Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Tak Kenal Maka Tak Cinta...

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Tak Kenal Maka Tak Cinta...

Antara wajah baharu yang diperkenalkan parti-parti politik jelang GE2025.

SINGAPURA: Musim cinta mula bersemi…

Makin nak masuk waktu pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), maka makin sibuklah parti-parti politik kita mula memperkenalkan bakal calon masing-masing.

Habis muka-muka baharu ini dibawa berjalan ke sana sini, diperkenalkan oleh pemimpin parti atau pak menteri kepada penduduk. Tujuannya, untuk menjadikan penduduk dan bakal calon saling kenal mengenali dan memesrakan diri.

Kalau ada yang perasan, semua ini mula giat dilakukan parti-parti yang akan bertanding sejak sebulan dua lalu, bagi memberi masa untuk orang ramai mula mengenali bakal calon. Tak kenal macam mana nak suka…

Strategi yang dilakukan parti-parti ini bukan sekadar ‘memasarkan’ bakal calon tetapi lebih penting lagi mengukur sambutan penduduk dan menilai keupayaan bakal calon itu sendiri.

Jadi apabila diketengahkan secara rasmi kepada khalayak kelak, diharapkan orang ramai tidak terkejut.

“Ia juga untuk 'test market'. Kalau ada ‘penolakan’ keras daripada segolongan orang, tak perlulah dijadikan calon. Pernah terjadi sebelum ini.

“Atau bila dibawa jalan-jalan di sebuah kawasan undi, penerimaan orang nampak dingin maka mereka pun akan dihantar ke tempat lain,” cerita kawan saya penuh semangat.

Sejauh ini ikut kiraan saya, sudah lebih 60 individu diketengahkan oleh pelbagai parti.

Iyalah, sejak dua tiga minggu ini pihak media kerap melaporkan peletakan jawatan ramai karyawan – daripada panglima tentera sehinggalah kepada pegawai kanan sektor awam serta ketua agensi masyarakat.

“Kemungkinan besar mereka akan masuk politik dan bertanding dalam GE2025. Inilah orang-orang yang dijangka pegang jawatan kanan dalam pemerintahan baharu,” kata kawan saya lagi mengingatkan bahawa tiga yang meletak jawatan sejauh ini melibatkan dua berpangkat Brigadier-Jeneral dan seorang Mejar-Jeneral.

“Itupun kalau mereka dipilih parti untuk dicalonkan, bertanding dan menang. Ingat GE2020, ada bekas panglima tentera pimpin pasukan PAP di GRC Sengkang dan kalah. Ini bermakna, jawatan tinggi waimah panglima tentera sekalipun, tidak menjanjikan kemenangan,” saya mengingatkan.

Parti pembangkang juga tidak kurang hebatnya, mereka sejauh ini telah mengetengahkan peguam kanan, ketua jabatan serta konsultan syarikat berbilang negara, pengurus kanan korporat dan ramai lagi.

Ini menunjukkan kepekaan parti-parti pembangkang dalam menawarkan calon sehebat yang dikemukakan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
(Barisan atas dari kiri ke kanan) Dinesh Vasu Dash, Syed Harun Alhabsyi dan Elmie Nekmat; (Barisan kedua dari kiri ke kanan) Hazlina Abdul Halim, Jimmy Tan dan Lawrence Pek. (Gambar: LinkedIn, CNA, PAP, Facebook)
“Berapa muka baharu Melayu?,” tanya kawan saya lewat WhatsApp.

Sejauh ini, PAP telah ‘menjaja’ enam calon baharu Melayu/Islam berprofil tinggi. Mereka ialah Dr Faisal Abdul Aziz; Dr Syed Harun Alhabsyi; Dr Hamid Razak; Cik Hazlina Abdul Halim; Profesor Madya Elmie Nekmat dan Encik Shahrin Abdol Salam.
Hazlina Halim (dua dari kiri), Fahmi Aliman (paling kanan). (Gambar: Facebook/PAP)
Kesemua mereka sejauh ini mendapat sorotan meluas media tempatan dengan Dr Faisal dilaporkan aktif di GRC Aljunied; Dr Syed Harun (Nee Soon); Dr Hamid (West Coast-Jurong West); Cik Hazlina (Marine Parade-Braddell Heights); Dr Elmie (Sengkang) dan Encik Shahrin (Sembawang).

“Kali ni ramai calon Melayu PAP lah. Berapa pula kena ganti atau pindah ke kawasan undi lain?,” tanya kawan saya lagi.
Soalan ini sukar dijawab, memandangkan pada masa ini ada 11 Anggota Parlimen (AP) PAP termasuk Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Yang jelas, Parti Pekerja (WP) akan mempertahankan dua kerusi Melayu yang dimenangi dalam GE2020 – GRC Aljunied dan Sengkang – selain cuba menawan beberapa GRC lainnya.
Cuma apa yang boleh saya terangkan, telah ditetapkan ada 11 GRC, antaranya, East Coast, Jalan Besar dan Sengkang, mesti menampilkan sekurang-kurangnya seorang calon Melayu, manakala tujuh GRC lainnya, seperti Nee Soon, Punggol dan West Coast-Jurong West, mesti diwakili sekurang-kurangnya seorang calon India atau bangsa minoriti lainnya.

Jangan lupa, GRC yang paling ramai pengundi Melayu ialah Tampines (23.6 peratus). Tak perlulah saya ingatkan siapa yang memimpin pasukan PAP di sana. Bukan calang-calang calon Melayu yang mampu mempertahankan kerusi PAP di Tampines.

Jadi untuk GE2025 ini, bolehlah kita menjangkakan sekurang-kurangnya 20 calon Melayu – lebih separuh daripadanya dipercayai muka baharu – bertanding bagi merebut sekurang-kurangnya 11 kerusi itu.
“Cabarannya sekarang adalah untuk bakal calon-calon baharu ni betul-betul jumpa penduduk, pasal penduduk nak kenal wajah, hati budi calon. Baik PAP atau pembangkang, penduduk tak nak calon yang main iring-iring je. Jadi calon kena tonjol diri.

“Calon pun kena pandai bercakap, berhujah dan mampu berfikir dan bernas dalam kemuka huraian pada isu-isu masyarakat. Nak tarik undi bukan senang beb,” kata saya.

Persoalannya, berapa ramaikah daripada sejumlah AP Melayu PAP yang ada sekarang perlu berundur, sekiranya semua enam calon ini disahkan bertanding?

Agak mustahil enam AP Melayu sedia ada digugurkan, ya tak? Cuma itulah… perkataan ‘mustahil’ tidak wujud dalam kamus politik. Bak kata negarawan Jerman pada abad ke-19, Otto von Bismarck, “Politik adalah seni yang memungkinkan”.
Kebarangkalian adanya nama-nama yang disebut masa ini akhirnya terduduk di bangku simpanan atau tarik diri di saat-saat akhir jelang Hari Penamaan Calon juga tidak boleh ditolak.

“Ikut pendekatan lalu tidak mustahil AP yang baru sepenggal atau dah empat penggal digugurkan. Semua ikut keperluan parti dan tuntutan semasa, hanya PM boleh tentukan,” jawab saya merujuk kepada perdana menteri selaku setiausaha agung PAP.
(Dari kiri ke kanan) Bekas pengerusi cawangan PAP di Hougang Jackson Lam dan bekas NMP Syed Harun Taha semasa melakukan lawatan ke Masjid Ahmad Ibrahim di GRC Nee Soon. (Gambar: CNA/Tang See Kit)
Melihat senarai calon Melayu PAP, yang berdepan kontroversi tentunya Dr Syed Harun – disebabkan keputusannya berundur sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada 14 Februari tahun ini. Tindakan beliau dan Encik Raj Joshua Thomas mengundang kritikan banyak pihak kerana dianggap ‘mencemar’ kedudukan NMP yang seharusnya bebas dan berkecuali dari politik kepartian. Namun, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, telah membela keputusan mereka dengan mengatakan ia tidak bertentangan dengan perlembagaan.
Wajah baharu PSP, Sumarleki Amjah melakukan kunjungan bertemu penduduk di pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac, 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Surayah Akbar, SDP (kanan). (Gambar: Facebook/Surayah Akbar SDP)
Parti pembangkang pula nampaknya telah menonjolkan sekurang-kurangnya tujuh wajah baharu – Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik dan Cik Afifah Khalid (WP); Encik Sumarleki Amjah dan Encik Sani Ismail (Parti Kemajuan Singapura, PSP), Dr Syed Alwi Ahmad (Parti Titik Merah Bersatu, RDU); Cik Arbaah Haroun (Parti Kuasa Rakyat, PPP); dan, Encik Muhammad Faizal Mohmad (Perikatan Demokratik Singapura, SDA).
 
Abdul Muhaimin Abdul Malik (barisan depan, tengah). (Gambar: Facebook/Jamus Lim)
Cik Afifah Khalid (WP). (Gambar: Facebook/Parti Pekerja)
Menariknya, apabila saya dan dua rakan tengah sedap ‘sembang kencang’ tentang perkembangan politik semasa, seorang rakan mencelah:

“Kau jangan konfiden sangat… ni baru sebut-sebut je… tak semestinya semua nama-nama ni dicalonkan. Yang kau sebut semua ni akan tahu nasib mereka dicalonkan atau tidak, sehari atau sejam dua sebelum tempoh penamaan calon bermula. Ada jadi reserve dua penggal, tak juga dicalonkan.”

Hmmm… ya tak ya…
MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan