Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Memori Kolektif Bukan Setakat Kenangan Lalu

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Memori Kolektif Bukan Setakat Kenangan Lalu
Memori kolektif merujuk kepada himpunan ingatan, pengalaman, amalan, nilai dan simbol yang dikongsi bersama oleh sesebuah masyarakat. (Gambar: Instagram/pariamanmasakanpadang; Facebook/Linaco; BERITA Mediacorp/Hakim Irwan; Instagram/mymotac)
SINGAPURA: Sebaik berita tentang penutupan Warong Nasi Pariaman tersebar luas kira-kira dua minggu lalu, orang berbondong-bondong datang untuk merasai juadahnya buat kali terakhir.

Seawal jam 10.00 pagi, pelanggan sudah berdedai dan beratur panjang, ada yang sanggup menunggu berjam-jam demi sepinggan nasi padang yang penuh makna. Gambar dan video suasana itu pantas tersebar di media sosial, mencerminkan rasa kehilangan yang dikongsi ramai.
Bak kata seorang rakan, “Warong Nasi Pariaman bukan setakat tempat makan. Ia tempat kami duduk bersembang dan sama-sama membesar dengannya.” Apa yang dinyatakan beliau itu memang sukar dinafikan.

Hari ini, 31 Januari, Warong Nasi Pariaman melabuhkan tirainya.

Hanya masa akan menentukan sekiranya perniagaan nasi warung ini akan kembali semula.

Fenomena ini memberi isyarat jelas bahawa Warong Nasi Pariaman bukan sekadar sebuah perniagaan makanan. Ia adalah sebahagian daripada memori kolektif masyarakat, nostalgia yang terbina melalui pengalaman bersama, rasa yang dikenali, dan ruang sosial yang menjadi saksi perjalanan hidup pelbagai generasi.

Di sebaliknya pula, warung itu menyimpan sejuta kisah manusia yang mendatanginya.

JUANG TRADISI

Memori kolektif merujuk kepada himpunan ingatan, pengalaman, amalan, nilai dan simbol yang dikongsi bersama oleh sesebuah masyarakat. Ia bukan ingatan peribadi semata-mata, tetapi ingatan bersama yang dibentuk dan dihidupkan dalam ruang sosial.

Ahli falsafah dan tokoh sosiologi Perancis, Maurice Halbwachs (1877-1945), pernah merumuskan “memori kolektif pada asasnya ialah pembinaan semula masa lalu berdasarkan keperluan masa kini”. Ertinya, memori hidup dan berfungsi dalam konteks semasa, membentuk identiti bersama.
Related article image
Ahli falsafah dan tokoh sosiologi Perancis, Maurice Halbwachs (1877-1945). (Gambar: Wikipedia)
Dalam dunia yang semakin pantas berubah, memori kolektif sering terhakis tanpa kita sedari. Modenisasi, globalisasi, sekularisme dan tekanan ekonomi mendorong kita mengejar impian, kecekapan dan kejayaan bersifat kebendaan serta perkara yang nampak, sambil mengenepikan yang dianggap ‘lapuk’, ‘leceh’ atau dirasakan tidak mendatangkan manfaat.

Walhal, pembangunan sesebuah masyarakat bertunjangkan peradaban dan kebudayaan.

Sememangnya kemajuan bersifat kebendaan atau ‘material’ itu penting, tetapi tanpa akar budaya, nilai diri seseorang menjadi tidak bermakna, hitam pekat bak bebayang.

MENYEGARKAN KEMELAYUAN

Hari ini kita menyaksikan banyak amalan tradisi kian lenyap. Malam berinai semakin jarang diraikan. Majlis merisik menjadi ringkas tanpa lagi berbasa-basi, berkias dengan pantun dan seloka yang suatu ketika dahulu mengikat hubungan kekeluargaan.

Dalam dunia permainan tradisional, gasing dan jong semakin asing di mata generasi muda. Dalam soal makanan pula, kebangkitan makanan ‘fusion’ hasil ‘masakan campur aduk’ menyaksikan penghargaan terhadap nasi lemak, lontong, tapai, cakar ayam dan tepung gomak semakin pudar.
Dalam seni hiburan, Dondang Sayang semakin luput. Baik yang muda atau tua dalam kalangan kita sekarang tidak lagi mampu berpantun secara bersahaja.

Setiap kehilangan ini mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara berasingan, namun apabila digabungkan, ia membentuk gambaran besar tentang kelunturan memori kolektif.

Inilah sebabnya memori kolektif bukan usaha melawan kemodenan. Ia adalah usaha menyesuaikan tradisi dengan zaman tanpa mengorbankan nilai dan resam hidup.

DUKUNG KESINAMBUNGAN

Individu yang memahami akar budayanya lebih yakin berinteraksi dalam dunia berbilang budaya dan lebih stabil dari segi jati diri. Tanpa asas ini, generasi muda mungkin berjaya dari segi akademik dan kerjaya, tetapi rapuh dari segi identiti.

Yang nyata, usaha memelihara memori kolektif tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Ibu bapa, pendidik, budayawan, seniman, pertubuhan masyarakat, pembuat dasar dan pemerintah perlu gembleng dan memainkan peranan bersama.

Apa yang harus kita fahami ialah, nilai hidup sesebuah masyarakat mesti sentiasa diperkayakan dengan kehidupan berbudaya, dan ini harus benar-benar dihayati, bukan sekadar dipapar di muzium atau dipelajari secara teori.

Budaya yang hidup ialah budaya yang dirasai dengan seluruh pancaindera – dilihat, didengar, dirasa, disentuh serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

Inilah yang membentuk keterikatan emosi dan kesedaran identiti yang mendalam dalam diri seseorang sejak kecil hingga dewasa. Tanpa pengalaman budaya yang menyeluruh ini, warisan akan kekal sebagai maklumat semata-mata, bukan sesuatu yang dijiwai masyarakat.

Oleh itu, usaha melestarikan budaya tidak boleh terhad kepada pendidikan formal semata-mata, tetapi perlu merangkumi pemerkasaan amalan hidup tradisi dalam ruang sosial moden.

Dari busana ke permainan rakyat, dari adat perkahwinan ke seni masakan, setiap unsur budaya perlu dihidupkan agar terus relevan dan bermakna kepada generasi hari ini dan akan datang.
Ramai tidak perasan, inilah sebenarnya yang ditonjolkan Warong Nasi Pariaman.

MEMBANGUN PELAPIS

Dalam kesempatan ini, kita harus berani bertanya: bagaimana kesinambungan warisan ini dapat dipastikan?

Siapakah pendeta seterusnya selepas Cikgu Ariff Ahmad, budayawan selepas Nongchik Gani, sasterawan selepas Suratman Markasan atau pereka tari selepas Som Said? Siapakah tokoh bangsawan selepas Hamid Cantik, jaguh pantun selepas Mohd Ashik, tokoh drama selepas Nadiputra, dan pelawak berakar budaya seperti Husin Saaban?
Soalan ini bukan tentang individu semata-mata, tetapi tentang sistem sokongan yang melahirkan mereka.

Natijahnya, jika kita gagal membina pelapis hari ini, maka yang akan pupus esok bukan sekadar tokoh-tokoh budaya, tetapi keseluruhan roh peradaban yang membentuk jati diri masyarakat Melayu Singapura.

Lebih buruk lagi, apabila ruang pembudayaan tidak lagi diperkukuh, kekosongan kelak akan diisi oleh arus luar yang lebih kuat, sekali gus mempercepatkan hakisan identiti Melayu Singapura.

CABARAN

Dalam konteks ruang fizikal pula, kita perlu bijak memilih apa yang wajar dipelihara sebagai memori kolektif.

Contoh baik termasuk usaha bekas pelajar Sekolah Menengah Sang Nila Utama yang mengabadikan sejarah sekolah mereka melalui Sang Nila Utama Road.
Related article image
Sekolah Menengah Sang Nila Utama. (Gambar: MOE Heritage Centre)
Begitu juga Bidadari yang dihidupkan kembali sebagai estet perumahan HDB, mengiktiraf sejarah kawasan walaupun kampung asal telah tiada.

Selain mengadakan nama jalan, seperti Aljunied Crescent dan Bugis Street, mungkin lebih molek adanya bangunan awam yang mengabadikan sumbangan individu dan suku kaum di Singapura.
Related article image
Papan tanda Aljunied Crescent. (Gambar: Laman web SRX)
Sememangnya sukar untuk kita menyaksikan bagaimana Perpustakaan Negara lama di Stamford Road mahupun Panggung Negara di kaki bukit Fort Canning, yang menyimpan ribuan kenangan rakyat Singapura, dirobohkan tanpa sisa demi pembinaan jalan raya.
Related article image
Perpustakaan Negara lama di Stamford Road. (Gambar: Facebook/Daily Quote Singapore)
Sememangnya, kita tidak mampu mempertahankan semua warisan fizikal. Namun kita boleh memilih untuk menandai, mengabadikan dan menghormati apa yang membentuk identiti kita.

Dalam semangat itu, Warong Nasi Pariaman wajar dikenang sebagai sebahagian memori kolektif masyarakat Melayu.
Related article image
Warong Nasi Pariaman, yang terletak di Kandahar St. (Gambar: Instagram/pariamanmasakanpadang)
Mungkin ia akan dibuka semula di lokasi lain, membawa rasa istimewanya kepada generasi baharu. Namun pengalaman menikmati nasi padang di pintu masuk Kandahar Street tidak mungkin dapat direka ulang.

Satu langkah simbolik yang wajar dipertimbangkan ialah mengabadikan bangunan itu dengan nama “Pariaman” – setidak-tidaknya sebagai penanda bahawa di situ pernah berdiri sebuah institusi makanan yang menjadi denyut kehidupan masyarakat Melayu Singapura.

Akhirnya, tanpa memori kolektif, kita berisiko menjadi seperti yang diungkapkan M. Nasir dalam lagunya, Rupa Tanpa Wajah, wujud tetapi tanpa identiti, atau seperti kata sasterawan, A. Samad Said, menerusi tajuk kumpulan puisinya, Balada Hilang Peta, bergerak tanpa arah.
Related article image
Kumpulan puisi oleh A. Samad Said, menerusi tajuk Balada Hilang Peta. (Gambar: Wikipedia)
Memori kolektif bukan sekadar kenangan lalu. Ia adalah asas kepada siapa kita hari ini dan kompas kepada masa depan yang ingin kita bina.

Inilah perjuangan kita sebenarnya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita