Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Hidup Jangan Mati Rasa

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Hidup Jangan Mati Rasa

(Dari kiri) Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Singapura. (Gambar: Instagram/gankimyong; Instagram/wakupsingapore; Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

SINGAPURA: Setiap kali membaca laporan tentang pemandu kereta Singapura yang ‘tersangkut’ di stesen-stesen minyak negara jiran kerana membeli minyak yang hanya dibekalkan untuk penduduk tempatan, penulis Chairul Fahmy Hussaini hanya mampu menggeleng kepala.

Kenapa buat hal yang menyusahkan diri sendiri? Jawab kawan saya, ringkas: mati rasa.

Di sini pula keadaannya lebih kurang sama. Seorang anak buah mengadu bagaimana dia terpaksa membayar ganti rugi sampai beribu-ribu kepada seorang pemandu gara-gara kereta yang dipandunya ‘tercium bontot’ kereta di hadapan.

Menurutnya, pemandu yang keretanya dilanggar kelihatan tidak apa-apa, keretanya juga tidak berbekas kecuali sedikit tergaris. Apabila diminta untuk selesaikan di tempat kejadian, pemandu itu menolak. Tup-tup, anak buah saya menerima surat daripada peguam – tuntutannya beribu-ribu. Terbegik dibuatnya.

Saya ceritakan hal ini kepada seorang rakan. Jawapannya sama: mati rasa.
Baru-baru ini pula tersebar luas berita, gambar dan video bagaimana tiga pemimpin politik negara menaiki pengangkutan awam untuk ke destinasi masing-masing.
Related article image
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong menaiki LRT Punggol. (Gambar: Instagram/gankimyong)
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang menaiki MRT untuk ke Taman Warisan Melayu gara-gara kesesakan. (Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)
Baik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, yang dilihat berada dalam gerabak di LRT Punggol; mahupun Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang meninggalkan kereta dan menaiki MRT untuk ke Taman Warisan Melayu gara-gara kesesakan.

Tokoh politik pembangkang, Encik Pritam Singh, turut dilihat bersahaja membaca akhbar sambil berdiri di dalam MRT.
Related article image
Tokoh politik pembangkang, Pritam Sing dilihat membaca akhbar di dalam MRT. (Gambar: Instagram/wakeupsingapore)
Ketiga-tiga mereka mengingatkan kita kepada satu hakikat: setinggi mana pun kedudukan, seseorang itu harus sentiasa berpijak di bumi nyata.

GAYA HIDUP DALAM DUNIA TIDAK MENENTU

Kedudukan dan jawatan tinggi tidak seharusnya membuat seseorang leka dan alpa.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia hari ini, geopolitik semakin tidak menentu, konflik berlaku di sana sini. Pepatah Melayu mengingatkan: gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Begitulah kita. Walaupun kecil di peta dunia, kesannya tetap kita rasai.

Ekonomi bukan lagi sekadar angka di laporan – ia hadir dalam bentuk harga barang yang meningkat, bil yang semakin berat, dan pilihan yang semakin terhad.

Setakat April 2026, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah menaikkan unjuran inflasi kepada antara 1.5 hingga 2.5 peratus bagi Inflasi Teras MAS (MAS Core Inflation) serta Indeks Harga Pengguna bagi Semua Barangan (CPI-All Items).

Peningkatan ini didorong oleh kos import dan harga tenaga yang semakin tinggi, kesan langsung daripada ketegangan geopolitik global. Tekanan kos ini semakin “melekat”, bukan sahaja dari luar, tetapi juga dalam negara.

Keadaan ini menyebabkan kita, warga biasa, terasa ‘kelat’ dan ‘meleket’.
Kelat kerana semakin banyak wang diperlukan untuk memastikan dapur terus berasap. Meleket pula kerana peluh tidak henti berjurai, siang dan malam, demi mencari rezeki.

Realiti ini tidak boleh diabaikan.

Namun, ada satu lagi fenomena yang lebih halus, tetapi tetap menggigit.

Pengguna mungkin membayar harga yang sama, atau lebih tinggi, untuk barangan seperti kopi segera, teh, bijirin sarapan dan jus – tetapi dalam kuantiti yang lebih kecil. Inilah yang dikenali sebagai “shrinkflation”.
Related article image
Pengecutan nilai atau "shrinkflation" mungkin menyebabkan pengguna perlu membayar harga yang sama atau lebih tinggi untuk barangan asas seperti bijirin sarapan dan teh. (Gambar fail: CNA/Javier Lim)
Hmm… maksudnya pengecutan nilai.

Teringat dahulu Bapak bercerita, semasa zaman Perang Dunia Kedua, duit ‘pisang’ Jepun era ‘Syonan-to’ disimpan berkoyan-koyan tetapi tidak bernilai. Wang ada, tetapi tiada harga.

Sejarah itu jauh, tetapi peringatannya dekat.

Semoga dolar Singapura kita tidak sebegitu – kekal kukuh dan terus diyakini dalam ekonomi dunia.

Menurut analisis Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat), kurang daripada lima peratus barangan yang biasa dibeli isi rumah terjejas oleh shrinkflation pada tahun 2025.

Angkanya kecil, tetapi kesannya tetap terasa, terutama bagi mereka yang mengira setiap dolar.

Semua ini menuntut satu perkara daripada kita: jangan mati rasa.

BERJIMAT, TETAPI JANGAN BAKHIL

Tempoh hari saya menyentuh tentang keperluan untuk ‘ikat perut’. Ia bukan cakap kosong, tetapi keperluan.
Beritahu anak-anak, masa sekarang bukan masa untuk bermewah, tetapi untuk berjimat cermat. Kehidupan tidak sentiasa berada pada tahap yang sama.

Jangan sampai kita lupa diri – berbelanja sakan, sedangkan ramai di sekeliling kita sedang berdepan cabaran berterusan: pemberhentian pekerja, penutupan syarikat, kenaikan sewa dan yuran, dan pelbagai lagi.

Apabila berbelanja, lebih-lebih lagi untuk majlis besar seperti pertunangan atau perkahwinan, beringatlah. Kata leluhur kita, beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Memang kita tumpang bangga melihat majlis yang meriah, penuh gaya dan eksklusif – makan enak, suasana gemerlap, perut pun senak.

Namun dalam mengadakan majlis perkahwinan, kita mesti sedar, kita semua hanya raja dan permaisuri sehari, bukan sehari-hari.
Related article image
Raja dan permaisuri sehari juga perlu beringat agar tidak berbelanja secara berlebihan dalam menganjurkan majlis perkahwinan. (Gambar: Canva)
Dalam mengadakan majlis pun, jaga tertib. Yang diarak adalah pengantin baharu, yang lama cukuplah berseri di sisi.

Pesan datuk nenek, yang dicari bukan pujian, tetapi keberkahan.
Keberkahan tidak lahir daripada kemewahan yang dipamerkan, tetapi daripada niat yang bersih, kesederhanaan yang dijaga, dan kepekaan terhadap keadaan sekeliling.

Berjimat bukan bermakna lokek. Berhemat bukan bermakna bakhil.
Kita berjimat supaya hidup lebih teratur. Kita berhemat supaya masa depan lebih terjamin.

Jika ada rezeki lebih, hulurkan. Jika ada kemampuan, ringankan.

Dalam masa yang sama, jangan sampai duit berterabur dan bersepah tanpa arah. Disiplin dalam berbelanja adalah cerminan peribadi.

Kesederhanaan itu satu kekuatan.

BERPIJAK DI BUMI NYATA

Apabila kita melihat pemimpin menaiki pengangkutan awam, ia bukan sekadar gambar yang tular.

Ia satu isyarat – bahawa kepimpinan yang baik perlu membumi. Untuk memahami rakyat, seseorang itu perlu sanggup berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, merasai sendiri denyut dan keluh-kesah rakyat.

Semasa berucap sempena sambutan Hari Buruh tempohari, Perdana Menteri Lawrence Wong rasa terharu menyaksikan rakyat yang dibantu melahirkan kesyukuran. Ini menyerlahkan kebersamaan sesama kita.
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong berucap di Rapat Hari Buruh pada 1 Mei 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Hidup bersama perlu saling membahu. Jangan mati rasa.

Tidak kira sejauh mana kita melangkah, setinggi mana kita capai, jangan sampai kita lupa asal usul.

Jangan sampai kita hilang empati, hingga hilangnya jati diri – tidak lagi peduli untuk menyantuni keadaan dan orang sekeliling.

AKHIR KATA...

Kelangsungan hidup hari ini bukan hanya tentang kecukupan, tetapi memahami apa itu “cukup”.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita tidak boleh hidup dalam penafian. Kita mesti melihat realiti seadanya, walaupun ia tidak selesa.

Kita perlu sedar, peka dan rendah hati.

Akhirnya, yang menentukan bukan berapa banyak yang kita miliki, tetapi bagaimana kita mengurus apa yang kita ada.

Hidup ini bukan tentang kemewahan yang dipamerkan, tetapi tentang nilai yang dipegang.

Dalam dunia yang sering menguji ini, satu perkara jangan kita lupa:

Jangan sampai kita mati rasa.

Apabila ini berlaku, kita akan hilang makna sebagai manusia.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita