OLEH-OLEH TEMASEK: Lain Padang Lain Belalang
Para penyokong bola sepak menonton perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 di Hab Tampines Kita (OTH). (Gambar: Facebook/Tampines West CSN)
This audio is generated by an AI tool.
Dari soal pasukan kepada kebolehan pemain. Yang sini ramal pasukan mana mampu jadi juara, yang situ sibuk persoal keputusan pengadil, yang sana tak habis komen pasal kenapa pemain dah tua masih diketengahkan, yang dektu asyik bercakap pasal VAR tak betul… mabuk! Chairul Fahmy Hussaini menelusuri demam Piala Dunia FIFA 2026.
Kesemua ini yang mengusik jiwa, sehingga kita terdorong mencari-cari klip video di YouTube untuk ditonton insiden yang diperkatakan.
Memang benar kata pepatah, lain padang lain belalang; lain kejohanan, lain gelagatnya.
CERITA DALAM PADANG
Di sebalik senda gurau pengulas kedai kopi ini, ada satu kecenderungan psikologi yang amat menarik untuk diperhatikan. Ramai dalam kalangan kita yang secara santai mahupun serius mula menunjukkan sokongan padu kepada pasukan kerdil atau 'underdogs'.
Apabila pasukan seperti Cabo Verde, Curacao, Uzbekistan, Jordan, New Zealand dan DR Congo turun bertarung dengan sepenuh jiwa raga, ada semacam sorakan kolektif yang mengharapkan sang kerdil mampu menumbangkan si gergasi.
Keterujaan melihat pasukan pilihan tumbang di tangan pasukan yang tidak diendahkan sememangnya memberikan satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
CERITA LUAR PADANG
Menyentuh tentang temasya teragung ini, saya agak geli hati apabila mendengar perbualan di meja sebelah baru-baru ini. Ada yang bertanya: "Berapa sangatlah yang boleh diperoleh oleh seorang pemain daripada kelab kerdil dan tidak dikenali apabila beraksi di pentas Piala Dunia ini?"
Wang sebanyak ini sememangnya mampu mengubah nasib kelab kecil yang selalunya tercungap-cungap nak hidup.
CERITA PASAL KITA
Yang sebenarnya, pengajaran terbesar Piala Dunia kali ini bukanlah terletak pada limpahan wang. Nilai paling mahal untuk kita hadam di Singapura adalah bagaimana negara-negara seperti Uzbekistan, Cabo Verde dan Curacao mampu merintis jalan, memecah tembok kelayakan dan berdiri sama tinggi dengan kuasa-kuasa bola sepak yang jauh lebih mapan.
Cabo Verde, kepulauan kecil di luar pantai Afrika punya populasi sekitar 600,000 orang, manakala Curacao, di kepulauan Caribbean, didiami 150,000 penduduk.
Kedua-duanya membuktikan saiz geografi dan jumlah penduduk bukanlah alasan untuk terus tercicir.
Uzbekistan, sebuah negara dengan 38.2 juta penduduk, menunjukkan bagaimana pelaburan konsisten dalam pembangunan pemain, kejurulatihan dan struktur bola sepak mampu menghasilkan kemajuan nyata dalam satu generasi.
Apakah rahsia mereka yang wajib Singapura pelajari, adaptasi, dan hayati?
Pertama, disiplin taktikal dan pengorbanan kolektif. Pasukan seperti Uzbekistan tiada lambakan pemain di liga elit Eropah, tetapi membina kekuatan berasaskan disiplin yang sangat ketat. Pemain mereka mempunyai kesedaran taktikal yang tinggi dan kesanggupan bekerja keras demi menempah tempat ke Piala Dunia.
Seramai 25 daripada 26 pemain skuad Piala Dunia Cabo Verde misalnya lahir di luar negara. DR Congo pula mempunyai 20 pemain kelahiran luar negara daripada 26 anggota skuad, diikuti Maghribi (19), Bosnia dan Herzegovina (17) serta Algeria (16).
Di sinilah muncul satu realiti menarik bola sepak moden. Apabila sesebuah negara benar-benar mahu berjaya, sempadan geografi tiba-tiba menjadi sangat fleksibel. Tidak ramai yang cerewet bertanya di mana seseorang pemain dilahirkan asalkan dia mampu membantu pasukan menang.
Contohnya, DR Congo. Antara pemain mereka ialah Aaron Wan-Bissaka, pemain West Ham United, bukan asal Kelantan tetapi lahir dan membesar di England. Beliau memilih mewakili DR Congo kerana ibu bapanya berasal dari negara Afrika itu.
Negara seperti Switzerland, Norway dan Mexico turut memperlihatkan bagaimana keterbukaan dalam mengenal pasti bakat daripada pelbagai latar belakang mampu memperkayakan mutu pasukan kebangsaan.
Negara-negara ini memahami bakat nasional tidak semestinya berada dalam sempadan negara sendiri. Apa yang penting ialah kesanggupan untuk menjejak, mendekati dan menyatukan mereka di bawah satu panji yang sama.
Melihat kepada kesungguhan negara-negara yang sering dipandang sebelah mata ini, ingatan kita pastinya terarah kepada agenda bola sepak tempatan. Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebelum ini telah menetapkan "Goal 2034 (Matlamat 2034)" sebagai satu sasaran membina ekosistem bola sepak tempatan demi melayakkan Singapura ke Piala Dunia FIFA 2034.
FAS malah memperincikan matlamat itu yang, antara lain, merangsang penyertaan belia, meningkatkan piawaian kejurulatihan, dan menaik taraf ekosistem bola sepak tempatan secara menyeluruh.
Nah... diam tak diam, kita kini hanya berbaki lapan tahun sahaja lagi daripada garis masa tersebut.
Kejayaan Cabo Verde dan Uzbekistan tidak datang bergolek. Ia dibina daripada kesediaan mereka menggenggam bara api biar sampai jadi arang.
Untuk maju, kita perlu mempertingkat keupayaan bakat tempatan dan menarik bakat asing yang sedia menyarung jersi negara.
Dalam bola sepak moden, kejayaan semakin banyak ditentukan oleh keupayaan mencari dan membangunkan bakat, bukannya semata-mata saiz populasi atau sempadan geografi.
AKHIR KATA
Di sinilah Singapura perlu melakukan refleksi mendalam. Kita sering memberi alasan tentang saiz populasi yang kecil, komitmen kepada Perkhidmatan Negara (NS), kekangan prasarana, mahupun realiti liga domestik yang suram dan pembangunan bakat yang… (malas nak cakap).
Namun alasan tetap alasan.
Natijahnya, lain padang memang lain belalangnya.
Tetapi satu perkara tetap sama.
Gol tetap dikira satu, tidak kira sama ada dijaringkan oleh Sepanyol, Uruguay, Uzbekistan, Cabo Verde ataupun Singapura.
Bezanya cuma satu.
Ada negara yang turun ke padang untuk membuktikan sesuatu. Ada negara yang turun ke padang untuk mencipta sejarah.
Ada juga yang lebih selesa duduk di kedai kopi sambil menghitung segala sebab mengapa ia tidak boleh dilakukan.
Sebelum berbicara tentang Piala Dunia FIFA 2034, cabaran lebih dekat sebenarnya menanti pasukan kita, untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Asia di Arab Saudi tahun depan.
Mudah-mudahan apabila Piala Dunia FIFA 2034 menjelang nanti, kita masih ada pengulas kedai kopi yang sama.
Cuma kali ini, biarlah mereka sibuk mempersoalkan mengapa Singapura gagal menjaringkan gol kedua, dan bukannya mengapa kita masih belum berjaya ke sana.
Kalau tidak, setiap empat tahun kita akan terus melakukan perkara yang paling kita mahir.
Menonton, mengulas... dan berangan macam Mat Jenin.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.