OLEH-OLEH TEMASEK: Perang di Media Sosial

Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat Lawrence Wong di pelancaran manifesto parti masing-masing pada 17 April 2025. (Gambar: Petikan skrin video Mediacorp/CNA/Lim Li Ting)
Maka dengan ini bermulalah semarak dan kemeriahan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura.
Paling menarik, GE2025 menyajikan pelbagai ‘juadah’ di media sosial yang menggeletek hati dan mencuit perasaan.

Cakap sini, habis sini eh… Macam mana tak buat kita semua garu kepala tak gatal, dalam semalaman aje ramai bakal calon dan ahli politikus kita seakan sudah ubah profesyen.
“Hiburan politik. Ada nak jadi penggubah lagu, ada nak jadi ejen hartanah,” kata kawan saya.
“Ada jadi PST (Profesor Serba Tahu), ada jadi Ahli Nujum, ada yang jadi-jadian,” jawab saya sambil ketawa besar.
Harapnya tiadalah yang jadi Pak Awang Temberang. Nanti tak pasal-pasal kena POFMA.
Apapun, respons masyarakat dan media kita tidak kurang hebat.
Klip filem Bujang Lapok jadi bahan kali ini. Cara ia digunakan sebagai respons memang kelakar dan kreatif. Pendekatan yang selamba menunjukkan masyarakat kita peka pada sekitaran politik semasa.
Keprihatinan masyarakat dan keupayaan mereka mengulas dengan menggunakan lawak menonjolkan kelebihan masyarakat untuk berkias secara spontan tanpa perlu bersuluh.
Ada juga satu komik kian tular di Facebook menggunakan lakaran Ghibli menunjukkan seorang politikus berkata: “Aku lebih selesa berjuang belakang tabir”.
Bagi yang terkena, memang sentap. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Tidak keterlaluan saya katakan, mungkin ada di antaranya tidak senang duduk, memikirkan singgungan masyarakat.
Iyalah, bila sudah terbiasa memulas, sesekali dia pula dipulas memang terasa sengalnya.
Cakap senangnya, pilihan raya buat kedua-dua pihak – politikus dan jelata – saling cuba tarik perhatian.

Sedang satu pihak cuba mempertahankan kedudukan dan menekankan ‘rekod pencapaian’ sepanjang lima tahun lalu dan mahu sokongan untuk visi lima tahun ke depan, yang jelata pula mahu sang politikus lebih menyantuni kehendak rakyat, memberi penekanan pada segala yang kurang atau yang tidak diendahkan sepanjang tempoh bergelar ‘Yang Berhormat’ (YB).
Kini masa pilihan raya tiba lagi, tentunya si jelata ingin mengingatkan barisan YB siapa lebih berhak menentukan nasib politik mereka.
Ini dilakukan menerusi jelmaan klip video satira, kartun atau tulisan – yang harus dimengertikan, baik yang tersirat mahupun tersurat.
Beza Dunia Nyata, Dunia Digital
Seperkara yang pasti, bakal calon mesti tahu membezakan antara dunia digital dan dunia nyata.
Ini kerana dua dunia ini mengemukakan dua kenyataan berbeza. Kejayaan di dunia digital boleh menjadi igauan bakal calon di dunia nyata, dan begitulah juga sebaliknya.
“Nasib baik ada peraturan yang melarang penggunaan alat digital untuk ubah gambar atau video. Orang ramai dan ahli politik kena faham, “Likes” = “Votes” – belum tentu.
“Comments” = “Engagement” – tidak pasti. Banyak manipulasi,” kata kawan saya lagi.
Sememangnya, tidak semua ratus-ratus, ribu-ribu tanda suka yang diterima bermakna rakyat akan menyokong si calon itu.
Ada pihak pula ambil kesempatan menaikkan rasa jengkel pengundi terhadap seseorang calon, baik calon parti pemerintah atau pembangkang.
Manipulasi ini yang menambah asam garam, warna-warni pilihan raya.

Realitinya, GE2025 menyaksikan rakyat Singapura kini berdepan dengan perang saraf yang belum pernah mereka alami.
Perang saraf ini membangkitkan kedua-dua desakan dan kemahuan untuk menyaksikan sebuah perubahan positif demi kebaikan Singapura dan rakyatnya untuk hari ini dan masa depan.
Apatah lagi kemudahan teknologi digital membolehkan kisah lampau diulang tayang dan dijaja kembali dengan mudah sewenang-wenangnya sebagai mengingatkan warga apa yang pernah berlaku dan dilalui mereka dahulu.
Mesej Di Sebalik Video
Keadaan menjadi lebih ‘ribut’ setelah Parlimen dibubarkan pada Selasa lalu (15 Apr) dengan kesemua parti politik – baik PAP mahupun parti-parti pembangkang mula tunjuk taring dalam menarik perhatian dan merebut hati rakyat.
Dalam era pascapandemik di mana cabaran rakyat semakin kompleks – dari tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global, hingga kepada kebimbangan terhadap keupayaan memiliki rumah sendiri dan ketidakcukupan wang untuk mengharungi persaraan dan kos kesihatan pada hari tua – timbul persoalan: adakah pendekatan bakal calon menerusi media sosial sudah cukup untuk memenangi hati rakyat?
Di sinilah rakyat memainkan peranan besar dalam mengukur keikhlasan dan kemurnian hati seseorang bakal calon yang mahu bertanding dalam GE2025 dan sekiranya menang, mewakili rakyat di Parlimen bagi tempoh lima tahun mendatang.

Namun, apa yang benar-benar membentuk GE2025 adalah medan komunikasi baharu — media sosial.
Kisah-kisah bersifat ‘peribadi’ ini berfungsi bukan hanya sebagai strategi komunikasi, tetapi juga sebagai satu kaedah menawan hati – menjadikan calon lebih dekat di hati pengundi, dan mengangkat nilai kejujuran, daya tahan, serta ‘senjata’ dalam menarik keyakinan masyarakat terhadap mereka.
Namun begitu, keterbukaan ini juga membawa risiko — kerana setiap kenyataan, gambar, atau klip video yang dikongsi boleh menjadi senjata makan tuan sekiranya tidak dikendalikan dengan cermat. Dalam dunia digital yang serba pantas dan penuh skeptisisme, persepsi rakyat boleh berubah dalam sekelip mata.
Yang jelas, media sosial telah merombak cara politik dimainkan. Ia bukan lagi sekadar pentas untuk menyampaikan manifesto — ia adalah medan di mana empati, kredibiliti dan kejujuran diuji setiap hari. Dalam konteks ini, calon-calon yang mampu memadukan naratif peribadi yang tulus dengan wawasan dasar yang jelas akan mempunyai kelebihan untuk menambat hati pengundi, terutamanya golongan muda dan celik media.

“Kalau setakat cakap di media sosial, semua orang boleh bercakap. Kau tengok je klip video yang bersepah di Facebook dan di TikTok, dari makcik yang jual nasi kepada pakcik bawa teksi, kepada pensyarah universiti dan pemimpin politik, cakap siapa boleh pakai?,” tanya kawan saya penuh makna.
“Sebagai pengundi, kita tonton bukan sekali pandang aje, kena juga teliti apa yang disampaikan. Sampai masa, undi dengan yakin,” jawab saya.
MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.