Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Rezeki Hari Ini, Masa Depan Anak Esok

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Rezeki Hari Ini, Masa Depan Anak Esok

Pakej Bantuan Anak SG menyaksikan setiap anak warga Singapura berpeluang menerima hampir S$70,000 dalam bentuk sokongan kewangan langsung sehingga usia 17 tahun. (Gambar: Canva)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 08:54PM Dikemas Kini : 27 Aug 2026 09:20PM
SINGAPURA: Beberapa hari lalu, ramai teruja bila saya kata rezeki memang tidak salah alamat.

Ada yang menjangkakan saya menerima durian runtuh kerana mendapat harta pusaka atau sudah mula menikmati wang CPF.

Hakikatnya, apa yang saya perkatakan adalah tentang pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2026 pada Ahad lalu (23 Ogos) mengenai Pakej Bantuan Anak SG yang menyaksikan setiap anak warga Singapura berpeluang menerima hampir S$70,000 dalam bentuk sokongan kewangan langsung sehingga usia 17 tahun.
Related article image
Bayi-bayi yang baru lahir di sebuah hospital di Singapura. (Gambar fail: TODAY)
Menariknya, tidak seperti pakej terdahulu, ibu bapa bukan hanya dibantu ketika anak dilahirkan tetapi sepanjang tahun-tahun mereka membesar.

Bagi orang Melayu kita, ini amat bermakna.

Perangkaan nasional menunjukkan, masyarakat Melayu masih mencatat Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) tertinggi antara tiga kumpulan etnik utama. TFR Melayu ialah 1.58 pada 2024, berbanding 0.83 bagi masyarakat Cina dan 0.91 bagi India.

Malangnya, kadar Melayu turun kepada 1.53 pada 2025 dan masih jauh daripada paras penggantian penduduk 2.1. Ertinya, keluarga Melayu juga semakin kecil, seiring trend nasional.

Maknanya, orang kita juga tidak terlepas daripada jerat inflasi dan kenaikan kos kehidupan. Iyalah, harga setin susu Dumex pada 2000 S$6.95, sekarang S$23, naik 230 peratus.

Jadi bantuan baharu ini memang boleh mengurangkan sebahagian keresahan mengenai kos membesarkan anak dan menyara keluarga.

BUKAN SEKADAR S$70,000

Meneliti pengumuman PM Wong, kita akan dapati dasar Bantuan Anak SG ini sebenarnya telah mengubah cara pemerintah membantu keluarga muda.

Ini memandangkan setiap anak akan menerima asas sokongan yang sama tanpa mengira dia anak pertama, kedua atau ketiga. Ini berbeza daripada pendekatan lama yang memberi manfaat berbeza mengikut urutan kelahiran.

Antara sokongan itu ialah Hadiah Bayi S$10,000, geran MediSave, Akaun Pembangunan Anak (CDA), Kredit Anak S$2,000 setahun dari usia satu hingga 16 tahun, tambahan Edusave dan S$10,000 ke Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) pada usia 17 tahun.

Apabila semuanya dihitung, sokongan langsung menghampiri S$70,000 bagi setiap anak.

Maka, keluarga yang mempunyai lebih ramai anak secara semula jadi menerima lebih banyak bantuan keseluruhan.

Menariknya, perubahan paling penting bukan angka S$70,000 itu sendiri. Ia adalah perubahan falsafah: setiap anak diberi landasan asas yang sama.

Sokongan S$70,000 ini bukan wang tunai yang jatuh sekaligus ke pangkuan ibu bapa. Sebahagiannya khusus untuk kesihatan, pendidikan dan pembangunan anak; sebahagian lagi datang secara berperingkat.

Itu sebenarnya satu kelebihan kerana kos membesarkan anak juga berubah mengikut tempoh pembesaran, daripada keperluan susu dan lampin semasa bayi dan di prasekolah, kepada keperluan komputer, kegiatan pengayaan dan akhirnya keperluan posmenengah.

Yang jelas, lebih 610,000 kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah dalam sekitar 380,000 isi rumah dijangka mendapat manfaat. Anak daripada keluarga ibu atau bapa tunggal juga akan menerima komponen tunai di bawah pakej baharu.

LEBIH MASA, BANYAK PELUANG

Perlu diingat, wang sahaja tidak membesarkan seorang anak. Masa dan tumpuan sangat penting.

Sebab itu perubahan Cuti Penjagaan Anak dan rancangan menurunkan yuran prasekolah sama penting dengan bantuan kewangan.
Related article image
Seorang ibu meletakkan pelekat penyejuk demam pada anaknya. (Gambar fail: iStock)
Related article image
Pusat jagaan kanak-kanak. (Gambar fail: CNA/Chan Luo Er)
Di bawah aturan baharu, ibu atau bapa bekerja akan mendapat lebih banyak cuti mengikut jumlah anak. Pemerintah juga akan menanggung kos semua cuti wajib berkaitan anak sehingga had bayaran balik.

Matlamat menurunkan yuran penjagaan kanak-kanak penuh di pusat yang disokong pemerintah kepada S$150 sebulan, dan penjagaan bayi kepada S$300, juga boleh mengubah perbelanjaan keluarga dengan ketara.

Di sinilah masyarakat Melayu kita harus berpandangan jauh.

Jika sebahagian wang yang dahulu digunakan untuk yuran penjagaan kini dapat dijimatkan, jangan semuanya hilang kepada perbelanjaan lain. Amalkan tabiat menabung.

Jadikan sebahagiannya tabungan pendidikan. Gunakan Kredit Anak dengan terancang. Sediakan komputer apabila diperlukan. Beli buku. Biayai kegiatan yang membuka minat mereka. Berikan pendedahan kepada sains, bahasa, seni, sukan dan teknologi.

Pupuk minat anak dalam Matematik, buka mata mereka kepada keindahan ilmu alam.

Kita tidak tahu pekerjaan apa yang akan wujud 15 atau 20 tahun dari sekarang. Anak yang lahir hari ini mungkin memasuki dunia kerja yang dipenuhi kecerdasan buatan (AI), automasi dan pekerjaan yang belum mempunyai nama sekarang.

Sebab itu persediaan untuk masa depan tidak boleh bermula ketika anak berusia 17 tahun tetapi dari awal tumbesarannya. Membentuk akhlak, keperibadian dan kecerdasan anak bermula di rumah.

Ia bermula apabila ibu bapa membacakan buku, membina keyakinan berbahasa, mengajar disiplin, memerhatikan minat anak dan memastikan mereka tidak tercicir.
Related article image
Persediaan untuk masa depan perlu dimulakan pada peringkat awal tumbesaran. (Gambar: iStock/Morpheuse)
Ingat nasihat leluhur, melentur buluh dari rebung.

Di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah, kita terus menyediakan sokongan supaya mereka mempunyai pilihan seluas mungkin, sama ada maktab rendah, politeknik, universiti, memilih bidang teknikal, keusahawanan atau laluan lain.

Kita tidak harus menentukan kejayaan hanya dengan berapa ramai masuk universiti. Yang kita mahu ialah setiap anak Melayu mempunyai kemahiran, keyakinan dan daya juang dan daya tahan untuk mencapai potensi terbaik mereka.

REZEKI SATU AMANAH

Sikap masyarakat Melayu dalam soal pembangunan keluarga dan membesarkan anak tidak harus berasaskan wang semata-mata.

Pandangan kita lebih berakar pada budaya, agama dan hubungan kekeluargaan. Kita biasa mendengar bahawa anak itu rezeki.

Saya percaya nilai itu masih penting, tetapi rezeki juga datang bersama amanah.

Jika sebuah keluarga memilih mempunyai dua, tiga atau empat anak, tanggungjawab bukan sekadar memastikan semuanya cukup makan. Setiap anak memerlukan masa, perhatian, pendidikan, keselamatan emosi dan peluang untuk maju.

Maka itu, lebih banyak bantuan pemerintah seharusnya menghasilkan lebih baik mutu penjagaan. Masyarakat kita perlu mengejar kualiti, bukan kuantiti semata-mata.

BUKAN KERANA WANG SEMATA

Bantuan hampir S$70,000 tidak sepatutnya menjadi sebab utama seseorang mempunyai anak. Keputusan itu tetap sangat peribadi.

Bahkan, PM Wong sendiri mengakui dasar sahaja tidak boleh membuat pasangan yang berumah tangga mahu mempunyai anak.

Pemerintah juga menerima hakikat bahawa TFR Singapura akan kekal jauh di bawah paras penggantian. Sebab itu republik ini masih memerlukan warga baharu melalui dasar migrasi pada kadar terkawal dan mampan.
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong mengakui dasar sahaja tidak mencukupi untuk meyakinkan pasangan yang berumah tangga menimang cahaya mata. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
Ini menunjukkan pakej keluarga bukan percubaan mudah untuk “membayar” rakyat supaya melahirkan lebih ramai anak. Ia lebih kepada mengurangkan halangan bagi pasangan yang memang mahu mempunyai anak dan memastikan mereka tidak menanggung kos itu bersendirian.

Bagi masyarakat Melayu, kita patut menggunakan peluang ini dengan lebih strategik.

Bayangkan jika ibu bapa muda melihat setiap S$2,000 Kredit Anak bukan sebagai wang tambahan untuk tahun itu, tetapi sebahagian daripada pelan 17 tahun.

Bayangkan jika anak sejak kecil, keluarga sudah mempunyai matlamat: dana pendidikan, kemahiran digital, penguasaan bahasa, pengalaman di luar bilik darjah, kesihatan yang baik dan tabiat membaca.

Apabila S$10,000 masuk ke PSEA pada usia 17 tahun, anak itu pula sudah mempunyai cita-cita dan persediaan untuk melangkah lebih jauh.

Itulah pemikiran jauh yang mesti kita bina.

MODAL BANGUN MANUSIA BERKUALITI

Pada Jun 2025, masyarakat Melayu membentuk sekitar 13.5 peratus penduduk Singapura.

Kita mungkin sebuah masyarakat minoriti, tetapi masa depan kita tidak harus diukur daripada saiz sahaja. Ia harus diukur daripada mutu generasi yang kita hasilkan.

Dalam dunia yang semakin sengit bersaing, modal terbesar masyarakat kecil ialah keutuhan sumber manusia.

Pemerintah boleh menyediakan wang, prasekolah lebih baik, cuti lebih panjang dan akaun pendidikan, bagaimanapun pemerintah tidak boleh menggantikan ibu bapa.

Ia tidak boleh membaca bersama anak kita setiap malam, mengajar adab bagi pihak kita, memastikan anak menggunakan telefon dengan bijak atau mengenali bakat anak sebaik ibu bapanya sendiri.

Jadi saya melihat pengumuman PM Wong sebagai pengubah keadaan yang sangat berpotensi besar untuk keluarga Melayu; dengan satu syarat: kita sendiri mesti mengubah cara melihat bantuan itu.
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Jangan lihat S$70,000 sebagai wang untuk dibelanjakan.

Lihat ia sebagai modal untuk membina seorang manusia.

Kalau rezeki memang tidak salah alamat, pastikan kita pula tidak tersalah arah menggunakannya.

Kita boleh terus meraikan keluarga besar dan kegembiraan mempunyai anak. Cuma, biarlah setiap anak yang kita bawa ke dunia mendapat peluang menjadi lebih berilmu, yakin dan bersedia daripada generasi sebelumnya.

Pada akhirnya, hadiah terbesar yang boleh kita tinggalkan kepada anak bukan jumlah wang dalam akaun mereka.

Ia adalah kemampuan untuk berdiri sendiri apabila kita sudah tiada di sisinya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita