OLEH-OLEH TEMASEK: Suara Rakyat. Mandat Jangan Sendat

Perdana Menteri Lawrence Wong dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengucapkan terima kasih kepada para penyokong dan pengundi pada hari pilihan raya umum di Singapura, Sabtu, 3 Mei 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)
SINGAPURA: Semarak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) telah berakhir. Kepada semua pemenang, tahniah dan selamat berkhidmat! Kepada yang tewas, terima kasih kerana tampil bertanding.
Sememangnya, perebutan kerusi kali ini menampilkan ramai calon berkelayakan lagi berwibawa, walaupun seperti biasa akan ada ‘pak sibuk’ dan ‘mak nam’ bertanding, sekali gus menambah warna dan perisa.
Jelas sekali, GE2025 mencatat sejarah tersendiri sebagai medan pertandingan yang benar-benar menguji dan mengujakan banyak pihak – kepimpinan parti politik, barisan calon yang bertanding, kelicinan dan kelangsungan sistem pemerintah, rakyat yang tampil mengundi dan setiap lapisan jelata yang mendukung keputusan pilihan pengundi.
Sepanjang 10 hari, ramai tentunya tidak duduk diam – menyusur laman media sosial, membaca berita, mengongsi 'gossip' dan bertukar cerita hangat dari penganalisis tidak bergaji dan jurucakap kedai kopi.
Tidak dapat tidak, saya perlu mengakui sebahagian pandangan penganalisis tidak bergaji dan rumusan jurucakap kedai kopi ini memang boleh pakai. Umpamanya, bila mereka kata dua parti yang sibuk-sibuk bertanding di GRC Tampines, bukan hanya akan kalah, tapi kalah teruk dan hilang deposit.

Setelah berakhir pilihan raya dan keadaan mula reda, seorang jurucakap kedai kopi memberi rumusan ringkas tetapi berharga: “POFMA adalah ubat yang sangat mujarab.”
Mula-mula saya tidak mengerti apa yang dimaksudkan beliau, tetapi bila saya duduk meneliti baru saya faham apa maksudnya. Bagi yang tahu, tahu…
Lima Pengajaran
Yang paling mengesankan daripada episod GE2025 ini adalah pengajaran yang ditimba daripadanya, lima dianggap paling penting.
Pertama, Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah jenama yang cukup berpengaruh. Kejayaannya memenangi 87 kerusi – termasuk empat kerusi baharu yang ditawarkan kali ini – dan keupayaannya mempertingkat peratusan undi popular dari 61.24 kepada 65.57 peratus menunjukkan rakyat punya keyakinan mendalam terhadap pentadbiran dan pengurusan parti pemerintah.

Ketiga, rakyat tidak mengundi membabi buta. Ini jelas dengan keputusan di beberapa SMC atau GRC di mana pengundi dengan lantang memberitahu parti-parti yang dianggap ‘pengacau’ supaya “Blah lah!”.
Keempat, pengundi menilai calon dengan teliti, tidak membuat pilihan secara melulu. Jika tidak, masakan ada calon bebas, yang diyakini berwibawa, meraih jumlah undi hampir 40 peratus manakala calon yang tong kosong diketepikan bulat-bulat hingga tidak mengecapi 1 peratus pun undi; dan,

Tidak keterlaluan saya katakan, generasi milenia Singapura kelihatannya lebih matang dalam membuat pilihan, tidak senang termakan kata-kata politikus – baik dari PAP mahupun WP atau parti pembangkang lainnya.
Yang jelas, rakyat memilih calon dan parti yang boleh mengemudi Singapura, memastikan republik ini mampu menongkah arus, melawan badai dan cuba memenuhi aspirasi warga untuk menikmati kehidupan lebih baik.
Disebabkan itu, rakyat memberi mandat yang kukuh kepada PAP – membolehkannya kekal sebagai parti pemerintah.

Dengar Suara Rakyat
“Rakyat telah memilih dan serahkan mandat kepada pemimpin untuk laksana amanah. Jangan pulak amanah ni tak dilaksana sepenuh hati. Pemerintah mesti dengar suara rakyat,” komen seorang rakan menerusi WhatsApp semasa kita sibuk berbual tentang hasil pungutan suara GE2025.
Jelas, sokongan rakyat Singapura bersyarat.
Sekarang tumpuan dan mata ramai tertumpu kepada pelantikan barisan menteri bagi mengisi Kabinet Generasi Ke-4 (4G) pimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong. Tentu sekali penjawatan seseorang menteri kelak bersandarkan realiti – calon yang dipilih haruslah berwibawa dan mendapat keyakinan rakyat.
Sejauh ini, seorang Anggota Parlimen telah pun menyatakan hasrat untuk tidak diberikan apa-apa jawatan dalam Pemerintah dan hanya ingin melaksanakan tugas sebagai pemimpin buruh dan wakil rakyat bagi kawasan undinya.

PAP & WP
Bagi PAP, kemenangan ini bukan sekadar pengesahan semula keabsahan mereka sebagai parti pemerintah, tetapi juga satu amanah besar untuk memperbaharui komitmen mereka terhadap semua warga – tanpa mengira umur, latar belakang atau pandangan politik.
Jika ini gagal dilaksanakan, seperti disebut ramai pemerhati, sokongan ini boleh berubah menjadi isyarat protes dalam GE seterusnya. Pentadbiran 4G sekarang memikul beban harapan generasi baharu yang lebih vokal, lebih terdedah kepada wacana global, dan mahukan pembaharuan yang bermakna – bukan sekadar janji manis atau simbolik semata-mata.
Bagi pembangkang pula, khususnya Parti Pekerja (WP), keputusan kali ini membuka ruang untuk muhasabah dan pengukuhan strategi. Beberapa pencapaian mereka di kawasan tertentu menunjukkan potensi sebenar untuk menjadi pembangkang yang kuat dan membina.

Politik Bukan Kerja Main-Main
GE2025 juga mengingatkan kita bahawa politik bukan hanya tentang hari mengundi. Ia adalah proses yang berterusan – bermula dari mendengar suara rakyat, merangka dasar berdasarkan keperluan sebenar, menyampaikan maklumat dengan telus dan menghindari retorik kosong yang tidak membantu pembangunan negara bangsa.
“Baik parti pemerintah mahupun parti pembangkang sekarang perlu kupas dan teliti keputusan pilihan raya. Banyak yang harus diteliti dan dimengertikan. Bukan hanya kertas undi yang perlu dikira, tetapi juga undi rosak yang ditolak dan ketidakhadiran lebih seratus ribu pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi,” kata kawan di WhatsApp awal minggu ini.
Benar apa yang dikatakan beliau. Politik bukan kerja main-main.
Berakhirnya pilihan raya umum membuka tirai kepada satu tekad baharu dalam politik Singapura – menyantuni aspirasi generasi baharu.

Akhir kalam, GE2025 telah selesai tetapi perjalanan membina negara belum tamat. Malah, ia baru sahaja bermula – dengan mandat segar, harapan baharu, dan cabaran yang menanti.

Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.