Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: TTFS Kuak Sayap Kita

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: TTFS Kuak Sayap Kita

Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) membantu ramai masyarakat Melayu meneruskan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Gambar fail: TODAY/Nuria Ling)

SINGAPURA: Masa saya mula-mula bekerja sambilan selepas sekolah, bayarannya hanyalah S$4 sejam, menjadikan kira-kira S$32 gaji sehari.

Hari ini, ada pekerjaan sambilan menawarkan pelajar gaji sehingga S$20 sejam, bersamaan sekitar S$160 sehari, menurut Chairul Fahmy.

Ini menunjukkan betapa ekonomi dan kos kehidupan hari ini sudah jauh berubah berbanding dahulu.

Justeru, apabila peluasan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) diumumkan, ia merupakan satu langkah wajar yang menepati tuntutan semasa.

Ini bermakna lebih ramai pelajar Melayu berpeluang memanfaatkan skim ini dengan dorongan besar melangkah ke politeknik dan universiti tempatan.
Related article image
Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, mengumumkan bahawa Yayasan MENDAKI akan menawarkan lebih banyak biasiswa kepada penuntut Melayu dalam ucapannya di Majlis Hari Raya badan tersebut pada 12 April 2026. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Perlu diketahui, TTFS dikhususkan untuk membantu anak-anak Melayu di Singapura melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah pertama di institusi pengajian tinggi tempatan.

Sokongan terhadap pendidikan masyarakat Melayu ini bukan sesuatu yang kebetulan, tetapi berakar dalam komitmen negara yang turut dicerminkan dalam Perlembagaan.

TTFS merupakan antara instrumen dasar utama untuk memperkasa mobiliti sosial orang Melayu di Singapura – ia membantu pelajar memperoleh kelayakan tinggi dan seterusnya membuka laluan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan lebih baik.

PERUBAHAN SIGNIFIKAN KELAYAKAN TTFS

Struktur subsidi TTFS yang baharu memperlihatkan penambahbaikan ketara.

Had kelayakan bagi subsidi penuh 100 peratus kini dinaikkan daripada S$1,400 kepada S$1,700 pendapatan per kapita. Subsidi 75 peratus pula meliputi julat S$1,701 hingga S$2,000, manakala subsidi 50 peratus merangkumi S$2,001 hingga S$2,200.

Yang paling penting ialah pengenalan kategori baharu – subsidi 25 peratus bagi isi rumah berpendapatan S$2,201 hingga S$2,400. Sebelum ini, golongan ini tidak menerima sebarang sokongan.
Related article image
Sumber: Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Persoalannya, mengapa perubahan ini penting?

Data Banci Penduduk 2020 menunjukkan masyarakat Melayu masih tertumpu dalam pekerjaan berpendapatan rendah, dengan sebahagian besar memperoleh kurang daripada S$1,500 sebulan. Pada masa yang sama, hanya 23.6 peratus menjana lebih S$10,000 sebulan – kira-kira 16.3 peratusan mata lebih rendah daripada purata kebangsaan.

Ini menggambarkan jurang struktur yang masih wujud – masyarakat Melayu masih kurang diwakili dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, walaupun ekonomi negara terus berkembang.

Dalam konteks ini, peluasan TTFS menjadi semakin mendesak.

Pertama, ia membantu mengurangkan halangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi – faktor utama mobiliti sosial jangka panjang.

Bilangan isi rumah Melayu yang tinggal di flat sewa 1 dan 2 bilik HDB telah meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh sedekad, daripada sekitar 9,100 pada 2010 kepada kira-kira 18,600 pada 2020.
Related article image
Bilangan isi rumah Melayu yang tinggal di flat sewa 1 dan 2 bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh sedekad. (Gambar fail: TODAY)
Dari segi peratusan, 16.0 peratus isi rumah Melayu kini berada dalam kategori ini, meningkat daripada 8.7 peratus pada 2010.

Perkembangan ini mencerminkan tekanan sosioekonomi yang semakin ketara dalam sebahagian masyarakat kita.

Kedua, peluasan ini menyokong golongan pertengahan atau “sandwic” yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan.

Bagi warga Singapura, yuran pengajian bagi program sarjana muda selama 3 hingga 4 tahun di universiti berautonomi tempatan lazimnya berada dalam lingkungan S$8,000 hingga S$13,500 setahun, selepas subsidi Geran Tuisyen MOE.

Manalah orang kita tidak tercungap-cungap apabila anak melangkah ke universiti.

Ketiga, ia meningkatkan peluang untuk lebih ramai anak Melayu memasuki sektor pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh pendapatan dan keselamatan kewangan jangka panjang mereka.

Keutamaan hari ini adalah memastikan lebih ramai pelajar Melayu di peringkat ITE dan politeknik tidak tercicir daripada sistem pendidikan, dan seterusnya dapat melanjutkan pengajian ke universiti.
Related article image
Kampus ITE Kolej Tengah di Ang Mo Kio. (Gambar: ITE)
Ramai dalam kalangan mereka telah memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan ITE atau diploma politeknik, memikul tanggungjawab keluarga dan bergelut dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, termasuk bekerja dalam sektor ekonomi gig.

Bagi golongan ini, sokongan kewangan yang berterusan dan laluan pembelajaran yang lebih fleksibel menjadi kritikal untuk membolehkan mereka meningkatkan kelayakan tanpa mengorbankan keperluan keluarga.

Lebih penting, kita perlu membantu lebih ramai anak Melayu yang bermula sebagai teknisyen untuk melangkah menjadi jurutera – satu anjakan yang memberi kesan langsung kepada pendapatan dan mobiliti sosial.

Bagaimanapun, dalam menilai cabaran ini, kita juga perlu mengiktiraf kemajuan yang telah dicapai.

Kajian oleh Centre for Research on Islamic and Malay Affairs (RIMA) tahun ini menunjukkan tahap mobiliti antara generasi yang memberangsangkan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Sebanyak 90.1 peratus responden kini berada dalam kategori Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen (PMET), jauh lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka (56.8 peratus) dan datuk nenek (37.8 peratus). Malah, 73.4 peratus melaporkan keadaan kewangan mereka lebih baik daripada ibu bapa pada usia yang sama.

Ini menunjukkan pelaburan dalam pendidikan telah membuahkan hasil – dan dasar seperti TTFS memainkan peranan penting dalam perubahan ini.

ANGKA BERBICARA

Menurut Laporan Kewangan Tahunan 2024 Yayasan MENDAKI, kira-kira S$67.6 juta telah disalurkan di bawah skim TTFS pada tahun tersebut.

Daripada jumlah ini, sekitar S$39.8 juta telah diagihkan kepada pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi tempatan, manakala baki kira-kira S$27.9 juta yang tidak diagihkan telah disalurkan ke Dana Pembangunan Pendidikan (EDF) untuk kegunaan masa hadapan.

Penting untuk difahami, skim TTFS beroperasi sebagai dana tahunan yang diagihkan, manakala lebihan yang tidak digunakan dipindahkan ke EDF.

Oleh itu, jumlah terkumpul dalam EDF mencerminkan pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan sokongan pendidikan kepada generasi akan datang.

Sehingga 2024, dana terkumpul dalam EDF telah mencecah sekitar S$119.9 juta.

Lebih luas daripada itu, jumlah aset MENDAKI kini mencecah sekitar S$250.9 juta, termasuk sekitar S$166.5 juta dalam bentuk tunai dan setara tunai, yang mencerminkan kedudukan kewangan yang kukuh dan mampan.

Pada tahun yang sama, lebih 10,000 pelajar telah menerima manfaat TTFS dengan jumlah pengagihan melebihi S$40 juta, satu bukti nyata bahawa pelaburan ini memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.

CABARAN DAN HALA TUJU

Kemajuan juga jelas dalam pencapaian akademik.

Majlis Anugerah MENDAKI 2025 telah meraikan 529 penerima, termasuk 119 penerima Anugerah Cemerlang MENDAKI yang mencapai Kepujian Kelas Pertama – rekod tertinggi dalam sejarah anugerah tersebut.
Related article image
Majlis Anugerah MENDAKI 2025 meraikan 529 orang penerima. (Gambar: Mediacorp)
Ini bukti nyata kita mampu.

Jika ada yang bertanya, apa lagi boleh kita lakukan untuk meningkatkan keupayaan anak-anak kita, maka sudah tiba masanya TTFS dikembangkan, termasuk membuka lebih banyak laluan kepada graduan Melayu yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh.

Bagi golongan ini, cabaran utama bukan semata-mata kewangan, tetapi akses kepada peluang, jaringan dan sokongan untuk menembusi ruang-ruang yang lebih tinggi.

Sebagai pengamanah, inilah peluang dan tanggungjawab kita untuk melakukan sebaiknya. Kalau hendak, seribu daya.

Dengan sokongan kewangan yang kukuh dan dorongan berterusan, tidak mustahil untuk kita melihat lebih ramai graduan Melayu mencapai kecemerlangan tertinggi.

Namun, kita juga harus realistik.
Sama-sama terbang lebih tinggi itu ideal, tetapi lebih penting ialah memperkasa lebih ramai lagi anak Melayu untuk terbang lebih tinggi dan pergi lebih jauh.

DARI BANTUAN KEPADA TRANSFORMASI

Dalam membangunkan kemandirian masyarakat, kita memerlukan dinamisme wawasan serta keberanian melakukan anjakan lebih jauh daripada biasa.

Usaha mencipta kecemerlangan tidak boleh bersandar kepada pendekatan lama semata-mata, ia kini menuntut semangat juang dan langkah yang lebih rapi.

TTFS telah membuktikan nilainya sebagai alat pemacu peluang. Cuma, dalam menghadapi jurang pendapatan dan cabaran struktur yang masih wujud, kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kemajuan yang ada.

Kita telah melihat tanda-tanda kejayaan. Kita telah menyaksikan mobiliti antara generasi. Kita telah meraikan kecemerlangan akademik pada tahap tertinggi.

Ini bermakna asasnya sudah ada dan ia kukuh.

Kini, cabarannya adalah untuk melonjakkan pencapaian ini ke tahap lebih tinggi – daripada kemajuan kepada transformasi.

Kesemua ini memerlukan kepimpinan yang berani mencorak masa depan, sebuah kepimpinan yang bukan sahaja mengurus, tetapi mengarah perubahan.

Tanpa dorongan ini, kita berisiko kekal dalam keadaan sederhana, tanpa lonjakan yang benar-benar mengubah kedudukan masyarakat.

Hakikatnya, masa depan masyarakat tidak ditentukan oleh apa yang kita miliki hari ini, tetapi oleh sejauh mana kita berani mengubahnya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita