Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Masa Untuk Ikat Perut

Hari Raya tahun ini ada kelainan. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, Syawal tahun ini, menurut Chairul fahmy Hussaini, disambut dalam suasana penuh debar.

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Masa Untuk Ikat Perut

Harga petrol dan diesel di stesen-stesen minyak serata Singapura naik mendadak akibat perang di Timur Tengah. (Gambar: CNA/Lan Yu; iStock/Konstantin Aksenov; CAN/Jeremy Long; Pembaca CNA)

SINGAPURA: Hari Raya tahun ini ada kelainan. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, Syawal tahun ini, menurut Chairul fahmy Hussaini, disambut dalam suasana penuh debar.

Mana tidaknya, ketika takbir berkumandang, Timur Tengah sedang berperang.

Peperangan ini bukan sahaja melibatkan perebutan kuasa dan pengaruh, tetapi juga sumber minyak dan laluan selat.

Keupayaan Iran dalam menghadang laluan kapal dagang di Selat Hormuz telah mengakibatkan harga minyak sedunia melonjak. Harga minyak mentah Brent malah telah melonjak setinggi 70 peratus sejak pertempuran semakin hebat pada 28 Februari lalu.

Singapura pun terasa padahnya.
Related article image
Harga bahan api yang dilihat di stesen minyak Shell di Punggol, pada 30 Mac 2026. (Gambar: Pembaca CNA)
Harga petrol dan diesel di stesen-stesen minyak serata negara naik mendadak.

Harga petrol kini melebihi S$3.40 seliter dan diesel pula lebih S$4 seliter, membuat ramai pemilik kenderaan ‘terbegik’.

“Terketar juga tangan bila membayar selepas mengepam minyak tempoh hari,” kata seorang kawan yang memandu kereta mewah BMW siri 5.
Itulah hakikatnya.

Apabila harga minyak semakin mahal, harga barangan, apalagi bahan makanan harian, turut merangkak naik.

Keadaan ini menyerlahkan keadaan Singapura yang amat bergantung kepada pasaran tenaga global. Sebagai negara tanpa sumber asli, sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan seperti sekatan laluan yang berlaku di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada kos tenaga dan kos sara hidup.
Related article image
Sebuah peta yang menunjukkan Selat Hormuz. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Lebih membimbangkan, kenaikan ini berpotensi mencetuskan inflasi berpanjangan serta menjejaskan rantaian bekalan makanan dan barangan asas.

BILA PEMIMPIN BERSUARA

Bukan rakyat biasa rasa resah, pemimpin negara terpaksa angkat suara.

Pada 7 April lalu, negara menyaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong; Menteri Negara Kanan (Kewangan) Jeffrey Siow serta Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyampaikan tiga Kenyataan Menteri berasingan semasa Parlimen bersidang, yang memberi tumpuan kepada kesan konflik Timur Tengah terhadap Singapura.
Related article image
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berucap di Parlimen pada 7 April 2026. (Gambar: Mediacorp)
Related article image
Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan Kewangan, Jeffrey Siow berucap di Parlimen pada 7 April 2026. (Gambar: Mediacorp)
Dalam Kenyataan Menteri itu, rakyat diberi jaminan negara mempunyai simpanan bahan bakar dan bekalan makanan yang mencukupi untuk menghadapi krisis ini cuma mereka perlu bersedia dengan kemungkinan berdepan harga lebih tinggi dan pilihan barangan lebih terbatas.

Di Parlimen, diumumkan rakyat Singapura akan menerima baucar CDC S$500 lebih awal, iaitu pada Jun 2026, berbanding Januari 2027, dan sah hingga 31 Disember tahun tersebut.
Related article image
Papan tanda penerimaan Baucar CDC dipamerkan di sebuah pasar basah di Punggol Plaza pada 2 Januari 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Selain itu, Bayaran Khas Kos Sara Hidup juga dinaikkan S$200 bagi rakyat Singapura yang layak – mereka yang berpendapatan sehingga S$100,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Kira-kira 2.4 juta rakyat Singapura akan menerima S$400 hingga S$600 secara tunai pada September 2026.

Langkah-langkah ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan.

Lebih membimbangkan, Encik Shanmugam berkata harga mungkin kekal tinggi walaupun selepas perang tamat.
Related article image
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam di parlimen pada 7 April 2026. (Gambar: Mediacorp)
Kata-kata beliau harus kita ambil serius. Ini bukan sekadar tekanan sementara, tetapi mungkin norma baharu yang perlu kita harungi.

Encik Gan turut meminta semua pihak – pemerintah, perniagaan dan jelata – berganding bahu menjimatkan tenaga. Semua kemudahan pemerintah telah diarahkan mengamalkan langkah penjimatan tenaga.

Malah, sektor awam telah mula mematuhi arahan ini, termasuk mengurangkan penggunaan alat hawa dingin, mengoptimumkan lampu serta menggalakkan amalan kerja lebih cekap tenaga. Usaha ini menunjukkan bahawa penjimatan bukan sekadar saranan kepada rakyat, tetapi tanggungjawab bersama.

Bagi isi rumah, saranannya mudah: guna kipas, kurangkan alat hawa dingin, naik pengangkutan awam dan kurangkan memandu. Bagi peniaga pula, manfaatkan skim yang ada untuk melabur dalam peralatan lebih cekap tenaga.
Related article image
Menteri bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Tan See Leng bercakap kepada media di terminal SLNG pada 20 Mac 2026. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Seperti yang dikatakan Menteri Tan See Leng dua minggu lalu, kita perlu bersiap sedia menghadapi perjalanan yang tidak mulus di hadapan.

APA YANG KITA BOLEH BUAT

Di peringkat nasional, langkah segera sudah diambil.

FairPrice Group pada 8 April mengumumkan pembekuan harga 100 barangan keperluan harian bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat. Pembekuan ini berkuat kuasa dari 9 April hingga 31 Mei, melibatkan beras, minyak masak, telur, daging, ayam, Milo, susu dan detergen.
Related article image
Seorang wanita di luar sebuah pasar raya NTUC FairPrice. (Gambar fail: TODAY)
Lebih sembilan daripada 10 pelanggan mereka, termasuk isi rumah berpendapatan rendah dan pemegang kad CHAS, membeli barangan dalam senarai ini. Ini satu langkah yang wajar dipuji.

Namun, bantuan pemerintah dan syarikat sahaja tidak memadai. Kita sendiri perlu berubah.

Ramai rakyat Singapura kini semakin kerap ke Johor Bahru untuk membeli keperluan harian. Walaupun Ringgit mengukuh dan perjalanan lebih mahal, ramai masih memilih ke sana kerana kos sara hidup di Singapura yang tinggi. Pihak berkuasa Malaysia pula memperketatkan pemeriksaan bagi mengelakkan barangan bersubsidi dibawa keluar.

Jadi suka tak suka, kita kena mula ikat perut. Berhemah bila berbelanja. Bak kata orang dulu-dulu, bijak belanja jimat duit.

Dengan Syawal berbaki kira-kira 10 hari, ramai masih merancang Rumah Terbuka.

Bagi yang belum menempah katering, pilih menu lebih sederhana tanpa menjejaskan kemeriahan. Cuma, janganlah sampai membatalkan tempahan kerana ia menjejas pendapatan peniaga kecil kita.
Related article image
Hidangan bufet yang sebelum ini menjadi kebiasaan di rumah terbuka kini semakin digantikan dengan set makanan yang lebih ringkas. (Gambar: Hardy Hazman)
Memasak sendiri juga pilihan baik – tidak perlu berlebihan hingga membazir. Hakikatnya, Hari Raya tentang silaturahim; jamuan sekadar pelengkap.

Di pasar raya, utamakan jenama sendiri yang lebih murah. Pilih daging beku dan sayur jenama biasa. Kurangkan juga penggunaan air, gas dan peralatan elektrik.

Dalam keadaan dunia yang sentiasa ‘meragam’, kita perlu belajar bukan sahaja cara berjimat tetapi juga untuk tidak terlalu cerewet.

Malah, kalau biasa pesan prata telur, mungkin kali ini cuba prata kosong – lebih jimat dan mungkin juga lebih sihat!

Suka berbelanja dalam talian, tonton wayang atau makan di luar? Kurangkan. Rajin-rajinlah memasak di rumah – banyak panduan tersedia di media sosial dan YouTube.

Hakikatnya, orang jarang perasan apa kita pakai – asalkan senonoh, selesa dan kemas.

Ingat, bila kita jimat, kita untung kerana duit itu boleh beranak pinak.

Ramah, Meriah, Tabah

Hari Raya mengajar kita erti kesyukuran. Mungkin inilah masanya kita mengingati semula pelajaran itu dalam konteks lebih luas.

Kita tidak boleh kawal harga minyak dunia atau hentikan peperangan di Timur Tengah, tetapi kita boleh kawal cara berbelanja, menggunakan tenaga dan menyesuaikan diri.

Singapura bukan kali pertama menghadapi krisis. Kita pernah mengharungi pelbagai badai dengan baik. Kuncinya? Perpaduan, kekentalan jiwa dan ketahanan rakyat.

Persoalannya bukan lagi sama ada kita akan terkesan, tetapi sejauh mana kita bersedia. Inilah masanya untuk sedar bahawa ini benar-benar masa untuk ikat perut – bukan kerana kita tiada pilihan, tetapi kerana kita mahu lebih bersedia.
Related article image
Orang ramai boleh memainkan peranan dalam menangani kesan perang di Timur Tengah dengan mengawal cara berbelanja masing-masing. (Gambar: Bernama)
Maka pilihannya jelas: terus mengeluh atau berubah menjadi lebih tangkas. Ikat perut hari ini bukan sekadar berjimat, tetapi pelaburan dalam ketahanan diri.

Dalam dunia tidak menentu ini, yang mampu menyesuaikan diri bukan sahaja bertahan – malah lebih bersedia untuk bangkit.

Selamat Hari Raya. Semoga Syawal ini kita kekal ramah, meriah dan tabah.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita