OLEH-OLEH TEMASEK: Modal Sosial: “Ada Kabel” Bukan Pilih Kasih
Modal sosial memainkan peranan yang penting dalam membolehkan seseorang melangkah lebih jauh dalam kehidupan. (Gambar: Hamizah Myra; Mediacorp)
“Puas aku cari kerja. Banyak tempat aku mohon. Takde yang panggil pun. Maklum, umur macam kita ni siapa nak, dah tua! Akhirnya aku MRT je – Makan Rehat Tidur di rumah. Nasib baik flat dah habis bayar. Tempat kau ada kosong?” tanyanya jujur kepada penulis Chairul Fahmy Hussaini.
Saya berjanji akan cuba membantunya. Beliau bukan seorang. Beberapa rakan lain mengeluh hal serupa – ada yang sudah lama bekerja tetapi tidak menikmati kenaikan pangkat kerana ada sahaja alasan penyelia dan majikan.
Keadaan mereka ada kaitan langsung dengan laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), iaitu unit penyelidikan AMP Singapura, bertajuk 'Intergenerational Mobility Within The Malay Community in Singapore' (Mobiliti Antara Generasi dalam Kalangan Masyarakat Melayu di Singapura), yang diterbitkan pada 12 Mei lalu.
Laporan RIMA memberikan gambaran yang berbeza-beza – persis dua sisi mata wang yang sama.
Di satu sisi, kemajuan itu nyata. Hampir 80 peratus responden melepasi tahap pendidikan ibu bapa mereka. Lebih 90 peratus kini bekerja dalam jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) – berbanding hanya 37.8 peratus semasa generasi datuk nenek mereka.
Bagaimanapun di sisi lain, jurang masih menganga lebar. Dikatakan sekitar 10.8 peratus masyarakat Melayu memiliki ijazah universiti – berbanding purata nasional 33.7 peratus. Pendapatan isi rumah median kaum Melayu pada 2020 ialah S$5,704 – 26 peratus lebih rendah daripada median nasional S$7,744.
Seorang rakan lama menganggapnya cerita lama. “Sudah sekian lama, tetapi hasilnya tidak seberapa. Lebih ramai orang kita tinggal di flat sewa. Hanya 10 peratus penuntut kita berkelulusan ijazah berbanding bukan Melayu 33 peratus. Pendapatan median kita pada 2020 jauh lebih rendah daripada median nasional. Biarlah angka bercerita, kalau aku cakap je, orang selalu kata takde isu aku jadikan isu.”
ISU SEBENAR: MODAL SOSIAL
Salah satu penemuan paling bermakna dalam laporan itu ialah konsep modal sosial – atau dalam bahasa zaman sekarang, “ada kabel.”
Laporan RIMA itu mendapati, mereka yang mempunyai akses kepada mentor, ahli keluarga dalam profesion berkaitan, atau rangkaian industri, lebih berjaya menyusuri laluan pendidikan dan kerjaya. Mereka yang kurang hubungan sebegini terpaksa bergantung semata-mata kepada kelayakan formal dan usaha diri sendiri – dan sering kali, usaha itu tidak menghasilkan pulangan yang setimpal.
Seorang rakan lain menyatakan dengan lebih terbuka: “Cuba buka telefon bimbit kau. Berapa ramai kenalan yang bukan daripada orang kita sendiri? Berapa ramai dalam senarai tu orang pangkat tinggi atau gaji besar yang kau rasa boleh rekomen anak kau atau anak aku dapat kerja lebih baik atau gaji lebih tinggi.”
Beliau sambung: “Isu sebenarnya – adakah kita tahu bagaimana nak manfaatkan modal sosial ni?”
Persoalan itu tepat dan tajam. Modal sosial bukan sekadar mengenal seseorang. Ia tentang siapa yang mengenali kita, siapa yang akan mengesyorkan nama kita, dan siapa sedia bukakan pintu sebelum kita sempat mengetuk.
Inilah ‘network’ yang rasanya sesetengah orang kita belum bijak untuk manfaatkan.
Di sinilah ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada bangsa lain – bukan untuk ditiru buta-buta, tetapi untuk difahami dan disesuaikan dengan nilai-nilai kita sendiri.
Masyarakat Cina mempunyai konsep Guanxi – rangkaian hubungan peribadi yang berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama. Ia bukan sekadar “kenal orang.” Ia adalah ekosistem di mana bantuan diberikan, diingati, dan dibalas – bukan atas dasar pilih kasih, tetapi atas dasar ikatan yang dijalin lama dan dipupuk dengan ikhlas.
Guanxi adalah “akaun bank emosi” – anda mendepositkan kebaikan, dan suatu hari kelak anda mungkin perlu mengeluarkannya.
Masyarakat India pula mengenali konsep Sifarish dan Jugaad – kemahiran memanfaatkan rangkaian peribadi untuk membuka pintu, menyelesaikan masalah secara kreatif, dan bergerak dalam sistem yang kadang-kadang tidak mesra orang luar.
Menariknya, konsep-konsep ini tidak asing bagi orang Melayu dari segi rohaninya. Kita ada gotong-royong. Kita ada semangat berjiran. Peribahasa kita kaya dengan semangat kebersamaan: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bagai aur dengan tebing. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Tetapi – dan inilah bezanya – semangat gotong-royong kita selama ini lebih banyak dimanifestasikan dalam majlis kenduri, membantu jiran yang sakit, dan sama-sama membersihkan kawasan. Semua itu mulia dan bernilai tinggi. Cuma, semangat yang sama belum cukup diterjemahkan ke dalam konteks kerjaya, perniagaan, dan mobiliti sosial dalam era baharu ini.
Ringkasnya: kita pandai bergotong-royong mengangkat kerusi, tetapi belum cukup pandai bergotong-royong membuka pintu peluang.
Kita juga kena faham, bila masuk setelah pintu dibuka bukan bermaksud memotong giliran orang lain – ia juga bukan bermakna kita mendakapi nepotisme.
BERANI MENANGANI HALANGAN
Ada seorang rakan lain pula berkata, jika soal mobiliti sosial atau daya gerak antarmasyarakat tidak ditangani dengan betul, golongan minoriti dan orang Melayu khususnya, secara struktural dirugikan.
“Siling kaca? Kalau kurang bergaul jangan cepat beri alasan diskriminasi,” ujarnya ringkas.
Sememangnya ini bukan soalan yang mudah, dan jawapannya bukan hitam putih.
Laporan RIMA itu memang merekodkan pengalaman diskriminasi. Ada responden yang berkata mereka perlu bekerja dua kali lebih keras untuk mendapat pengiktirafan yang sama. Ada merasai “pulangan defisit” – di mana kelayakan dan usaha tidak menghasilkan ganjaran setimpal.
Maksudnya, walaupun kelayakan dan pengalaman kita setanding orang lain, peluang kerjaya dan ganjaran yang kita terima masih tidak setara – bukan kerana kita kurang mahir, tetapi kerana jaringan, persepsi, dan sikap berat sebelah yang tersembunyi di sebalik sistem.
Di sinilah kematangan intelektual kita diuji. Memilih sama ada menyalahkan sistem sepenuhnya atau berfikir dengan lebih dalam – dan bertindak dengan lebih berani.
LANGKAH KE HADAPAN: GUANXI VERSI MELAYU
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) Zaqy Mohamad menyuarakan pendirian yang tepat: laporan RIMA ini perlu dinilai secara objektif, tanpa defensif, tanpa mengelak – kerana ada kebenaran yang jujur di dalamnya.
Usaha MENDAKI patut diiktiraf. Cuma ia perlu lebih gigih. Setelah berdekad-dekad, jurang yang tinggal bukanlah jurang yang boleh ditutup dengan program sahaja – ia memerlukan perubahan budaya, keberanian individu, dan komitmen kolektif yang lebih mendalam bagi badan-badan dan kepimpinan Melayu kita.
Apa yang perlu ialah satu pendekatan baharu – bukan menggadaikan jati diri, tetapi memperkayakan cara kita membina dan memanfaatkan hubungan.
Pertama, Melayu di Singapura perlu memperluas lingkaran kenalan secara sedar dan sengaja. Hadiri majlis bukan hanya dalam masyarakat sendiri. Sertai persatuan industri, forum profesional, majlis perniagaan.
Kedua, budayakan 'mentorship' secara sistematik. Jangan tunggu orang muda datang bertanya – hulurkan tangan. Mereka yang sudah berjaya perlu ingat bahawa kejayaan itu bukan hanya milik diri sendiri. Dalam semangat Guanxi yang beretika, setiap pencapaian membawa bersamanya tanggungjawab untuk menarik ke atas mereka yang masih di bawah.
Ketiga, tukarkan modal sosial kepada tindakan nyata. Jika anda tahu ada jawatan kosong yang sesuai, sebut nama rakan yang layak. Jika anda ada kenalan di syarikat tertentu, perkenalkan. Ini bukan pilih kasih – ini adalah tanggungjawab kita yang ingin maju bersama.
Keempat, jadikan kepelbagaian rangkaian sebagai norma baharu. Rakan sepejabat bukan Melayu, jiran berbangsa lain, rantaian kenalan daripada latar belakang berbeza – semua ini adalah peluang untuk memperluaskan modal sosial kita secara organik dan ikhlas.
Laporan RIMA bukan untuk diratapi. Ia adalah cermin – dan cermin yang bagus mampu memperlihatkan keadaan kita yang adakala comot, bergincu terlebih atau berpakaian rapi.
Orang Melayu ada semua yang diperlukan – semangat kental dan hati waja, akal budi, nilai murni, dan sikap untuk maju dan berjaya. Yang perlu ditambah ialah kematangan strategik dalam membina dan memanfaatkan rangkaian – Guanxi versi Melayu yang beretika, beradab, dan berakar pada nilai gotong-royong yang telah sekian lama menjadi nadi kita.
Usaha saling membantu ini adalah amanah – baik untuk pemimpin masyarakat, karyawan Melayu yang sudah berjaya, kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak mereka, dan kepada setiap individu yang masih percaya bahawa perjalanan masyarakat kita ini belum mencapai tangga jaya yang diperlukan.
Rakan saya yang masih menunggu panggilan temu duga itu masih menanti. Mungkin yang perlu bergerak bukan hanya dirinya – tetapi kita semua, bersama-sama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.