OLEH-OLEH TEMASEK: Getar Politik Mula Terasa

(Dari kiri ke kanan) Dr Elmie Nekmat, Dr Lam Pin Min, Perdana Menteri Lawrence Wong, Cik Theodora Lai Xi Yi dan Cik Bernadette Giam bergambar dengan kanak-kanak di Balai Rakyat Anchorvale pada 16 Mac 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
‘Gempa’ yang berlaku setiap lima tahun sekali itu bukan calang-calang hebatnya. Getarannya menyebabkan hanya lima Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan empat Kawasan Undi Perseorangan (SMC) selamat. Yang lain berubah sempadan.
‘Gempa’ yang saya maksudkan ialah impak daripada laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC).
Usulan EBRC ini, yang telah diterima Pemerintah memberi kesan langsung kepada peta politik Singapura kerana ia menentukan di mana pertandingan politik akan berlangsung dalam pilihan raya tahun ini.
Apabila laporan dibentangkan oleh jawatankuasa itu, para pengundi terpinga-pinga. Ada bertanya mereka sekarang orang mana – Tampines Changkat atau East Coast? West Coast atau Jurong? Jurong mana satu?
“Gempa minggu lalu agak kuat sampai menyebabkan pergeseran sempadan kejiranan,” kata kawan saya yang tidak menafikan laporan EBRC itu telah mencetuskan 1,001 gejolak perasaan.
Dari rumah ke kedai kopi, dari pejabat ke pasar raya, orang sibuk bercerita dan bertanya tentang keberadaan mereka dalam sesebuah kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Ada garu kepala melihat estet perumahan mereka dibuaikan, sekejap di GRC ini, sekejap di GRC itu.
Ada pula terbeliak mata bila EBRC merubah kawasan tempat tinggal mereka dari SMC ke GRC.
Ada macam nak pengsan, ah... yang ini kesian..., bila dapat tahu kawasan perumahannya yang dahulunya dalam satu GRC, telah dikerat-kerat jadi empat bahagian. Alahai...
"Sebab itu banyak parti politik merungut apabila laporan EBRC diumumkan. Kucar-kacir dibuatnya. Kenalah atur lagi strategi. Kenalah ketuk rumah orang lagi…," kata kawan saya.

Suka atau tidak, semua politikus yang bertanding terpaksa menghadapi cabaran besar akibat semakan ini. Ada pemimpin politik dan netizen sentap oi...
Sememangnya bukan mudah untuk parti-parti pembangkang menghadam keputusan EBRC.
Ada sesetengah calon pembangkang, dah 10 tahun menanam benih, menyemai harapan di sesebuah kawasan undi, rajin membaja dan menyiram sehinggakan usaha mula nak membuahkan hasil. Belanjanya pun bukan sikit.
Tup-tup gempa berlaku, kawasan undi yang diusahakan dengan penuh semangat, kasih sayang dan jerih payah, habis musnah. Hancur luluh hati melihat segala usaha jadi sia-sia tetapi mereka tidak harus putus asa, perlu terus ke lapangan bertemu penduduk.
"Nak ambil hati orang bukan senang. Ketuk pintu rumah orang, belum tentu buka. Kena maki ada! Hahaha...
"Orang awam kurang tahu apa yang dilakukan para aktivis parti politik di estet-estet perumahan," kata kawan saya lagi.
Saya jawab,"Kena maki satu hal, ada tu baru bakal calon atau aktivis ketuk dua tiga pintu rumah, polis pulak datang tanya itu ini, kerana ada penduduk lapor ada individu mencurigakan pergi rumah ke rumah, ketuk pintu ke pintu.”

Yang jelas GE2025 – untuk memilih Anggota Parlimen bagi penggal ke-15 – akan menyaksikan peningkatan jumlah kerusi dari 93 kepada 97 orang.
Jumlah SMC meningkat satu kerusi, dari 14 kepada 15; GRC bertambah dari 17 kepada 18. Jumlah pengundi pun bertambah, dari 2,651,435 orang pada GE2020 kepada 2,753,226 sekarang – pertambahan 101,791 pengundi.

Apapun, tindakan EBRC dilihat ramai lebih memihak kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah negara sejak 1965.
Meskipun EBRC beralasan perubahan besar persempadanan kawasan undi "disebabkan pertumbuhan penduduk" dan "pembahagiannya yang tidak sama rata merentasi kesemua divisyen kawasan undi", rakyat tahu ia bermotif politik.
Umpamanya, semakan kali ini mengukuhkan kedudukan PAP di tiga ‘kawasan panas’ GRC lima kerusi – dengan setiap satu diserikan oleh satu SMC – Marine Parade-Braddell Heights (Mountbatten), Sembawang (Sembawang West) dan Tampines (Tampines Changkat).
Ramai menjangkakan GRC Marine Parade-Braddell Heights berisiko jatuh ke tangan pembangkang melihat kepada prestasi PAP di GRC Marine Parade pada GE2020.
Bagaimanapun, penyerapan SMC MacPherson – kubu kuat PAP – ditambah dengan SMC Mountbatten berdekatan, memantapkan kedudukannya.
Kedudukan PAP di tiga GRC lima kerusi ini dilihat teguh – berperanan sebagai ‘GRC Mega’ enam kerusi.
Kedudukan dua SMC – Kebun Baru dan Jalan Kayu – kelihatannya lebih strategik dengan dipayungi GRC Ang Mo Kio – juga kubu kuat PAP – menjadi ‘GRC Mega’ tujuh kerusi.
Kesemua ini memberi kelebihan besar kepada parti pemerintah yang tentunya ingin memperbaiki kelakonannya meraih 61.24 peratus undi dan tewas di 10 kerusi semasa GE2020 sewaktu pandemik COVID-19 – jauh beza berbanding 69.86 peratus undi semasa GE2015.
Jelas, GE2020 merekodkan prestasi terburuk PAP pascamerdeka.
Di bawah teraju Generasi Keempat (4G) pimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong, tentunya PAP mahu mandat lebih besar.

Kejayaan besar PAP dalam GE2025 bergantung kepada strategi dan huraian menangani tiga permasalahan utama rakyat – kos kehidupan yang semakin meningkat, peluang pekerjaan lebih baik untuk warga, dan tekanan ekonomi.
Ini belum lagi menyentuh soal harga rumah yang tinggi melampau, tekanan GST, kadar kelahiran rendah, kontroversi POFMA dan pelbagai isu lain yang akan dimainkan semasa kempen berlangsung.
“Walhasil, masuk medan perang harus atur strategi kalau nak menang,” kata kawan saya lagi. Saya setuju.
Bagi parti-parti pembangkang, mereka akur perlu lebih strategik untuk GE2025. Paling sedikit, menampilkan calon berwibawa, kemuka manifesto mesra rakyat, keterampilan lebih baik dan perkukuh kempen digital.

Di pihak rakyat, pengundi bijak tidak menilai calon hanya dengan menonton keletah mereka terkinja-kinja atau 'tayang sengih' di TikTok, IG atau Facebook, tetapi naratif meyakinkan bagi menarik pengundi muda dan atas pagar.
Rakyat menilai perawakan, daya kepimpinan, kesungguhan, dan ketulusan sang calon, sedia jatuh bangun bersama rakyat dan singsing lengan dengan penduduk.
Natijahnya, sebagaimana teruk ‘gempa’ melanda, betapa hebat pun EBRC menyemak dan merubah kawasan undi, sama ada atas alasan pertumbuhan penduduk atau alasan lain, percayalah cakap saya, ia tidak mampu memisahkan pengundi yang menilai baik buruk pilihan mereka untuk masa depan yang lebih terjamin.
‘Gempa’ pertama sudah pun dicetuskan oleh laporan EBRC. Selalunya setelah gempa besar, berlaku juga gempa susulan. Tidak semestinya kecil. Masih ingat GRC Sengkang dalam GE2020?

Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.