Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Kalau Mahu Jadi Orang SG...

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Kalau Mahu Jadi Orang SG...

(Gambar: MINDEF)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 Aug 2025 07:24PM Dikemas Kini : 09 Aug 2025 07:50PM
SINGAPURA: Diam tak diam, Singapura kini genap 60 tahun. Satu usia yang cukup matang bagi sebuah negara, namun pada masa yang sama juga – saya sifatkan – masih ‘jiwa muda’ kerana dalam segala segi – fizikal, daya fikir, dan semangat warganya – negara ini tidak pernah letih untuk terus membangun dan berubah.

Anda tidak percaya? Cuba perhatikan sekeliling kita. Lapangan Terbang Changi, contohnya – bukan sekadar lapangan terbang, tetapi lambang kecekapan dan kemodenan. Ia bukan sahaja menjadi pintu masuk utama, malah dikagumi sebagai permata negara. Marina Bay Sands pula – dengan hotel lima bintang, pusat konvensyen bertaraf dunia, dan teater megah – menjadi tumpuan pelancong serta rakyat tempatan. Taman di Pesisiran pula menyuntik keindahan dan ketenteraman di tengah kesibukan kota.
Related article image
Pasar Geylang Serai. (Gambar: http://tanjongkatongcomplex.com)
Itu semua berada di tengah bandar. Di pinggirnya pula, Geylang Serai, yang suatu ketika dahulu menjadi nadi masyarakat Melayu, kini diberi nafas baharu. Wisma Geylang Serai berdiri sebagai mercu simbol pemuliharaan budaya dan pembangunan Melayu yang membangun.

Di Timur pula, Hab Tampines Kita berdiri megah – menjadi pusat sukan, riadah, kesihatan dan masyarakat. Semuanya di bawah satu bumbung – mudah, inklusif, dan progresif. Di Barat, Selatan dan Utara tanah air pula ada pelbagai daya tarikan, dari Taman Tasik Jurong ke Paya Sungei Buloh, Snow City, pulau peranginan Sentosa dan taman haiwan yang menyajikan 1,001 satu pengalaman di negara yang berkembang pesat.
Related article image
Gambar: Our Tampines Hub/Facebook
Apa yang saya ingin sampaikan ialah, meskipun wajah Singapura hari ini sungguh jauh berbeza berbanding enam dekad lalu. Namun, ia kekal dengan dua ciri utama: dinamisme dan kecekalan.

Kekurangan Bukan Hambatan

Negara kecil yang serba kekurangan sumber asli ini tidak pernah tunduk kepada nasib. Sebaliknya, ia mencipta peluang dari setiap kekangan.

Memang, hidup di Singapura bukan mudah. Kos sara hidup tinggi, persaingan sengit, dan kehidupan harian memerlukan kita sentiasa bersedia dan tangkas. Tetapi di situlah terletaknya kekuatan sebenar rakyatnya – keupayaan menyahut cabaran dan mengubah haluan hidup mereka.

Ambil contoh pendidikan. Pada 1965, kadar celik huruf bagi mereka yang berusia 15 tahun ke atas hanyalah 60.2 peratus. Lelaki lebih tinggi (76.4 peratus), manakala wanita agak jauh ke belakang (42.6 peratus). Namun, menurut data Bank Dunia terkini, kadar celik huruf kita kini sudah mencecah 97.65 peratus. Perempuan dan lelaki kini setara, bahkan ramai wanita hari ini memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta.

Budaya membaca juga berkembang pesat. Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melaporkan bahawa hampir 9 daripada 10 orang dewasa di Singapura membaca beberapa kali seminggu. Ini bukan statistik kosong – ini menunjukkan amalan membaca sudah tertanam dalam gaya hidup kita.
Related article image
(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)
Bagaimana pula dari segi ekonomi? Pada 1965, pendapatan per kapita nominal Singapura hanyalah sekitar AS$500. Kedudukannya setaraf dengan negara membangun lain seperti Mexico dan Afrika Selatan. Namun hari ini, pendapatan bulanan median isi rumah kita sudah mencapai S$11,297 – termasuk caruman CPF. Lebih 90.8 peratus rakyat memiliki rumah sendiri, suatu pencapaian yang mengagumkan untuk negara bandar sekecil ini.

Kita telah membina pelbagai ‘hardware’ fizikal – pelabuhan, sekolah, MRT, hospital, pusat sukan dan kediaman yang selesa. Tetapi ‘software’ kita – hati, jiwa dan semangat – masih sentiasa terus diasah, diperhalusi dan diperteguh.

Langkah Berani Watan

Hari ini, Singapura bukan sahaja maju – malah dikenali sebagai kota kosmopolitan, majmuk dan harmoni. Di mata dunia, rakyatnya dikenali sebagai ‘modal insan’ yang berharga. Satu bukti, lima orang rakan saya – semuanya anak Melayu Singapura – kini berkhidmat sebagai tenaga profesional di Malaysia, Indonesia, Timor Leste, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Menurut Jabatan Statistik Singapura, jumlah diaspora rakyat Singapura yang tinggal di luar negara kini melebihi 215,000 orang. Ramai yang keluar untuk mengejar peluang kerjaya dan pengalaman baharu, tetapi hampir semuanya tetap berjiwa Singapura.

Inilah bukti bahawa Singapura telah jauh melangkah. Kita mungkin kecil dari segi geografi, tetapi besar dari segi impian dan cita-cita.
Related article image
Graduan Universiti Nasional Singapura (NUS) semasa majlis konvokesyen. (Gambar: Lionel Lin)
Yang lebih mengharukan – pembangunan pesat ini dicapai tanpa setitik pun pertumpahan darah. Tiada konflik bersenjata, tiada rampasan kuasa, tiada perang saudara. Politik kita stabil, masyarakat kita berbilang kaum dan agama – namun hidup dalam toleransi dan saling hormat. Kita matang sebagai satu masyarakat di negara merdeka.

Apakah Jiwa Singapura?

Kita perlu akui, Singapura membangun bukan kerana kekayaan semula jadi. Kita tidak punya lombong emas, tiada telaga minyak, tiada sungai besar mahupun tanah subur yang luas. Tetapi kita ada sumber manusia – rakyat yang berani bermimpi, sanggup berusaha dan rela berubah. Semangat inilah – jiwa Singapura – yang menggerakkan negara ini ke hadapan.

Apakah itu jiwa Singapura? Bagi saya, ia adalah nilai-nilai yang diwarisi dan ditunjukkan oleh generasi perintis kita – tekad, tekun, rajin, berani, bekerjasama, dan saling menghormati. Tetapi ada tiga nilai lain yang semakin menonjol, dan membezakan kita dengan masyarakat negara lain.
Related article image
Orang ramai sudah mula memenuhi tempat duduk di Padang pada 9 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Pertama, nilai kebersihan – bukan sekadar bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dari segi perlakuan. Masyarakat kita semakin peka terhadap persekitaran yang bebas dari kotoran dan longgokan sampah sarap. Kebersihan awam ini bukan datang daripada penguatkuasaan semata-mata, tetapi hasil keinsafan kolektif bahawa ruang bersih mencerminkan maruah bersama.
Kedua, wibawa atau integriti – budaya yang tegas menolak amalan rasuah. Ini adalah antara sebab mengapa sistem kita cekap dan dipercayai. Ia mencerminkan tahap keperibadian tinggi rakyat Singapura – satu nilai yang tidak mudah dibina, tetapi amat berharga untuk dipertahan.

Ketiga, nilai kemanusiaan – keihsanan rakyat kita tanpa mengira pangkat, latar belakang dan kedudukan – pantas menghulur bantuan dan segera menyumbang wang dan kudrat, malah secepat kilat menggalas beg untuk sedia ‘terbang’ ke negara yang mengalami musibah. Terlalu banyak contoh boleh diberikan tetapi kesanggupan kita membantu mangsa bencana alam dan mangsa perang, menyuarakan bantahan terhadap kezaliman mencerminkan keluhuran budi, yang tiada galang ganti.
Related article image
Bagi kami anak jati Singapura, nilai-nilai ini bukan sekadar simbol kemodenan – tetapi cerminan harga diri watan.

Kecil Tetapi Bermakna

Singapura telah melangkah jauh. Namun, untuk terus ke hadapan, kita adakalanya perlu berhenti sejenak, memandang sekeliling, menyaksi dan menerima perubahan dan mengenal pasti tanda arah sebelum menyusun atur langkah seterusnya.

Ada masanya, kita juga perlu menoleh ke belakang – bukan untuk mengundur, tetapi untuk mengambil iktibar, menjadikan pengalaman lalu sebagai pedoman, menjadikan liku-liku hidup sebagai teladan, kesan luka dan parut sebagai peringatan dalam memahami dan menghargai akar subur kita.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-60 semua. Dirgahayu Singapura!
Related article image
MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita