Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: MENDAKI, Tuisyen Bukan Hanya Untuk Pelajar Sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: MENDAKI, Tuisyen Bukan Hanya Untuk Pelajar Sekolah
Yayasan MENDAKI memansuhkan yuran pendaftaran S$10 bagi Program Tuisyen (MTP) kendaliannya. (Gambar: Facebook/MENDAKI Singapore)
SINGAPURA: Apabila Yayasan MENDAKI mengumumkan penghapusan yuran pendaftaran S$10 bagi Program Tuisyen MENDAKI (MTP), ia bukan sekadar langkah pentadbiran kecil. Ia menandakan anjakan bermakna – daripada memberi bimbingan dan tunjuk ajar akademik berbayar kepada menjadikan pendidikan sebagai ekosistem sosial menyeluruh untuk masyarakat Melayu/Islam.

Langkah yang diambil MENDAKI melambangkan kesediaan badan bantu diri itu untuk beralih arah – mengiktiraf bahawa pendidikan asas untuk anak-anak Melayu/Islam adalah hak, bukan beban.
Pendidikan ialah hak asas yang menentukan masa depan masyarakat. Bagi masyarakat Melayu/Islam, enam tahun pertama persekolahan – sepertimana digariskan dalam Akta Pendidikan Wajib Singapura – amat penting untuk membina asas kukuh daya membaca, mengira dan sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

Merapatkan Jurang Pendidikan

Di peringkat sekolah rendah, matlamat kita jelas – mengurangkan secara ketara jumlah pelajar Melayu yang mengikuti Program Sokongan Pembelajaran (LSP) bagi Bahasa Inggeris dan Matematik.

Agak ramai kanak-kanak Melayu yang ‘tergelincir’ di peringkat prasekolah menghadapi kesukaran apabila melangkah ke darjah satu, lalu tertinggal dari awal perjalanan pendidikan mereka. Ini perlu ditangani secara menyeluruh, dengan kerjasama ibu bapa, MENDAKI dan pihak sekolah.
Dua anak Cik Norliza Md Yusop akan tetap mengikuti MTP pada 2026. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Usaha memperkukuh kemahiran asas bukan sekadar campur tangan awal, tetapi pelaburan jangka panjang untuk memastikan setiap anak Melayu/Islam mampu memulakan pendidikan formal dengan mantap dan kecekapan setara rakan sebayanya yang berbangsa lain.

Jadi, sebagaimana diamanahkan, MENDAKI berperanan penting dalam melengkapkan mandat ini dengan menyediakan bimbingan tambahan dalam subjek teras, membantu murid-murid kita menerusi MTP menghadapi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), dengan lebih ramai meraih Pencapaian Peringkat AL1 hingga AL5, mencatat markah antara 65 hingga melebihi 95 bagi setiap mata pelajaran.
Dr Faishal dan Encik Zaqy sempat beramah mesra dengan para pelajar dan para guru tuisyen MTP. (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

Serupa halnya dengan sokongan menerusi MTP untuk membantu pelajar kita mencatat keputusan lebih baik bagi Peperiksaan Peringkat GCE ‘N’ atau ‘O’, dengan lebih ramai mencatat B4 hingga A1.

Ini yang harus menjadi sasaran baharu MENDAKI.

Usaha ini bukan sekadar meningkatkan keputusan akademik, tetapi memastikan setiap anak Melayu/Islam mempunyai peluang setara untuk maju, seterusnya memperkukuh pendidikan sebagai hak dan tanggungjawab bersama.

Mengukuh Upaya Masyarakat

Melihat ke belakang, Laporan Kewangan MENDAKI bagi tahun 2016 misalnya, menunjukkan bahawa sebahagian besar dana pendidikan datang daripada Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) yang dikhususkan untuk membantu pelajar Melayu yang mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi (IHL) tempatan, selain hasil pelaburan Dana Pembangunan Pendidikan (EDF).

Ketika itu, sebanyak S$57.6 juta diperuntukkan pemerintah bagi TTFS, dan daripada jumlah berkenaan S$19.7 juta yang tidak diagih telah dipindahkan ke EDF untuk membiayai program pendidikan masyarakat Muslim Singapura.

Menurut Laporan Kewangan 2024 pula, MENDAKI mencatatkan jumlah TTFS yang disalurkan meningkat kepada S$67.6 juta, manakala lebihan yang tidak diagih – sekali lagi disalurkan ke EDF – meningkat kepada S$27.9 juta. EDF pula mencatat baki kukuh sebanyak S$119.9 juta pada akhir tahun.

Sedia Melangkah

Ini menunjukkan peningkatan ketara komitmen Pemerintah terhadap pendidikan masyarakat Melayu/Islam, serta keberkesanan pengurusan dana MENDAKI dalam memanfaatkan sumber awam bagi pembangunan insan.

Menariknya, pendapatan daripada yuran tuisyen turun dengan dramatik dalam tempoh lapan tahun terakhir. Pada 2016, MENDAKI melaporkan pendapatan sebanyak S$2.54 juta daripada yuran tuisyen. Bagaimanapun pada 2024, angka itu hanya S$308,933, sedikit meningkat daripada S$300,577 pada 2023.

MTP sudah diperluaskan kepada 100 pusat di merata Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Pendapatan ini mewakili bayaran yang dikumpul daripada pelajar di kelas MTP, dan ia hanya menjadi bahagian kecil daripada pembiayaan keseluruhan program yang kini banyak disokong oleh geran pemerintah dan EDF.

Penurunan lebih 80 peratus ini bukan tanda kelemahan, tetapi isyarat peralihan besar MENDAKI – daripada model berteraskan perkongsian kos kepada model amanah pendidikan untuk masyarakat.

Namun soalnya, apakah erti “Program Tuisyen” pada abad ke-21? Adakah ia sekadar kelas tambahan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, atau boleh diperluas menjadi ekosistem pembelajaran sepanjang hayat?

Iltizam Era Baharu

Sebenarnya, MENDAKI kini berada dalam kedudukan kewangan terbaik untuk memperluas erti ‘tuisyen’ kepada Program Tuisyen Masyarakat – pendekatan lebih menyeluruh yang turut merangkumi golongan dewasa dan profesional Melayu/Islam – dalam mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan menajamkan keahlian dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), data, dan keusahawanan.

Apatah lagi, berdasarkan Laporan Kewangan 2024, MENDAKI kukuh dengan jumlah tunai dan setara tunai sebanyak S$166,451,335 setakat 31 Disember 2024.

Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi cerminan sejauh mana sumber awam diterjemahkan menjadi peluang sebenar untuk anak-anak Melayu/Islam.

“Duit tuisyen ini sebenarnya duit masyarakat Melayu Singapura yang kita amanahkan kepada MENDAKI untuk dibelanjakan bagi membantu anggota masyarakat untuk meneruskan pendidikan.

“Berapa besar agaknya potensi orang Melayu yang tak tercapai selama ini hanya kerana kurang dana untuk pendidikan lebih baik?,” soal seorang kawan semasa kami duduk main dam di kedai kopi tempohari.

Dengan kedudukan kewangan yang stabil, MENDAKI mampu melahirkan bakat Melayu tempatan yang mahir, berkeupayaan tinggi dan mampu bersaing dalam ekonomi pasca COVID-19.

TTFS Tunjang Masyarakat

Namun lebih daripada itu, TTFS perlu terus menjadi tunjang pembiayaan pelajar Melayu di universiti tempatan. Dengan kos pengajian yang meningkat, setiap sen daripada subsidi ini harus disalurkan secara tepat kepada pelajar yang layak ke NUS, NTU, SMU, SUTD, SIT dan institusi pengajian tinggi (IHL) lain. Ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan dalam kepimpinan masa depan masyarakat.

ETF pula boleh menjadi tabung inovasi pendidikan Muslim Singapura. Selain membantu pelajar berpendapatan rendah, kedua-dua TTFS dan ETF harus menjadi pemangkin utama kepada budaya pembelajaran sepanjang hayat – supaya tiada orang Melayu dan Muslim di sini tertinggal dalam arus ekonomi baharu.
Penerima Dana Amanah Pendidikan (ETF) Rayhan bersama ibunya, Cik Hazlin. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Langkah MENDAKI menyepadukan kecerdasan buatan atau AI dalam sukatan pelajaran untuk MTP dan menaik taraf tutor menjadi mentor serta jurulatih adalah transformasi penting.

Program seperti Program Pembelajaran Lanjutan atau Advanced Learners Programme dan Homework Café memastikan pembelajaran dapat disesuaikan mengikut keupayaan setiap pelajar.

Kebangkitan Masyarakat

Dalam kerangka Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura), pembelajaran sepanjang hayat adalah teras utama pembangunan negara.

Bagi masyarakat Melayu/Islam, pendidikan perlu dilihat bukan sekadar tangga sosial, tetapi juga aset ekonomi dan pemacu pemerkasaan budaya ilmu.

Bayangkan tutor MENDAKI yang bukan sekadar mengajar matematik, tetapi membimbing belia dewasa memahami AI dan data; bayangkan kelas tuisyen yang melahirkan pemimpin masyarakat dan pembawa pembaharuan.
Skim Tuisyen Mendaki (MTS). (Gambar: MENDAKI)
Ini harus menjadi wawasan baharu MENDAKI – pertubuhan yang tidak sekadar menutup jurang pencapaian, tetapi menyemarakkan semangat ilmu tanpa sempadan.

Langkah menghapuskan yuran pendaftaran bukan sekadar mengurangkan beban keluarga, tetapi menegaskan bahawa pendidikan ialah amanah bersama.

Apa yang dilihat sejauh ini ialah, MENDAKI telah menunjukkan keupayaan kewangan dan ketelusan melalui pengurusan dana EDF, ETF dan TTFS yang berhemat.

Cabaran berikutnya adalah memastikan setiap dolar dana itu diterjemahkan menjadi nilai manusia, peluang pekerjaan dan kekuatan masyarakat.

Dari pelajar sekolah rendah hingga pemimpin korporat – dari kelas tuisyen ke ruang inovasi digital dan peningkatan hidup – inilah masa MENDAKI memperluas erti ‘Tuisyen’ menjadi perjalanan ilmu yang tidak berpenghujung.

MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita