Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Tuai Harapan, Dukung Aspirasi Masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Tuai Harapan, Dukung Aspirasi Masyarakat

Dr Faishal berharap lebih ramai golongan belia tampil untuk sama-sama membangunkan masyarakat. (Gambar: RLAF)

SINGAPURA: Apabila Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, baru-baru ini mengumumkan hasrat memperkenalkan rangkaian baharu untuk menyuburkan jalinan kerjasama masyarakat Melayu/Islam, ia disambut dengan penuh harapan.

Selepas lebih tujuh tahun masyarakat kita didukung rantaian M³, sudah tiba masanya pendekatan baharu diperkenalkan.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berucap semasa di Pesta Belia M³. (Gambar: Mediacorp)
Tetapi rangkaian itu tidak boleh hanya berbentuk program atau struktur semata-mata.

Yang lebih penting ialah semangat baharu – semangat menyingsing lengan, bukan sekadar menjadi wira maya. Ramai dalam kalangan kita cepat memberi komentar di media sosial, tetapi belum ramai yang benar-benar turun padang. Inilah waktunya kita bergerak dari “saya” kepada “kita”.
Hakikatnya, generasi muda Melayu hari ini tidak boleh sekadar menjadi penonton. Kekuatan digital dan kepantasan kita menguasai media sosial mesti diterjemahkan kepada tindakan di lapangan.

Inilah waktunya semangat di TikTok, Instagram atau Thread diubah menjadi aktivisme nyata: membimbing pelajar yang memerlukan sokongan, memimpin program belia di kawasan perumahan, menggerakkan inisiatif sukarela untuk keluarga flat sewa, atau memulakan projek digital yang membuka peluang latihan dan pekerjaan.

Bara api yang dinyalakan oleh generasi awal pemimpin Melayu tidak boleh dibiarkan padam. Generasi era digital mesti meniup nyala semula dan memastikan api itu terus menyala untuk masa depan.
Perubahan Sikap, Kobar Semangat

Disebabkan itu hasil berdasarkan Tinjauan Pelan Belia SG, yang melaporkan lebih dua pertiga belia yang ditinjau mahukan kerjaya yang memuaskan dan bermakna, selain meraih mata pencarian, menonjolkan satu perubahan ketara.
Related article image
Para belia Singapura berharap masyarakat boleh menerima takrif kejayaan yang lebih luas. (Gambar fail: TODAY)
Lebih bermakna lagi, 60 peratus yang ditinjau berkata, mereka berharap masyarakat boleh menerima takrif kejayaan yang lebih luas dan pada masa yang sama, lebih separuh belia ini ingin meninggalkan kesan yang positif dalam masyarakat, serta menjadi sukarelawan aktif.

Malah hampir separuh mahu lebih banyak wadah untuk belia menyumbang.

Ini mencerminkan bakal berlakunya satu gelombang perubahan – yang positif untuk kita.

Cabaran Besar Masyarakat

Sejujurnya, kita harus mengakui bahawa walaupun banyak kemajuan telah dicapai, cabaran masyarakat Melayu/Islam masih belum berkurang.

Dalam bidang perumahan, misalnya, lebih ramai keluarga kini memiliki rumah, tetapi tidak sedikit yang masih terperangkap dalam kitaran flat sewa. Pada 2010, sekitar 8.7 peratus isi rumah Melayu tinggal di flat HDB satu hingga dua bilik; pada 2020 angka itu meningkat kepada 16 peratus. Usaha menerusi Projek Dian harus dilipatgandakan, jika ia menunjukkan kemajuan.
Related article image
Pemandangan blok-blok perumahan awam di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Dalam pendidikan pula, semakin ramai anak Melayu berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Bagi kelompok muda berusia 25 hingga 34 tahun, sekitar 20 peratus kini memiliki ijazah, berbanding hanya 11 peratus bagi keseluruhan kelompok dewasa Melayu. Ia satu kemajuan yang wajar diraikan, lebih-lebih lagi dengan semakin ramai anak Melayu kini berjaya memperoleh ijazah kepujian kelas pertama di universiti.

Namun, jurang dengan kaum lain masih terasa – sekitar 35 peratus bagi Cina dan 41 peratus bagi India. Walaupun begitu, setiap graduan Melayu mewakili sebuah kisah usaha, doa keluarga, dan cita-cita masyarakat yang ingin bangkit bersama.
Related article image
Calon PhD dalam jurusan Sains dan Kejuruteraan Bahan, Hamzah Kamaruddin. (Gambar: Mediacorp)
Hanya dengan pencapaian pendidikan yang baik, peluang pekerjaan yang lebih luas dapat dibuka. Inilah kunci penting untuk membantu masyarakat kita keluar daripada kancah jenayah dan jerat kemelaratan, sekali gus membina kehidupan yang lebih bermaruah.

Di sisi lain, cabaran kos sara hidup terus menghimpit. Inflasi teras pada Mei 2025 hanyalah 0.6 peratus, angka yang nampak rendah secara nasional. Tetapi keadaan di dapur rumah-rumah Melayu berpendapatan rendah tidak selalunya digambarkan oleh angka ini. Setiap kenaikan harga makanan, pengangkutan, atau sewa flat adalah beban yang nyata.

Begitu juga dalam pasaran kerja: lebih 3,500 pekerja kehilangan pekerjaan pada suku pertama tahun ini. Walaupun kadar itu masih dalam julat biasa, kegelisahan sebenar lahir daripada ketibaan automasi dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin menggantikan kerja-kerja berulang. Mereka yang kurang berkemahiran digital — ramai daripadanya dalam masyarakat kita — menjadi lebih rentan.

Langkah Ke Depan

Menjelang 2030, cabaran akan menjadi lebih getir. Pertumbuhan ekonomi Singapura diunjurkan hanya sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus, dengan sektor digital kini menyumbang hampir 18 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP). Ini bermakna peluang baharu akan lebih tertumpu kepada bidang digital dan teknologi tinggi.
Related article image
Peluang baharu akan lebih tertumpu kepada bidang digital dan teknologi tinggi. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Tanpa kemahiran baharu, tanpa latihan semula, dan tanpa keyakinan untuk melangkah keluar daripada zon selesa, masyarakat Melayu akan berdepan risiko ketinggalan.

Kos sara hidup pula tidak mungkin menurun, jurang pendidikan boleh melebar jika peluang universiti tidak diperluas, dan keluarga Melayu/Islam akan terus diuji sekiranya kitaran flat sewa tidak berjaya diputuskan.

Tetapi masyarakat tidak boleh dipikul oleh tenaga akar umbi sahaja. Kepimpinan politik Melayu juga mesti bersedia berubah. Cara lama yang hanya bergantung kepada retorik tidak lagi memadai.

Isyarat dan Mandat Rakyat

Rakyat sudah memberi isyarat dalam Pilihan Raya Umum lalu (GE2025) bahawa mereka mahu wakil Melayu yang lebih tangkas, lebih berani, dan lebih dekat dengan denyut nadi masyarakat.

Mereka menuntut kepimpinan yang sanggup melangkah keluar daripada zon selesa politik, tampil dengan dasar yang inklusif, dan bekerja bukan sahaja demi kepartian tetapi demi kepentingan seluruh masyarakat.
Related article image
Dr Syed Harun menyertai Cik Rahayu Mahzam untuk menerajui FA3 dalam mendampingi belia Melayu/Islam. (Gambar: BERITAMediacorp)
Related article image
Cik Rahayu kekal menerajui FA5, yang menumpukan terhadap isu-isu kesihatan masyarakat. (Gambar: Rahayu Mahzam/Facebook)
Kini sesi Parlimen disiarkan secara langsung di YouTube, membolehkan rakyat menilai sendiri perbahasan dan kehadiran wakil mereka. Ia seharusnya mengelakkan Anggota Parlimen kita daripada duduk lena di bangku dewan, kerana setiap gerak-geri diperhatikan rakyat yang semakin kritis.

Kejayaan kita sebagai sebuah masyarakat tidak boleh lagi diukur dengan bilangan program atau keindahan nama projek.
Ukuran sebenar ialah kehidupan yang berubah: semakin ramai anak Melayu berjaya ke universiti, semakin ramai profesional Melayu menembusi pekerjaan bernilai tinggi, dan semakin banyak keluarga berjaya keluar daripada kitaran sewa.

Semua ini hanya mungkin apabila masyarakat sendiri bangkit, dan apabila kepimpinan politik juga berani berubah seiring dengan aspirasi rakyat.

Langkah Ke Depan

Cabaran memang besar, tetapi peluangnya juga luas. Dengan pendidikan yang lebih terbuka, kemahiran digital yang lebih meluas, dan semangat kolektif yang segar, masyarakat Melayu/Islam Singapura mampu melangkah lebih jauh.

Kini masanya kita keluar daripada zon selesa, menyingsing lengan, dan benar-benar turun padang. Kini masanya kita bergerak daripada “saya” kepada “kita”.

Dengan ikatan atau kompak sosial baharu dan kepimpinan yang jujur pada realiti semasa, kita boleh menuai harapan dan mendukung aspirasi masyarakat bersama-sama.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita