OLEH-OLEH TEMASEK: Pilih Baju (Pilihan) Raya
Selamat Hari Raya! Saya tahu kehadiran Aidilfitri tahun ini agak kurang ‘oomph’ kerana ia jatuh pada hari Isnin bukan hari Jumaat, Sabtu atau Ahad.

Encik Heng Swee Keat, Encik Edwin Tong, Dr Maliki Osman dan Encik Tan Kiat How bersama para jemaah di Masjid Al-Ansar pada 31 Mac 2025. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Selamat Hari Raya! Saya tahu kehadiran Aidilfitri tahun ini agak kurang ‘oomph’ kerana ia jatuh pada hari Isnin bukan hari Jumaat, Sabtu atau Ahad.
Walaupun begitu, sambutannya tetap meriah.
Maklumlah, disebabkan Selasa adalah hari bekerja maka ramai di antara kita cuba sedaya upaya memenuhi masa hari pertama Syawal dengan melakukan sebanyak mungkin kunjungan yang wajib – rumah ibu bapa, rumah mentua, rumah datuk nenek, rumah Pak Long, Mak Ngah, dan semua yang dianggap ‘mesti’ dikunjungi pada hari pertama.
Kerana itu, ada masih berkunjung walau masa sudah larut.
Tidak apalah setahun tak sekali, ya tak?
Bila lagi suasana rumah nak ‘gegak gempita’ dengan gurauan dan sendaan usik-mengusik adik-beradik, saudara-mara, sepupu-sepipit kalau bukan di Hari Raya?
Di negara lain, sambutan Aidilfitri hanya hari pertama Lebaran, tetapi di sini ia diraikan sepanjang Syawal. Malah, sebaik berlalu minggu pertama, Rumah Terbuka berlangsung sana sini.

Betul juga kata kawan saya, “Usaha menambat hati khusus untuk masyarakat Melayu tambah sebulan lagi – dalam bulan Syawal. Kalau kau tengok, sepanjang Ramadan, acara buka bersama penuh dengan ahli-ahli politik kita dekati orang Melayu.”
Ramadan dan Syawal bagaikan lombong emas buat para politikus, memanfaatkan sepenuhnya program buka puasa dan perjumpaan Hari Raya untuk menghadirkan diri, menampakkan muka dan menarik sokongan.

“Sekarang ni dah Syawal, dah tentu politikus kita lumba-lumba buat “open house” dan perjumpaan Hari Raya. Orang Singapura kalau beraya sebulan suntuk. Bererti tahun ini bulan April ‘full’.”
Saya nak cakap apa lagi, memang betul kata dia.
“Aku dengar Menteri pun buat majlis perjumpaan Hari Raya untuk pemimpin Melayu dalam beberapa hari ni. Meriahlah nanti, macam-macam berita baik dia akan umumkan,” tambahnya lagi.
“Pemerintah dan pemimpin kita kena jiwa besar beb dan ambil peluang 'open house' untuk menang hati dan tarik undi orang Melayu,” jawab saya terus terang.
GE2025 menyaksikan lebih 2.75 juta (2,758,095) warga akan keluar mengundi – menentukan nasib lebih kurang 200 calon yang merebut 97 kerusi parlimen.
Ia mencatat peningkatan 104,153 pengundi berbanding 2020. Jumlah ini sebenarnya menyamai jumlah pengundi di tiga atau empat Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
"Ramai mungkin tidak perasan pengundi Melayu sebenarnya sama berperanan dalam menentukan kalah-menang sesuatu parti di sesebuah kawasan undi kerana peratusannya yang agak ketara, ada tu melebihi 10 peratus," kata rakan saya lagi mengongsi pengamatannya.

Ini bermakna, keputusan pengundi Melayu semasa membuat pilihan di kertas undi nanti bukan sesuatu yang enteng, apatah lagi mereka lebih peka pada perubahan, pembaharuan dan bersemangat untuk maju.
Apa-apa pun, acara Perjumpaan Hari Raya tidak lengkap rasanya tanpa kehadiran tetamu dengan pakaian tradisional, sekurang-kurangnya berbaju Melayu, baju kurung atau kebaya.
“Itu aku setuju, kena jaga adab dan santun kita. Penampilan dan pakaian kena bersesuaian majlis. Kalau lelaki biarlah lengkap bersamping, bersongkok. Dah namanya kita ni orang Melayu, jangan pula ada yang datang serambah-serembih atau berpakaian asal boleh. Kalau yang bertatu tu tutup-tutuplah tatu tu, orang kita tak payah bangga dengan tatu,” balasnya.

Bercakap pasal Hari Raya dan Perjumpaan Hari Raya, teringat pula tentang warna baju yang sering jadi perbualan.
Maklumlah, suhu demam pilihan raya dah naik. Ramai juga orang kita menganggotai atau jadi sukarelawan mahupun penyokong parti politik dan setiap parti ini ada warna korporat masing-masing.
Bila diajukan hal ini, kawan saya pantas mengingatkan, “Harus hati-hati pilih warna baju. Salah pilih warna, terkait pula dengan parti politik. Salah warna baju Raya tak apa. Jangan pilih salah parti,” kawan saya mengusik.
“Undi itu rahsia,” balas saya sinis.
Ada beberapa warna yang menjadi pilihan setiap parti politik di sini:
• Putih (Parti Tindakan Rakyat, PAP)
• Biru muda (Parti Pekerja, WP)
• Merah dan putih (Parti Kemajuan Singapura, PSP)
• Merah (Parti Demokratik Singapura, SDP)
• Jingga (Parti Perpaduan Nasional, NSP)
• Merah manggis (Parti Suara Rakyat, PV)
• Ungu (Parti Rakyat Singapura, SPP)
“Bakal calon pilih baju Raya warna apa?,” tanya kawan saya yang memang cukup minat berbual pasal politik.
“Aku bukan calon, jadi aku pilih warna coklat. Yang pakai kaler (warna) putih nampak dah ramai, biru muda pun ramai, merah putih masih kurang,” balas saya dan kami berdua ketawa gelihati.
MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.