Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Mencari Seni Bina Kepimpinan Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Mencari Seni Bina Kepimpinan Zaqy
Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri) sudah memainkan peranan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam selama lebih dua bulan. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Diterbitkan : 29 Oct 2026 08:18PM
Temasek Takeaways: Seeking Zaqy’s Leadership Architecture
  • Mr Zaqy Mohamad has served as Acting Minister-in-charge of Muslim Affairs since July; after more than two months, his leadership vision is still taking shape and it is too early to assess it.
  • He has highlighted Iman, Ilmu, Ihsan and Identiti (4I), met mosque leaders and community organisations, encouraged innovation including AI, and continued to promote M³+.
  • The article notes that previous leaders built MENDAKI, lifelong learning, M³ and M³+, while the community now faces greater educational opportunities but continues to experience economic vulnerability.
  • Zaqy’s challenge is to turn 4I into an action framework that connects institutions, professionals and the community, so that progress addresses job changes caused by AI, supports vulnerable groups and opens up shared opportunities.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih dua bulan sudah berlalu sejak Encik Zaqy Mohamad mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada 20 Julai lalu.

Dalam politik, 100 hari pertama sering menjadi semacam tanda aras awal. Tentunya tempoh itu terlalu singkat untuk menilai kejayaan atau kegagalan seseorang pemimpin, tetapi cukup untuk masyarakat mula bertanya: apakah bentuk kepimpinan yang sedang muncul dan, lebih penting lagi, ke manakah masyarakat mahu dibawanya?

Ada yang membandingkan gaya Encik Zaqy dengan pendahulunya. Jika pemimpin sebelumnya dilihat selesa bersama masyarakat di akar umbi, Encik Zaqy pula dilihat sesetengah pihak sebagai lebih “korporat”.

Malah, ada yang mengatakan beliau kelihatan lebih “MENDAKI” daripada “MUIS”, mungkin kerana pengalamannya sebagai Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI sejak 2018 sebelum menjadi pengerusinya pada Mei 2025.

Perbandingan ini lebih membuat kita senyum sumbing.

Seorang pemimpin tidak seharusnya dinilai daripada berapa kerap beliau berada di pasar, masjid ataupun bilik mesyuarat.
Related article image
Encik Zaqy Mohamad berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI sejak 2018 sebelum menjadi pengerusinya pada Mei 2025. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Soalan lebih penting ialah: apakah yang dibawanya kepada kepimpinan dan apakah perubahan yang mahu dihasilkannya?

PEMIMPIN DAN KEPIMPINANNYA

Setiap penyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam bukan sahaja datang daripada latar belakang dan pengalaman berbeza, tetapi juga gagasan yang mencerminkan tuntutan zamannya.

Dr Ahmad Mattar, yang pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1977, menjadi tokoh penting dalam pembentukan Yayasan MENDAKI pada 1982 ketika pencapaian pendidikan menjadi antara cabaran terbesar masyarakat Melayu/Islam.
Related article image
Dr Ahmad Mattar. (Gambar: Facebook/Mattar.Alia)
Encik Abdullah Tarmugi, yang mengambil alih pada 1993, pula menjadi antara perancang dan penggerak utama gerakan Ekonomi Berteras Ilmu (KBE) pada penghujung 1990-an, mendorong masyarakat menguasai ilmu dan kepakaran serta membudayakan pembelajaran agar tidak sekadar menjadi penonton kepada ekonomi baharu.
Related article image
Encik Abdullah Tarmugi. (Gambar fail: Mediacorp)
Dr Yaacob Ibrahim meneraju kepimpinan pada 2002 dan meneruskan dorongan itu dengan penekanan kepada kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat ketika perubahan teknologi dan ekonomi semakin pesat.

Di bawah kepimpinannya, Kelab MENDAKI, Praxis dan MENDAKI Sense ditubuhkan bagi membangunkan daya pemikiran kritis karyawan muda serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran masyarakat.

Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) pula menjadi wadah menghimpunkan pemimpin dan penggerak masyarakat untuk membincangkan cabaran serta arah pembangunan masyarakat Melayu/Islam.
Related article image
Dr Yaacob Ibrahim. (Gambar fail: Mediacorp)
Penggantinya, Encik Masagos Zulkifli, pada 2018, memperluas jaringan kerjasama menerusi pembentukan M Kuasa Tiga (M³), menyatukan kekuatan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), MENDAKI dan MESRA, pendukung unit kegiatan Melayu di balai rakyat dan kelab masyarakat di bawah Persatuan Rakyat (PA).
Related article image
Encik Masagos Zulkifli. (Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)
Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim pula menjadi Pemangku Menteri pada 2025 dan mengakarumbikan lagi penggemblengan masyarakat menerusi M³+, yang memperluas jaringan dengan penglibatan lebih banyak pertubuhan Melayu/Islam (MMO), pertubuhan India/Islam (IMO) serta kumpulan tidak rasmi, sekali gus menggembleng ekosistem masyarakat yang lebih luas.
Related article image
Dr Faishal Ibrahim. (Gambar fail: Mediacorp)
M³+ merupakan teras Kepimpinan Kolektif yang menyuburkan kemuafakatan masyarakat.

Meski tempoh kepimpinannya paling singkat, kemesraan beliau membuat kehilangannya begitu terasa.

Kini Encik Zaqy, yang menggalas tugas sebagai Pemangku Menteri bermula Julai 2026, belum secara lantang menawarkan suatu gagasan kepimpinan yang lengkap tetapi bayangannya mula kelihatan menerusi empat pegangan yang pernah disuarakan beliau; Ilmu, Iman, Ihsan dan Identiti.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad. (Gambar fail: Mediacorp)
Ada kesegaran pada 4I ini, cuma setiap gagasan kepimpinan memerlukan tarikan magnetismenya sendiri.

MENDAKI lahir daripada cabaran pendidikan. KBE menjadi obor mempersiap masyarakat menghadapi perubahan ekonomi. MENDAKI Sense mendukung pembelajaran sepanjang hayat. M³ menyatukan kekuatan institusi dan M³+ meluaskan penggemblengan masyarakat.

Apakah pula tarikan sembrani 4I?

Satu tantangan nyata bagi Encik Zaqy dalam era kepimpinannya ialah kecerdasan buatan (AI), yang semakin mengubah pekerjaan, kemahiran yang diperlukan dan cara ilmu diperoleh. Bagi masyarakat Melayu/Islam, persoalannya bukan sekadar sejauh mana AI dapat dimanfaatkan, tetapi sama ada masyarakat cukup anjal dan bersedia menghadapi perubahan dan jurang baharu yang mungkin tercipta.

Dalam konteks ini, apakah Ilmu mampu mempersiap masyarakat menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang dipacu AI?

Bagaimana pula Iman menjadi kompas, Ihsan memastikan mereka yang rentan tidak terpinggir dan Identiti terus diperkukuh dalam dunia yang semakin digital dan terbuka?

Apakah kerangka pembangunan yang menghubungkan Iman, Ilmu, Ihsan dan Identiti kepada perubahan yang mahu dilihat dalam kehidupan masyarakat?

Di sinilah pencarian terhadap seni bina kepimpinan Encik Zaqy bermula.

MEMASANG PASAK

Setiap pemimpin tentunya berazam menonjolkan daya kepimpinan tersendiri dan mempertingkat pencapaian serta kemajuan masyarakat daripada apa yang telah dirintis pemimpin terdahulu, tanpa menjejas kesinambungan kepemimpinan.

Ia satu realiti dalam proses pemasangan pasak pembangunan. Tiada siapa bermula di tanah datar.

Yang meneraju harus sedar kepercayaan adalah tiang seri yang tidak boleh digugah-gugat. Rahsia pemasangan pasak yang utuh, kukuh dan mantap adalah sikap pemimpin yang harus membumi dan sedia singsing lengan.

Usaha pembangunan boleh dijayakan dengan muafakat, sepakat mengenali dan menerima rupa bentuk yang dimahukan, membina kerangka dengan kudrat dan keyakinan serta menjadikan keberhasilan asas kerjasama ini.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat bagi orang Melayu, jatinya adalah kekitaan, bukan keakuan.

Masyarakat yang diwarisi Encik Zaqy juga bukan lagi masyarakat Melayu/Islam era 1965 atau 2000.

Perubahan cara hidup dan jatuh bangun masyarakat kita hari ini nampak nyata.

Banci Penduduk 2020 menunjukkan dalam kalangan penduduk Melayu berusia 25 tahun ke atas, 10.8 peratus mempunyai kelayakan universiti, hampir dua kali ganda berbanding 5.5 peratus pada 2010.
Related article image
Banci Penduduk 2020 menunjukkan dalam kalangan penduduk Melayu berusia 25 tahun ke atas, 10.8 peratus mempunyai kelayakan universiti. (Gambar fail: Lionel Lin)
Dapatan Tinjauan Umum Isi Rumah (GHS) 2025 memberikan gambaran lebih memberangsangkan apabila kadarnya meningkat lagi kepada 13.3 peratus.

Ini pencapaian yang harus diraikan. Cuma, kemajuan masyarakat tidak boleh dibaca daripada satu angka sahaja.

Banci 2020 turut menunjukkan 16 peratus isi rumah Melayu tinggal di flat HDB satu dan dua bilik, berbanding 8.7 peratus pada 2010.
Related article image
Blok-blok flat HDB di Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Tentunya jenis kediaman sahaja tidak menceritakan seluruh keadaan ekonomi sesebuah keluarga. Begitu juga kelayakan universiti sahaja tidak menggambarkan kecemerlangan tuntas sesebuah masyarakat.

Cuma, apabila kedua-duanya dibaca bersama, satu persoalan sukar dielakkan: sejauh manakah kemajuan yang kita raikan mampu memberdayakan mereka yang rentan untuk keluar daripada kepompong musibah?

Cabaran kepimpinan hari ini bukan lagi semata-mata bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat “mengejar ketertinggalan”, tetapi bagaimana kemajuan yang dicapai membuka lebih banyak laluan untuk anggota masyarakat bergerak bersama.

LANGKAH KEMANDIRIAN

Ukuran kejayaan tidak boleh berhenti pada jumlah program, bantuan atau penyertaan.

Semua itu penting, tetapi ia hanyalah ikhtiar. Yang lebih penting ialah hasil.

Berapa ramai keluarga dapat bergerak daripada kerentanan kepada kestabilan?

Berapa ramai anak keluarga berpendapatan rendah menembusi pendidikan tinggi dan pekerjaan bernilai tinggi?

Berapa ramai daripada kelas pertengahan Melayu/Islam bergerak lebih jauh dalam kepimpinan, keusahawanan dan penciptaan peluang?

Seperkara lagi, berapa ramai yang telah berjaya kemudian membuka pintu kepada mereka yang datang di belakang?

Apakah kita mampu membangunkan modal sosial dalam masyarakat Melayu/Islam – jaringan kepercayaan, hubungan, kepakaran dan kesediaan untuk saling membuka pintu – agar kejayaan seseorang turut menjadi jambatan kepada kejayaan orang lain?

Nilai guanxi sering dikaitkan dengan kekuatan jaringan sedemikian dalam masyarakat Cina. Persoalannya bukan sama ada kita perlu menirunya, tetapi sama ada semangat kekitaan dalam masyarakat Melayu/Islam mampu digerakkan menjadi modal sosial yang sama berkesan untuk maju bersama-sama.

MUIS membawa kekuatan zakat dan institusi agama. MENDAKI membawa pendidikan, kemahiran dan jaringan profesional. Masjid menjadi akar mengukuh ikatan masyarakat. Badan Melayu/Islam membawa kepakaran. Pemerintah menyediakan dasar dan sumber. Kelas pertengahan Melayu/Islam yang semakin besar pula membawa modal masyarakat.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad semasa berucap di majlis sambutan ulang tahun ke-200 Masjid Bencoolen pada 18 Oktober 2026. (Gambar: MUIS)
Seorang doktor, jurutera, peguam, pegawai bank, pakar teknologi, akademik atau usahawan Melayu yang berjaya bukan sekadar satu lagi angka kejayaan. Mereka juga boleh menjadi jambatan melalui kepakaran, pengalaman dan jaringan yang membuka peluang kepada generasi seterusnya. Merekalah nadi dan sumber utama nilai guanxi ini.

Di sinilah M³+ mempunyai potensi lebih besar daripada sekadar jenama atau payung kepada lebih banyak pertubuhan.

Teringat peribahasa lama, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Cabaran sebenarnya ialah menghubungkan kekuatan yang sudah ada sehingga terbentuk laluan daripada bantuan kepada kestabilan, pendidikan kepada kerjaya, kerjaya kepada kepimpinan dan keusahawanan, dan akhirnya kejayaan individu kepada penciptaan peluang untuk orang lain.

EMPAT ‘I’ DAN KERANGKA PELAN INDUK

Sejauh ini, Encik Zaqy telah bertemu pemimpin masjid, badan masyarakat dan pelbagai rakan sektor agama.

Beliau menggalakkan penggunaan inovasi termasuk kecerdasan buatan (AI), sementara M³+ terus diberikan dorongan.
Related article image
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam program tuisyen MENDAKI menunjukkan kesan positif terhadap pembelajaran pelajar. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Pada 30 Ogos lalu, beliau menggariskan Iman, Ilmu, Ihsan dan Identiti (4I) dalam membina masyarakat Melayu/Islam yang yakin, berdaya tahan dan bersatu.

Semua ini memberikan petunjuk awal seorang menteri yang sedang mengukuhkan jejak kepimpinan, tetapi jejak belum tentu membuka laluan jalan.

Kesibukan menghadiri majlis masyarakat tidak semestinya memahat visi. Banyaknya program dilancar tidak dengan sendirinya membentuk strategi.

MENCARI SENI BINA

Latar belakang Encik Zaqy dalam bidang kejuruteraan, pembangunan tenaga manusia dan pertahanan mungkin memberikan kelebihan tersendiri untuk melihat bagaimana pelbagai bahagian dalam masyarakat kita dapat disusun, disenyawa, dibangun dan dibentuk kerana potensi tetap potensi sehingga ia diterjemahkan menjadi sesuatu yang berharga.

Sememangnya tempoh 100 hari pertama menteri baharu kita terlalu singkat untuk dinilai pencapaiannya, apalagi mengetahui arah dan kecondongan kepimpinan beliau.

Malah, adalah terlalu awal untuk menuntut jawapan, namun begitu, kini adalah masa terbaik untuk mengemukakan soalan.

Yang jelas, 4I telah diperkenalkan.
Related article image
Dalam usaha menggapai kecemerlangan bersama sebagai sebuah masyarakat, Encik Zaqy berharap anak-anak Melayu/Islam dapat terus memegang teguh empat nilai penting, iaitu iman, ilmu, ihsan dan identiti. (Gambar: M³ ECO)
Apakah ia mampu menjadi ukuran utama baginya dalam membangunkan kerangka kepimpinan?

Lebih penting lagi, mampukah kerangka itu mengobar masyarakat untuk memacu lebih jauh dan terbang lebih tinggi kerana akhirnya itulah ukuran sebuah kepimpinan?

Nah... di sinilah seni bina kepimpinan Encik Zaqy akan diuji.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita