Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Musibah Dalam Muhibah Sukan SEA

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Musibah Dalam Muhibah Sukan SEA
Dron diterbangkan dalam formasi yang membentuk logo Sukan SEA di ruang udara Stadium Nasional Rajamangala semasa upacara pembukaan Sukan SEA ke-33 di Bangkok, Thailand, pada 9 Disember 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-33 berlangsung dalam keadaan yang jauh daripada menenangkan bagi rantau ini – lebih-lebih lagi bagi Thailand selaku tuan rumah.

Sejak diasaskan lebih enam dekad lalu, temasya ini lazimnya menjadi pentas meraikan bakat, semangat kesukanan dan persahabatan serantau.

Namun, edisi kali ini berjalan di atas landasan yang bergegar, dibayangi perang, bencana alam dan sentimen politik yang meruncing.

Sejauh yang dapat diingati, edisi kali ini merupakan antara paling tegang dalam temasya sukan ini: perang saudara yang berlarutan di Myanmar, pertelagahan bersenjata antara Thailand dan Kemboja, serta bencana ribut dan banjir yang melanda Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Kita menyaksikan Taufan Senyar meninggalkan antara kesan paling parah dalam sejarah hujan ribut di Selat Melaka, merentap ribuan nyawa dan memusnahkan prasarana di beberapa negara jiran. Di Indonesia sahaja, lebih 700,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Temasya Di Tengah Ketidaktentuan

Berdepan ujian petaka alam, Sukan SEA menghidangkan gambaran semangat kental jiwa serantau yang tidak walah.

Temasya kali ini juga seharusnya membuat kita lebih teruja untuk menyaksikan para atlet beradu kekuatan, dengan penampilan Timor Leste sebagai negara anggota terbaharu ASEAN – menjadikan rantau ini didiami 700 juta jiwa yang terbahagi kepada 11 negara.

Sayangnya, di kala sedunia mengharapkan sukan menjadi ruang rehat dari hiruk-pikuk politik, realitinya sukan – seperti aspek kehidupan lain – tidak mampu terlepas sepenuhnya daripada konteks geopolitik yang mengitarinya.

Lebih memburukkan keadaan, Thailand turut berdepan kritikan tajam daripada Vietnam setelah paparan visual semasa upacara perasmian tidak menonjolkan tiga pulau – Hoang Sa (Paracel), Truong Sa (Spratly), dan Phu Quoc – sebagai sebahagian daripada peta Vietnam.

Isu kedaulatan wilayah bukan hal remeh bagi mana-mana negara; maka tidak menghairankan langkah pantas diambil oleh pihak berkuasa Vietnam bersama jawatankuasa penganjur untuk membetulkan visual berkenaan.

Episod ini mengingatkan kita bahawa di rantau ASEAN, sejarah dan geopolitik tidak pernah berada jauh dari permukaan, malah mampu terserlah di saat yang sepatutnya merayakan persaudaraan serantau.

Belum reda isu peta, temasya yang dirasmikan di Stadium Rajamangala itu turut dilanda pemboikotan langsung oleh Kemboja. Walaupun atlet mereka menghadiri upacara perasmian, tindakan simbolik itu menunjukkan tahap ketidakpuasan hati yang bukan kecil – sekali lagi menggariskan betapa rapuhnya hubungan sesetengah negara jiran pada waktu ini.
Related article image
Delegasi Kemboja mengibar bendera negara mereka semasa upacara pembukaan Sukan SEA ke-33 di Stadium Kebangsaan Rajamangala di Bangkok pada 9 Disember 2025. (Gambar: AFP/Lillian Suwanrumpha)
Tidak cukup ‘penangan’ bencana alam dan pemboikotan yang mencetuskan kegelisahan, muncul pula perkembangan politik dalaman Thailand pada hari-hari awal temasya: Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan pembubaran parlimen atas permintaan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul bagi mempercepatkan pilihan raya umum dalam tempoh 45 hingga 60 hari.

Pengumuman itu, walaupun sah mengikut lunas perlembagaan, mencipta resah tersendiri kerana ia berlaku tepat di tengah-tengah temasya.

Meskipun Encik Anutin menjelaskan kerajaan minoritinya berdepan pelbagai cabaran – termasuk soal perang sempadan yang menjejas ratusan ribu nyawa rakyatnya – sejak mengambil alih tampuk kepimpinan tiga bulan lalu.

Secara simbolik, tindakan itu memberikan gambaran bahawa Thailand kini berada dalam keadaan serba tidak kena: digoncang konflik luar, dibatasi ketidakstabilan dalaman dan dihimpit kritikan dari dalam serta luar negara.
Related article image
Seorang kanak-kanak perempuan duduk di belakang sebuah traktor dalam perjalanan ke sebuah kem pelarian susulan pertempuran berdarah antara Thailand dan Kemboja di sepanjang kawasan sempadan yang dipertikaikan, di Chong Kal, Wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, pada 10 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Kim Hong-ji)
Menyorot Semangat Sukan SEA

Namun, dalam kekusutan inilah kita sebenarnya punya peluang untuk menilai kembali makna temasya Sukan SEA kepada ASEAN sebagai sebuah masyarakat serantau.

Walaupun berdepan musibah dan kontroversi, Sukan SEA seharusnya menjadi ruang yang mampu membawa rakyat ASEAN bersama dalam suasana muhibah.

Setiap larian, lontaran dan tendangan bukan sekadar mencerminkan kekuatan fizikal, tetapi juga menzahirkan ketabahan, maruah dan semangat tidak pernah padam yang dikongsi oleh masyarakat serantau ini – untuk sama-sama maju dan berjaya di sebalik apa jua rintangan dan hambatan.

Dalam konteks ASEAN yang sering diuji oleh pertindihan tuntutan wilayah, krisis politik domestik, kemiskinan dan jurang pembangunan, sukan menjadi cerminan bahawa hubungan antara rakyat masih mampu dibina di tengah-tengah keretakan diplomatik.
Related article image
Puripol Boonson dari Thailand beraksi dalam acara saringan 100 meter lelaki pada Sukan SEA ke-33 pada 11 Disember. (Gambar: REUTERS/Chalinee Thirasupa)
Related article image
Justin Hoh (kanan) beraksi menentang Zaki Ubadillah dari Indonesia dalam perlawanan akhir badminton berpasukan lelaki pada Sukan SEA ke-33 Thailand di Kampus Rangsit Universiti Thammasat pada 10 Disember 2025. (Gambar: Bernama)
Sukan, tidak seperti rundingan politik, tidak pernah menetapkan sempadan di gelanggang. Atlet Myanmar tetap bertanding dengan atlet dari Thailand atau Kemboja tanpa prejudis. Malaysia dan Indonesia boleh beradu kekuatan badminton dengan sengit, namun di luar gelanggang, peminat dari kedua-dua negara berkongsi tepukan, gelak tawa dan penghargaan terhadap bakat lawan mereka.

Inilah kekuatan sukan – ia meruntuhkan tembok psikologi dan membuka ruang kepada usaha menyuburkan persaudaraan, kesalingfahaman dan hubungan mesra yang tidak selalu terhasil daripada pendekatan politik.

Di tengah-tengah bencana ribut dan banjir yang menghentam rantau ini, temasya sukan boleh menjadi detik untuk kita berhenti sebentar – merenung sifat rapuh kehidupan dan mengingatkan diri bahawa di bawah bendera negara masing-masing, kita sebenarnya berkongsi takdir yang sama sebagai warga ASEAN.

Sukan Penyatu Bangsa

Dalam dunia yang semakin berpecah, peluang untuk duduk bersama sebagai satu bangsa ASEAN yang berlainan kaum dan agama, walaupun hanya sebagai penonton sukan, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang remeh.

Apa yang perlu dicermati ialah bagaimana ASEAN boleh memanfaatkan temasya seperti ini sebagai wadah diplomasi penyatuan rakyat.

Andai hubungan antara pemerintah berselisih, hubungan antara rakyat masih boleh memetik irama kemesraan.

Kita sering menyebut tentang “Komuniti ASEAN” – tetapi ‘komuniti’ atau masyarakat bukan hanya wujud melalui perjanjian rasmi. Ia wujud apabila setiap masyarakat, yang terpisah oleh sempadan dan perbatasan, melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar.
Related article image
Sukan SEA berpotensi menjadi salah satu alat paling berkesan untuk menanamkan semangat kebersamaan dalam kalangan negara ASEAN. (Gambar: Bernama)
Related article image
Sukan SEA berpotensi menjadi salah satu alat paling berkesan untuk menanamkan semangat kebersamaan dalam kalangan negara ASEAN. (Gambar: Bernama)
Sukan SEA, sekiranya diurus dengan bijak dan bebas daripada manipulasi politik, mampu menjadi salah satu alat paling berkesan untuk menanamkan perasaan kebersamaan itu.

Mendukung Semangat Wira Negara

Mungkin edisi ke-33 ini bukan edisi yang paling lancar. Namun, ia boleh menjadi edisi paling jujur – kerana ia mencerminkan keadaan sebenar ASEAN yang berada di persimpangan: antara muhibah yang ingin dipelihara dan musibah yang tidak dapat dielakkan.

Di sinilah erti temasya ini diuji; bukan pada bilangan pingat, tetapi pada sejauh mana kita mampu kekal bersatu dalam menghadapi ketidaktentuan.

Kita perlu menyedari bahawasanya Sukan SEA merupakan medan yang menampilkan atlet sebagai wira dan srikandi terbaik dari seluruh ceruk Asia Tenggara.
Mereka sedia bertarung, berkorban dan berlatih gigih demi maruah pertiwi dan semuanya dilakukan dengan penuh keazaman dan iltizam untuk gelora kemakmuran serantau, bukan tusukan yang merencat persaudaraan dan setia kawan.

Yang menjadi rebutan bukan emas, perak atau gangsa, tetapi kepuasan untuk tampil mewakili negara.

Jadinya, di tengah-tengah segala kekalutan geopolitik dan bencana alam, sukan tetap mengingatkan kita bahawa identiti ASEAN bukan semata-mata apa yang termaktub dalam Piagamnya, tetapi apa yang terbit daripada rakyatnya – keberanian, ketabahan dan keinginan untuk hidup damai bersama.

Seperti kata Nelson Mandela, seorang tokoh yang amat memahami kuasa sukan dalam menyatukan manusia:

“Sukan punya kuasa untuk menyatukan kita yang sukar dilakukan dengan cara lain.”

Jadi, jika kita ingin memupuk persaudaraan dan ikatan jalinan lebih mendalam, maka semangat kebersamaan sepanjang temasya ini mesti diteruskan, bukan terhenti sebaik lampu stadium dimatikan.

Kepada semua atlet yang mewakili, syabas!

Kepada yang meraih pingat, tahniah!

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita