosque of Singapore – Two Centuries in the History of Masjid Sultan’ (Masjid Agung Singapura – Dwiabad Sejarah Masjid Sultan) sebagai ‘adikarya’ yang mengungkapkan bukan sahaja sejarah sebuah masjid istimewa, bahkan para tokoh dari raja sehingga orang biasa sehingga pembinaan nusa ini.
Buku ini dilancarkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di Auditorium Masjid Sultan pada 21 Julai lalu sebagai antara acara sambutan ulang tahun ke-200 masjid yang dianggap paling ikonik dan diiktiraf sebagai monumen watan sejak 1975.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang dipetik media, menilai buku ini “bukan sekadar merakam sejarah fizikal masjid, tetapi juga mengetengahkan semangat, kenangan dan perjalanan masyarakat yang telah tumbuh bersama Masjid Sultan”.
DOKUMENTASI UNGGUL
Masjid Sultan agak unik kerana diasaskan oleh Raja Singapura, Sultan Hussein Shah (1776-1835) iaitu lima kurun selepas zaman kerajaan silam dalam abad ke-14M. Beliau telah mengarahkan pembinaannya sebelum kedatangan Thomas Stamford Raffles (1781-1826) selaku wakil Syarikat Hindia Timur British (EIC) untuk perjanjian membuka loji. Atas gesaan Sultan, EIC memberikan biaya $3,000.

“Memang saya menunggu masa yang cukup sesuai untuk membentangkan dokumen penting itu kerana kita sebagai masyarakat memerlukan para pakar dan pengkaji yang berwibawa,” katanya yang merupakan pengamanah generasi keempat selepas moyangnya. Ayah beliau, Haji Abu Talib Ally merupakan pencetak perintis yang pernah bertanggungjawab menghasilkan banyak buku teks aliran Melayu, termasuk ‘Chahaya Baharu’ dan ‘Sinar Baharu’ (suntingan penulis tersohor, Cikgu Harun Haji Mohd Amin @ Harun Aminurrashid, 1908-1986).

PASUKAN TEGUH
Sesungguhnya, pasukan pengkaji dan penulis yang dihimpunkan untuk buku ini memang bukan calang-calang orangnya. Mereka terdiri daripada para ilmuwan Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Mereka termasuklah Hj Mohamed Puzi Mohamed, Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Sultan dan juga Pengerusi Projek Buku Dwiabad. Tulisannya cukup padat lagi bernas dalam menggariskan secara menyeluruh usaha pembukuan dalam mengetengahkan kepentingan Masjid Sultan sebagai institusi penting nusa ini.
Hj Puzi bekerjasama dengan 35 penulis termasuk Profesor Madya Emeritus Dr Hadijah Rahmat yang juga bertindak sebagai editor, Dr Imran Tajudeen (pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura) yang mengkaji identur dan aspek seni bina dan susun letak Kampung Gelam, Ustaz Dr Muhammad Quisary Taha (ahli pengajian Islam dan juga pengurus besar Masjid Sultan), Dr Azhar Ibrahim Alwee, Dr Nuraini Ismail sehingga Timbalan Mufti Dr Mohammad Hannan Hassan.
Prof Hadijah telah mengutarakan pelbagai bukti untuk menepis (debunk) catatan penjajah Inggeris yang menghina raja-raja Melayu. Ternyata di sebalik kelemahannya, Sultan Hussein mempunyai visi jauh, termasuk meminta didirikan sekolah ‘sekular’ yang kemudiannya dikenali sebagai Raffles Institution yang terkenal sehingga hari ini.
Selepas era ‘raja’ berakhir di Singapura atas sebab muslihat penjajah dan sebagainya, muncul golongan hartawan-dermawan yang menjadi ahli Lembaga Pengamanah Masjid Sultan. Merekalah yang telah memastikan pembinaan semula masjid dan pentadbirannya berjalan lancar walaupun dalam zaman getir seperti Perang Dunia II atau Pendudukan Jepun (1942-1945) dan peristiwa Natrah yang menyaksikan rusuhan berdarah.

ADIKARYA
Tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa penerbitan buku ini dapat disifatkan mencapai taraf ‘adikarya’ (masterpiece) dalam konteks Singapura. Ini kerana liputan luas dan rinci dalam mengupas detik-detik penting Masjid Sultan dan pola sepak terjang penjajah yang sungguh licik sehingga masjid ini cuba ditadbirkan oleh sebuah agensi kolonial.
Selanjutnya, terdapat tulisan mengenai masa depan masjid ini yang antara pertama meraih pensijilan cekap ISO 9000 – aspek yang dikaji oleh almarhum Ustaz Mohd Jakfar Embek (wafat 2 Ogos 2024 pada usia 65 tahun) yang sempat menghasilkan eseinya. Sebagai sebuah institusi yang ‘berdenyut’ (organik) Masjid Sultan dijangka terus berbakti dalam memberikan khidmat unggul bukan sahaja kepada masyarakat Singapura, bahkan pelbagai pelancong yang saban waktu mengunjunginya.

Tentulah diharap kegigihan pihak pengelola Masjid Sultan tidak terhenti di sini sahaja. Sekurang-kurangnya buku ini wajar dipaparkan dalam bentuk e-buku untuk dibaca oleh seluruh jagat. Bahkan, sebuah portal maya khas boleh diwujudkan untuk menarik perbincangan, kajian kesarjanaan dan sebagainya.
Himpunan atau koleksi bahan sejarahnya wajar disimpan rapi dan replikanya (salinan) dipaparkan untuk kajian. Bahkan wajar juga difikirkan edisi buku kisah Masjid Sultan yang berlukisan (ilustrasi) dalam dwibahasa Inggeris-Melayu untuk kanak-kanak.

Jika ada cacat atau silap kecil pada buku ini – mungkin untuk pembaca yang malap pandangan – saiz huruf yang kecil dan tidak tebal serta warna yang kurang menonjol. Namun ini boleh diatasi jika buku ini dicetak lagi atau ditangani setidak-tidaknya dalam penerbitan edisi elektronik.
Bukanlah mudah mengadakan penyelidikan rapi dalam tempoh yang amat terhad, dengan lebih 10 semakan utama (menurut laporan media) terhadap naratif sejarah yang sedia ada, serta dokumen era kolonial yang belum pernah diterbitkan. Dirgahayu kepada pasukan sambutan Dwiabad Masjid Sultan.
MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.