OLEH-OLEH TEMASEK: Pilih! Pilih! Pilih!
Tidak berapa lama – kurang 10 hari lagi rasanya – lebih 2.75 juta rakyat Singapura akan keluar mengundi, termasuk lebih 18,300 ‘orang kita’ yang berada di luar negara.

PM Lawrence Wong bergambar dengan sebuah keluarga semasa pelancaran rasmi Pelan Induk Lima Tahun Bandar Marsiling-Yew Tee, pada 5 April 2025. (Gambar: CNA/Nuria Ling)
Hmm… melihat keadaan di mana setiap calon dan parti yang bertanding mula sibuk ketengahkan diri, ‘jaja’ parti, bentang manifesto dan menawarkan pelbagai janji dan hujah, tentunya kita semua tidak sabar untuk keluar mengundi pada 3 Mei ini.

Betul punya erat genggaman bakal ‘Yang Berhormat’ (YB) bila kami bersalaman. Sungguh-sungguh tanya khabar, tanya keadaan kita, tanya itu, tanya ini. Penjagaan estet macam mana, isu apa yang ‘mengganggu’ kita, ada bantuan diperlukan ke tidak. Ada pula pengapit yang tukang tulis apa yang kita cakap.
Paling ‘best’ tidak lama selepas si calon YB dan pasukannya berlalu pergi, datang pula pasukan lawan tandingnya. Sama aje pendekatan beliau. Kemesraan yang ditunjukkan kedua-dua bakal calon macam kita ni kawan lama. Nak selfie, nak wefie, semua boleh.

Masa Kempen Singkat
Sememangnya, Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) merupakan satu pungutan suara yang bersejarah. Ia bukan hanya melibatkan jumlah pengundi paling ramai, tetapi juga menawarkan jumlah kerusi paling banyak – sebanyak 97 kerusi berbanding 93 pada GE2020.
Tidak seperti GE2020 yang berlangsung di tengah-tengah pandemik COVID-19 dengan pergerakan terbatas, kali ini rakyat akan kembali dapat menikmati Rapat Pilihan Raya bagi mendengar pidato calon dan ceramah politik kepimpinan parti yang bertanding.
“Pilihan raya tahun ni baik parti kecil, parti besar semua cepat betul tekan minyak. Awal-awal lagi kempen mereka dah ketengahkan macam-macam isu, dari soal tarif sampai ke vaksin COVID-19 hingga soal pekerjaan, soal periuk nasi. Masuk time kempen ni kau tengok, semua parti terus masuk gear 4,” kata kawan saya menyentuh pendekatan parti-parti politik dalam menghadapi GE2025.
“Semua parti macam terkejar-kejar kerana rasa tak cukup masa. Masa kempen sembilan hari, dah tu Hari Bertenang, mana tak gamat,” balas seorang kawan lain.
Awal-awal lagi, kami berlima dah sepakat, untuk GE2025 ini, masing-masing akan beri tumpuan berasingan mengikut kawasan utara, timur, selatan, barat dan tengah. Jadi kita semua boleh tahu perkembangan di kelima-lima kawasan dengan baik – tidak ada yang tertinggal.
Strategi kami memang padu kerana segala macam berita diterima – dari khabar angin hingga khabar nyata, siapa masuk, siapa keluar, siapa (diminta) berundur, siapa bersara, siapa jadi kemudian tak jadi, siapa dah bayar deposit, nama siapa dah masuk senarai calon, siapa masih cari duit…
Macam-macam cerita, macam-macam hal.

“Rakyat Singapura sekarang dah semakin dewasa dalam memilih pemimpin,” kata kawan saya ringkas.
Hal ini tidak boleh dinafikan. Melihat sekeliling, terutamanya di media sosial, hal-hal yang diketengahkan bukan lagi tentang pencapaian akademik calon, tetapi kemampuan calon dan parti dalam memahami permasalahan rakyat dan masyarakatnya.
“Tak kira tua muda, rakyat sekarang nak cari pemimpin yang boleh memahami kita. Kita takmu calon yang tak endahkan kita bila dah menang. Pemimpin yang menang mesti benar-benar berkhidmat, sedia ke depan bila perlu, takmu yang propa. Sedia sama-sama penduduk dan masyarakat bila masa dan keadaan memerlukan,” kata kawan saya penuh semangat.
Hal ini sukar ditolak.
“Bila masa Hari Mengundi, kita buat pilihan pakai akal atau hati? Ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa,” kata seorang kawan dalam sembang kami di WhatsApp.
Demokrasi mendewasa…pakai dua-dua sekali rasanya – akal dan hati.
“Bagaimana kalau kita tikam-tikam? Cak-cak kuti?,” balas saya pula.
“Ikut kawan, lawan,” balasnya penuh makna.
Kalau bab lawan, memang GE2025 dijangkakan sengit.
Sejauh ini, keadaan menunjukkan kesemua 97 kerusi akan dipertandingkan. Tiada seorang pun calon parti pemerintah dirasakan akan menang percuma.
Teropong saya menunjukkan ada beberapa kerusi – dari kalangan 15 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) mahupun di antara 18 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) – dijangka menghadapi pertandingan tiga atau empat penjuru, sama ada melibatkan parti pembangkang mahupun calon bebas.

Tiba masanya nanti, kita semua akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi – yang bijak.
Hidup Adalah Pilihan
Sudah tentu, pilihan raya ini bukan sekadar tentang calon atau parti – ia tentang kita semua. Tentang masa depan yang ingin kita bentuk bersama. Tentang impian yang mahu kita capai – sebuah Singapura yang lebih adil, lebih inklusif dan lebih prihatin terhadap setiap lapisan masyarakat.
Undi kita bukan hanya sekeping kertas di dalam peti undi. Ia adalah suara kita. Ia adalah tanda kita masih peduli. Ia adalah kuasa yang kita miliki untuk membawa perubahan yang kita mahu lihat – baik dari segi dasar, pendekatan, mahupun keutamaan negara.
GE2025 adalah peluang untuk kita menzahirkan harapan terhadap sebuah Singapura yang lebih baik – tidak hanya maju dari segi ekonomi, tetapi juga kaya dengan nilai kemanusiaan.
Hasil GE2025 nanti harus mencorak Singapura di mana warga tua tidak dilupakan, anak muda diberikan peluang, dan golongan yang memerlukan tidak terpinggir.

Yang jelas, GE2025 menunjukkan semakin ramai mendambakan sebuah Singapura baharu – bukan semata-mata berubah untuk berubah, tetapi berubah demi menjadikan republik ini sebuah rumah yang lebih bermakna untuk semua.
Apa pun, jangan terlalu stres bila sampai masa mengundi nanti. Kita semua bukan nak cari jodoh pun – cuma pangkah calon dan parti yang kita berkenan untuk wakili kita je.
Yang penting, undilah dengan yakin, bukan sebab ikut-ikut. Kalau boleh, ajak mak ayah, atuk nenek, jiran tetangga pun pergi sama. Lepas undi boleh terus sarapan, minum teh tarik, dan kongsi cerita – pasal negara, pasal harapan, dan pasal masa depan yang kita semua nak bentuk bersama.
Siapa atau parti mana pun menang nanti, kita tetap kena bekerja, cari rezeki.
Hidup adalah pilihan.
Jangan kata abang tak payung!
MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.