ULASAN: Cemburu dan Impian Idris Yusof

SINGAPURA : Sempena Pesta Buku Melayu di Wisma Geylang Serai baru-baru ini, buku kisah mantan pengarah muzik Polis Republik Singapura, Idris Mohd Yusof telah dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Datuk Bandar CDC Tenggara Mohd Fahmi Aliman.
Mohd Raman Daud menyingkap isi dan kesan daripada buku tulisan balunya, Zaharah Jantan.
“Gaya bercakapnya yang lemah dan romantik telah memikat ramai wanita. Wanita-wanita yang pandai berlakon dengan kata-kata dan bertingkah laku lembut (demi) mendapat perhatiannya...”
Kata-kata di atas tampak berisi rasa cemburu seorang isteri.
Apakah yang terjadi pada rumah tangganya? Kekal, retak, terasing atau tumbang?
Ini antara ‘mutiara’ dalam karya autobiografi atau lebih tepat lagi memoir guru pesara, Puan Zaharah Jantan, Aku, Idris dan Muzik. Diawali pendahuluan oleh dua mantan pemimpin Melayu, Hj Sidek Saniff, dan Hj Yatiman Yusof, buku ini boleh dikatakan unggul.
Lebih 300 halaman berformat ‘coffee table’, bersulam foto sejarah dan rindu, buku ini ditulis dengan tulus, polos dan santai sekali. Syabas kepada penulisnya yang di sebalik usia senja atau dalam Generasi Perintis, sudah menggagahi suatu usaha sukar, rinci dan perlukan daya ingatan jernih, ihsan jaringan teman dan saudara-mara demi mengesahkan fakta serta kesabaran tebal.
RENTETAN MASA
Pada kulit depan buku ini ialah foto Puan Zaharah dan suaminya, Idris Mohd Yusof (1947-2021) yang berpakaian seragam polis lengkap dengan lencana dan paku pangkat. Ia cukup bermakna kerana dengan jelas menceritakan apa yang bakal mengalir lewat pembacaan buku ini secara rentetan masa atau kronologi serta sentuhan romantis.
Dalam rangka Singapura membina identitinya sebagai sebuah watan berbilang kaum, agama dan bahasa, memoir sedemikian memang sungguh bermakna sebagai khazanah nusa. Ia menceritakan antara kisah warganya yang mendamba Impian Singapura.
Pertama, secara amat sederhana ia turut mengaitkan kisah zaman kebangkitan Singapura dari penjajahan British. Zaharah dan Idris dilahirkan tidak lama selepas zaman Pendudukan Jepun. Mereka melalui liku-liku pembangunan Singapura – zaman menuntut kemerdekaan, perpisahan dari Malaysia, berpindah dari kampung ke estet perumahan awam, memburu ilmu di luar negara, membesarkan anak dan melalui zaman senja. Tidak syak, buku ini boleh juga menjadi bahan siri drama televisyen.
ASAM GARAM
Antara lain, secara bersahaja, Puan Zaharah menceritakan latar keluarga Idris yang pernah tinggal di kediaman pegawai polis dan dirinya yang pernah tinggal di Kampung Air Gemuruh, Changi dan kediaman pegawai awam.
Antara lain, mereka mempunyai persamaan iaitu gejolak rumah tangga ibu bapa mereka.
Idris dimanjakan neneknya ketika tinggal beberapa tahun (1951-54) di Melaka. Kembali di Singapura, dia berasa serba tidak kena sehingga menjejas tumpuan pelajarannya – gagal tiga kali dalam peperiksaan darjah enam. Keasingannya juga menimbulkan masalah kepada bapanya yang meninggal dunia tidak berapa lama selepas bersara, pada 1961. Tanpa ayahnya, hidup keluarganya yang pernah senang menjadi muram. Ibunya yang melahirkan sehingga sembilan orang anak, terpaksa bekerja.
Mujurlah, Idris berjaya merebut peluang untuk menjadi anggota pancaragam polis (Police Band) yang ketika itu dipimpin oleh Ridzwan (Salmi) bin Mulok (anak Melayu pertama mengambil alih tugas ini daripada pegawai British, J.E.Boyle). Sejak itu bintangnya mula bersinar.
Zaharah terpandang Idris yang sudah mula terkenal sebagai pemuda segak idaman ‘nak dara di kampungnya. Ketika itu, Zaharah mengajar sebagai guru pelatih di Sekolah Jubilee di West Coast. Ditakdirkan, kedua-duanya bertemu beberapa kali di dalam bas yang sama. Dipendekkan cerita mereka pun berpacaran, bertunang dan bernikah pada 1972.
MENITI PENCAPAIAN
Dengan cekap, Puan Zaharah menganyam titian pencapaian suaminya yang terus berjiwa besar untuk berjaya walaupun dahulu hanya seorang pelajar ‘lembab’. Hal ini seolah-olah menepati peribahasa Inggeris – di sebalik setiap lelaki yang berjaya adalah wanita.
Antara 1973 dengan 1983, mereka dikurniai empat anak – dua putera dan dua puteri berselang-seli yang semua berjaya dari segi pendidikan dan kerjaya. Dalam pada itu, Idris terus cemerlang dengan meraih Biasiswa Colombo Plan untuk berkursus di Melbourne (1974) dan juga di Melbourne (1976) dan terpenting di England (1979-1983).
Sewaktu di England, rumah sewa mereka sering dikunjungi para pelawat termasuk yang terpenting adalah Puan Noor Aishah Salim, balu Presiden Pertama Singapura (Yusof Ishak). Kisah di England cukup berwarna-warni dengan kegigihan Puan Zaharah bercucuk tanam di laman rumah sewanya.
Pada 1986, tibalah detik puncak apabila Idris terpilih menggantikan ketuanya, Ridzwan Mulok. Sepanjang menyandang pengarah muzik Polis Republik Singapura, beliau telah meraih pelbagai pencapaian dalam meningkatkan imej Singapura di persada antarabangsa. Anak buahnya mendapat galakan teguh daripada Idris sebagai ketua yang tegas berdisiplin tetapi ihsan. Malah Puan Zaharah menceritakan betapa suaminya sangat pemurah termasuk kepada anak buahnya yang dalam kesempitan.
Selepas bersara sebagai Superintendan pada 2004, Idris meluangkan banyak masa untuk isteri dan keluarga sehingga menubuhkan kedai di Kampong Gelam. Puan Zaharah menceritakan pengalaman kembara luar negara dan kecekapan suaminya memandu kereta.
Turut dipaparkan ialah ikhtiar mereka cuba mempertingkat hidup dari flat biasa sehingga flat (dua tingkat) maisonet dan rumah berhalaman. Malangnya, mereka kena gigit jari setelah tertipu gara-gara membeli rumah sebandung di Seberang Tambak.
Idris juga mendapat penghormatan memajukan pancaragam polis di Abu Dhabi antara 2012 hingga 2018.
Puan Zaharah menyifatkan hidup berdua di Amiriah Arab Bersatu (UAE) bak ‘bulan madu’ kedua mereka. Sungguh romantis!
Baktinya disanjung sehingga selepas beliau meninggal dunia, anaknya mewakili almarhum bapa mereka untuk menerima anugerah daripada kerajaan Abu Dhabi.
PESAN DAN KESAN
Keunggulan memoir ini juga terpapar pada tukilan kasih daripada ahli keluarga almarhum Idris. Puan Zaharah tampak berterus terang dalam meluahkan perasaan resahnya pada akhir buku ini, terhadap para wanita yang terpikat pada suaminya (tukilan di awal esei ini). Namun, perasaan sedemikian lumrah. Pokoknya rumah tangga mereka kekal sehingga beliau bertaraf balu.
Seyogia, segelintir guru Melayu di nusa ini yang terlibat serius dalam persuratan. Oleh itu, iltizam dan kegigihan Puan Zaharah wajar dicontohi. Saya masih ingat ketika menganggotai Jawatankuasa Sejarah Lisan Bahagian Melayu untuk Arkib Negara, ada kalangan dari Generasi Perintis yang ingin menulis kisah mereka. Wajar sekali Majlis Bahasa Melayu Singapura, Arkib Negara dan mungkin sebuah dua badan Melayu membantu usaha ini sebelum golongan ini pudar. Selain latihan mengarang dan mengetik komputer, wajar juga dihulurkan dana untuk menerbitkan memoir mereka dalam bentuk cetak (terhad) atau e-buku sebagai bahan khazanah persuratan nusa.
Syabas Puan Zaharah. Semoga ada lagi anggota masyarakat senja kita yang menuruti jejakmu....

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan (1984-2016) dan penulis tetap skrip drama Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), mantan guru, dan kini penulis/editor sejumlah buku, ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura serta antara pendukung teras bagi Dana Endowmen Pengajian Melayu Dr Muhd Ariff Ahmad di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.