Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Kambing boleh lari... tanggungjawab tidak

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Kambing boleh lari... tanggungjawab tidak
Aidiladha disambut dengan ibadah korban dan daging daripada haiwan yang dikorbankan dibahagi-bahagikan mengikut syarat. (Gambar: Facebook/The Meat Brothers)
Diterbitkan : 29 May 2026 12:20AM
SINGAPURA: Ada satu keistimewaan mengenai ibadah korban di Singapura yang mungkin tidak disedari ramai – kambing kita semua datang naik kapal terbang.

Walhasil, tidak banyak kambing di dunia mendapat “keistimewaan” sedemikian, menurut Chairul Fahmy Hussaini. Dari ladang-ladang di Australia, kambing-kambing dinaikkan ke dalam pesawat kargo, merentasi lautan, sebelum tiba di republik ini untuk memenuhi tuntutan ibadah korban.

Memanglah, cerita pasal ‘flight delay’ bukan suatu yang asing. Tiba lewat? Biasa...

Tapi kalau kambing tidak tiba langsung? Itu lain cerita. Apa angkara sebenarnya, perlu kita tahu.
Related article image
Khemah dan kandang-kandang kosong mengundang sentimen kurang ceria di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pada Aidiladha 2026 tanpa kehadiran kambing korban. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Bukan apa, ibadah korban adalah satu perkara yang membangkitkan rasa ghairah dalam kalangan kita setiap kali tiba Hari Raya Aidiladha, peluang untuk kita melihat puluhan kambing secara dekat di masjid-masjid.

Memang tidak dinafikan bau ‘pesing’ sang kambing menyucuk (mencucuk) hidung, tetapi apabila menyaksikan gelagat si biri-biri mengembek, mengunyah dedaun dan cuba berlari dari satu sudut kandang ke satu sudut lain semasa diacah-acah jemaah yang tiba untuk menunaikan sembahyang Hari Raya, membuat suasana jadi meriah di pagi hening yang disirami takbir dan tahmid.

Sememangnya, suasana di masjid cukup semarak dengan semangat dan keikhlasan orang kita dalam menunaikan ibadah korban sebagai tanda kepatuhan kepada Allah swt dan meneruskan sunnah Nabi Ibrahim as.

Ringkasnya, ibadah korban bukan sekadar upacara. Ia adalah kesungguhan kita dalam menghidupkan nilai pengorbanan demi meraih keredaan Yang Esa.
Related article image
Ibadah korban ditunaikan sebagai tanda kepatuhan kepada Allah SWT, selain meneruskan sunnah Nabi Ibrahim. (Gambar fail: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
ANTARA AMANAH DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN

Apabila sebahagian kambing gagal tiba di Singapura pada tarikh yang ditetapkan sepertimana terjadi tahun ini, para sohibul korban berasa kerugian dan meminta penjelasan selain menuntut kebertanggungjawaban daripada kesemua pihak terlibat.

Tindakan mereka untuk bersuara adalah untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, memahami letak duduk perkara dan memastikan hak dan kepentingan mereka dijamin.

Siapa tidak terperanjat apabila kurang seminggu sebelum tiba Aidiladha, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumumkan “kemungkinan berlaku kelewatan” pada ketibaan kira-kira 400 ekor kambing korban disebabkan permit eksport ternakan itu di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport Australia (ESCAS) oleh pihak berkuasa di Australia masih tergantung.

Dek kerana permit, langkah syarikat yang terlibat membawa masuk kambing ke sini tersendat.

Jumlah kambing terjejas adalah sebanyak 400 ekor, melibatkan mereka yang menempah pelaksanaan ibadah korban di empat masjid: Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman dan Masjid Jamae Chulia.

Hitungan ringkas bermakna lebih kurang 40 keluarga terjejas. Kiraan mudah juga menunjukkan sepertiga daripada seekor kambing menghasilkan antara 4 hingga 7 kilogram daging, yang boleh dinikmati sekitar 12 hingga 30 orang, jika purata pengagihannya 200 gram seorang.

Ini baru kiraan sepertiga untuk seekor, belum dua pertiga daging korban seekor yang diagihkan kepada golongan susah dan miskin. Ini bermakna kelewatan yang berlaku bukan menjejas mereka yang menempah 400 kambing ini sahaja tetapi ramai lagi.

Kita belum lagi kira para sukarelawan masjid, tukang ‘tangkap dan tumbang’, tukang menyembelih, tukang lapah, tukang potong daging, tukang timbang, tukang bungkus, tukang masak, dan segala macam ‘tukang’ yang lain yang sedia bertugas, meluangkan masa dan tenaga demi syiar agama dan keperluan masyarakat.

Ini belum sentuh pasal duit. Jika seekor kambing dijual pada harga S$365, bererti sejumlah S$146,000 menjadi kos bayaran penuh. Bukan sedikit duit orang kita terluak.

Dua soalan penting timbul di sini.

Pertama, mengapa kes ini berlaku pada satu syarikat dan bukan syarikat yang lain?

Kedua, siapa sebenarnya menguruskan permohonan ESCAS?

Masyarakat berhak mengetahui kerana ketelusan dalam hal ini adalah penting.
Related article image
Menurut MUIS, sehingga 21 Mei 2026, permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport Australia (ESCAS) bagi The Meat Brothers masih belum diluluskan, sekali gus menjejaskan ketibaan 400 ekor kambing bagi ibadah korban di Singapura. (Gambar: Facebook/The Meat Brothers)
DUA PIHAK, SATU TANGGUNGJAWAB

Dalam meneliti masalah yang berlaku, masyarakat dimaklumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bahawa semua pengendali korban berlesen “bertanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan komersial dan operasi masing-masing, termasuk mendapatkan bekalan ternakan, menguruskan pembekal, logistik serta memperoleh kelulusan eksport dan import.”

Dengan kata lain, MUIS merujuk kepada syarikat yang terlibat sebagai pengendali korban.

Memang pun syarikat yang terlibat perlu bertanggungjawab kerana mereka yang menerima amanah, memungut bayaran, tetapi akhirnya gagal menyempurnakan khidmatnya.

Cuma, jawapan MUIS ini kurang memuaskan kerana kedua-dua MUIS dan syarikat terlibat saling bekerjasama untuk menjayakan ibadah korban di republik ini.

Takkan apabila segalanya berjalan baik, MUIS dan syarikat terlibat mendapat pujian, tetapi bila ‘barang order’ tak sampai, yang disalahkan satu pihak sahaja. Tidak harus begitu.

Kita semua tahu bahawa ibadah korban di sini melibatkan beberapa agensi pemerintah, seperti Agensi Makanan Singapura (SFA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan MUIS sendiri.

Jika agensi-agensi ini tidak meluluskan operasi ibadah korban yang dilaksanakan dengan sokongan MUIS, maka hujah bahawa MUIS “tidak campur tangan” dalam urusan operasi adalah sukar diterima akal.

Sebagai badan berwenang, MUIS perlu sama bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Seharusnya satu badan penyiasat melibatkan MUIS, syarikat terlibat, dan JKMS dibentuk dan dikerahkan ke Australia, bertemu pihak ESCAS, syarikat pembekal kambing di sana, dan jika ada, orang tengah yang menguruskan permit eksport ternak.
PERSOALAN LANJUT

Walaupun Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) tidak menyebut MUIS bertanggungjawab ke atas pengurusan ibadah korban, tindakan MUIS menubuhkan Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS), merintis daya usaha SalamSG Korban, melakukan lawatan tapak ke Australia, menyelaras keseluruhan pelaksanaan korban, serta berurusan dengan syarikat dan masjid bagi pengurusan ternakan, penyembelihan dan agihan daging, menunjukkan peranan besar MUIS dalam hal ini.

Dengan MUIS mengawal selia keseluruhan ekosistem ini, dari Australia hingga ke pengurusan di masjid, maka tanggungjawabnya bukan sekadar pentadbiran di atas kertas.

Meskipun MUIS mengiktiraf usaha syarikat terjejas yang cuba memenuhi hasrat sohibul korban, namun apabila amanah tercabul, "pengiktirafan" sahaja tidak mencukupi.

Yang dituntut masyarakat adalah akauntabiliti, bukan simpati.

Kebertanggungjawaban bermula dengan MUIS mengakui bahawa sistem yang ada perlu diperbaiki secara menyeluruh.

SEJARAH BERULANG

Kisah kambing ‘tersangkut’ waktu ibadah korban bukan cerita baharu.

Pada 1997, penghantaran ternakan korban dari Australia pernah mengalami kelewatan, sehingga tanggungjawab mendapatkan bekalan ternakan korban dipindahkan daripada MUIS kepada masjid-masjid secara individu.

Pada 2005, penghantaran ternakan korban sekali lagi lewat, menyebabkan beberapa masjid terpaksa menangguhkan upacara korban.

Pada 2014, 174 ekor kambing mati dalam penerbangan dari Australia akibat tekanan haba.

Pokoknya, setiap kejadian ini kemudian dimeterai janji penambahbaikan.

Malangnya, sejarah terus berulang, dan ini menunjukkan pengurusan korban tempatan berdepan risiko nyata.

Satu perkara ingin saya kongsi, ada sohibul korban mengumpul wang lebih setahun, dengan sokongan ahli keluarga, untuk melaksanakan korban di masjid di sini.

Bayangkan kehampaan mereka bila kambing tak sampai.
Related article image
Tempat penyembelihan kambing. (Gambar: BERITA Mediacorp)
AKHIR KALAM

Iktibar daripada episod kali ini adalah: semua pihak harus sedia memikul tanggungjawab atas apa yang berlaku. Ia bukan salah sepihak tetapi semua pihak.

Bila bekerja bersama, jangan mudah-mudah menolak masalah ke pihak lain. Dalam mendukung perpaduan, susah senang bersama.

Cakap mudahnya, kambing boleh lari, tetapi semua pihak yang terlibat menjaga kambing pada awalnya mesti ramai-ramai mengejar dan menangkapnya semula apabila ia terlepas.
Related article image
Peristiwa haiwan ternakan tidak tiba tepat pada waktunya bagi ibadah korban bukanlah sesuatu yang baharu di Singapura, malah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini termasuk pada 1997 dan 2005. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Maka, kepada semua pihak yang terlibat: akauntabiliti bukan pilihan, ia adalah kewajipan.

Untuk MUIS, perlu ada sistem denda dan pampasan yang jelas, dengan garis panduan yang telus dan boleh dikuatkuasakan, demi mengukuhkan tadbir urus, melindungi hak sohibul korban dan menjaga nama baik semua pihak.

Kambing mungkin tidak sempat tiba tetapi kepercayaan masyarakat, jika dibiarkan terlepas begitu sahaja, jauh lebih sukar untuk ditangkap semula.

Ingat kata leluhur: kambing dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita