Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Putih Melepak, Hijau Berkilau

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Putih Melepak, Hijau Berkilau
Singapura memerlukan individu berbakat, berpengalaman dan berkebolehan untuk tampil berkhidmat. (Gambar: CNA/Mediacorp)
Diterbitkan : 23 Jul 2026 11:43PM
SINGAPURA: Seorang rakan berkongsi bahawa seramai 15 pemain dibuang padang selepas dilayang kad merah sepanjang Piala Dunia FIFA 2026.

Namun satu insiden mencipta sejarah tersendiri apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, dilaporkan membuat rayuan peribadi kepada Presiden FIFA Gianni Infantino supaya seorang pemain negaranya dibenarkan kembali beraksi.
FIFA akhirnya menarik balik kad merah tersebut.

"Kelong!" jerit sebahagian penyokong. Ramai mempersoalkan kewibawaan FIFA, keadilan pengadil dan keberkesanan sistem Penolong Pengadil Video (VAR).

Saya hanya mampu tersengih.

Mujur Sepanyol muncul juara dunia. Senang hati.

Baru hendak menarik nafas lega, satu lagi kad merah pula dilayangkan.

Bezanya, kali ini bukan di padang bola, tetapi dalam arena politik tanah air.

Kesnya pula melibatkan hubungan seorang pemangku menteri dengan seorang wanita.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Muhammad Faishal Ibrahim berucap dalam mesyuarat panel penasihat SCIS pada 24 Jun 2025. (Gambar fail: CNA/Lim Li Ting)
Apa yang menjadi perbualan ramai ialah keadaan yang membawa kepada pemberhentian tersebut, yang pada pandangan awal banyak pihak, masih agak kabur.

Lebih membingungkan apabila dipastikan pihak berkuasa, tiada kesalahan jenayah dilakukan dan tiada hubungan fizikal berlaku antara pemimpin dan wanita berkenaan.

Interaksi yang dipersoalkan hanya melibatkan mesej melalui telefon serta beberapa pertemuan di tempat awam.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila kedua-dua pihak kemudian saling membuat dakwaan melakukan gangguan terhadap satu sama lain.

Selepas meneliti fakta dan keadaan kes, serta mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara, polis memutuskan tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak.

KECOH SATU KAD MERAH

Dalam tempoh sehari, lebih banyak maklumat mengenai kes yang membawa kepada peletakan jawatan menteri berkenaan telah didedahkan kepada umum.

Jika dalam bola speak, VAR digunakan untuk memastikan keputusan pengadil dibuat berdasarkan bukti, tetapi dalam hal yang melibatkan bekas menteri dan seorang wanita ini, penjelasan Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam, memberikan gambaran lebih lengkap tentang asas kepada keputusan yang diambil.
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong bercakap kepada media semasa sidang akhbar di Pusat Media MDDI pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Maka persoalannya kini bukan lagi sama ada berlaku salah laku ataupun tidak.

Seperti VAR, bukti telah diteliti.

Persoalan yang tinggal ialah sama ada kesalahan tersebut benar-benar memerlukan kad merah.

Dalam bola sepak, bukan semua kekasaran membawa kepada kad merah.

Ada yang memadai dengan amaran.

Ada yang cukup dilayangkan kad kuning.

Tidak boleh dinafikan, jika kesalahan begitu serius, pemain harus diarahkan keluar padang serta-merta.

Memang lumrah, keputusan pengadil sering menarik perbahasan. Bukan semestinya kerana orang mempertikaikan keputusan yang diputuskan, tetapi kerana peminat bola sepak mempunyai pandangan berbeza tentang sesuatu tindakan dan hukuman yang dilakukan pengadil.

Dalam politik juga begitu. Keputusan mungkin diterima tetapi kewajaran hukumannya tetap boleh dibincangkan.

VAR DAN MARUAH

Dalam bola sepak, rakaman VAR dipaparkan kepada jutaan penonton.

Mereka dapat melihat sendiri mengapa sesuatu keputusan dibuat.

Dalam kehidupan sebenar, khususnya dalam politik, keadaan tidak semudah itu.

Sekiranya segala bukti didedahkan secara terbuka, mungkin lebih ramai akan memahami mengapa keputusan tertentu diambil.

Namun pada masa yang sama, pendedahan sedemikian juga mungkin mengaibkan semua pihak yang terbabit.

Di sinilah letaknya dilema – ketelusan penting tetapi menjaga maruah adalah lebih penting.

Dalam kes ini, Perdana Menteri telah menjelaskan keputusan yang diambil bukan berpunca daripada kesalahan jenayah, tetapi kerana tingkah laku tersebut gagal memenuhi aturan tatalaku yang ditetapkan bagi seorang pemegang jawatan politik.

Daripada sudut institusi, pendirian itu boleh difahami.

Sesebuah parti yang telah membina reputasinya selama lebih tujuh dekad tentunya tidak mahu kelonggaran yang diberi kemudian menghakis keyakinan rakyat terhadap dirinya dan institusi yang diwakili.

PUTIH MELEPAK, HIJAU BERKILAU

Saya teringat kepada dua ungkapan Melayu yang semakin jarang kedengaran – putih melepak dan hijau berkilau.

Putih melepak melambangkan keinginan seseorang atau sesebuah institusi untuk dilihat bersih dan sentiasa kekal bersih.

Hijau berkilau pula menggambarkan kemurnian peribadi yang lahir daripada disiplin diri dan aturan kehidupan.

Bukan sekadar menjauhi yang haram atau salah, malah mengelakkan segala perkara yang boleh mengundang syak, fitnah atau keraguan.

Ia bukan soal takut dihukum. Ia soal memilih untuk tidak menghampiri sempadan.

Apa yang ditekankan Perdana Menteri menunjukkan, bagi PAP, kewibawaan bukan sekadar hasil kepada kepimpinan yang baik, tetapi asas yang mesti dipertahankan.
Related article image
(Dari kiri) Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Goh Pei Ming; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Zaqy Mohamad; Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow; Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo; serta Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Jasmin Lau, pada sidang media di Pusat Akhbar Nasional, MDDI, pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Mengekalkan nilai keperibadian yang tinggi adalah demi keyakinan rakyat.

Benar, pendekatan sedemikian mempunyai logiknya tetapi persoalan yang wajar dibincangkan bukan lagi mengenai fakta, yang sememangnya agak jelas.

Persoalannya ialah sejauh mana sesuatu hukuman membantu mencapai matlamat tersebut.

SALAH ATAU SILAP?

Dalam usaha memahami apa yang berlaku, kita perlu kembali kepada soal nilai dan etika kerana bagi orang Melayu, ada perbezaan besar antara salah dan silap.

Salah sering dikaitkan dengan perbuatan yang nyata, sedar dan disengajakan.

Silap pula menyentuh kelemahan pertimbangan, kerana alpa.

Dalam hidup, tiada orang yang jalannya tidak pernah tersandung.

Dalam percakapan, tiada orang yang tidak pernah tersasul.

Dalam perlakuan, tiada orang yang tidak pernah tersalah langkah.

MENCARI DAN MENGEKALKAN BAKAT

Politik tidak pernah menjadi medan untuk manusia yang sempurna.

Ia sentiasa menjadi lapangan bagi manusia biasa yang sanggup memikul amanah luar biasa.

Singapura memerlukan individu berbakat, berpengalaman dan berkebolehan untuk tampil berkhidmat.

Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sejarah hidup, kelemahan, kekurangan dan kesilapan seperti orang lain.

Petisyen yang muncul serta reaksi sebahagian masyarakat selepas peletakan jawatan bekas menteri itu menunjukkan adanya sebahagian masyarakat yang melihat ruang untuk pendekatan berbeza.
Related article image
Petisyen yang merayu agar peletakan jawatan Dr Faishal Ibrahim ditolak bagi mengekalkan beliau dalam jawatan politik. (Gambar: Petikan skrin laman Petitions.com)
Mungkin mereka tidak mempertikaikan pentingnya nilai keperibadian yang tinggi, sebaliknya mempersoalkan sama ada setiap kesalahan harus dikenakan hukuman yang sama.

Dalam jangka panjang, persoalan ini tidak boleh dipandang ringan.

Semakin tinggi aturan tatalaku yang ditetapkan, akan semakin sukar mencari individu yang bersedia menerima segala risiko kehidupan sebagai seorang ahli politik.

Sudah tentu kita mahukan pemerintah yang berwibawa dan dipercayai.

Cuma, pada masa yang sama, bolehkah sesebuah institusi politik menerima hakikat bahawa mereka yang mahu berkhidmat juga manusia yang mungkin pernah tersilap, tidak sempurna, tetapi tetap ikhlas, cekap dan mampu memimpin dengan cemerlang?

Putih melepak mungkin akan sentiasa menjadi cita-cita.

Hijau berkilau mungkin akan terus menjadi ukuran.

Jika setiap noda, sekecil mana pun, dianggap tidak lagi mempunyai ruang untuk dibersihkan, akhirnya yang tinggal bukan lagi pakaian yang putih.
Yang tinggal hanyalah kabinet yang kosong.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita