OLEH-OLEH TEMASEK: Gersang Bola Sepak Singapura
Baru dua bulan sejak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan peralihan pucuk pimpinan kepada Forrest Li – tokoh korporat dan pemilik Lion City Sailors.
Singapura meraikan kemenangan selepas menjaringkan gol dalam perlawanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric menentang Timor-Leste di Stadium Hang Day di Hanoi pada 14 Dis 2024. (Foto: Facebook/Persatuan Bola Sepak Singapura)
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Baru dua bulan sejak Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan peralihan pucuk pimpinan kepada Forrest Li – tokoh korporat dan pemilik Lion City Sailors.
Belum pun sempat kerusi panas itu diduduki sepenuhnya, peminat bola sepak dikejutkan: ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tsutomu Ogura, meletak jawatan – hanya empat bulan selepas dilantik.
Langkah Ogura sudah dijangka, tetapi tidak menghairankan. Perginya tidak ditangisi kerana antara dia dan keadaan bola sepak kita pun tidak segah mana.
Malah, mungkin ini membuka ruang dan peluang untuk kita menilai kembali semuanya.
Persoalan utama bukan lagi siapa jurulatih, tetapi mengapa keadaan terus begini.
Wang dan Nama Besar – Cukup?
Dengan Li membawa nama besar dan dompet tebal, soalan utama tetap berlegar: bolehkah dengan wang semata-mata menyelamatkan bola sepak kita?
Sebelum kita cari jawapan – adalah penting untuk kita bertanya soalan yang betul.
Sekilas pandang, bola sepak pasukan nasional kita sebenarnya masih hidup walaupun nyawa-nyawa ikan.
“Tapi lain ceritanya di kejohanan bola sepak antara sekolah-sekolah. Semangat para pelajar aku tengok membara.
“Di tepi padang penuh penonton dan penyokong, masa pusingan separuh akhir dan akhir di stadium, jumlah penonton penuh. Anak muda kita berlari, mengejar bola bersungguh-sungguh,” kata kawan saya.
Persoalannya, apakah hasilnya kesudahan mereka?
Apa Jadi Selepas Sekolah?
Ke mana hala tuju mereka selepas tamat sekolah?
Nak main di peringkat kelab tidak sampai dua tahun dah kena panggil menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Jadi bolehkah seorang murid yang cemerlang di padang sekolah membina kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional di Singapura?
Adakah laluan itu jelas? Adakah ia dihormati? Adakah ia realistik?
Ini bukan soalan untuk FAS sahaja.
Ini soalan yang setiap ibu bapa perlu tanya diri sendiri – dan jawab dengan jujur: adakah mereka sanggup sokong anak mereka jadi pemain bola sepak?
Adakah mereka tahu risikonya?
Atau mereka sendiri melihat bola sepak sekadar hobi – bukan kerjaya menjamin masa depan?
Kesemua ini adalah persoalan nyata yang perlu dihadapi.
Masalahnya, kerjaya di luar bidang sukan sekarang pun tidak menjanjikan.
Kita semakin mendengar keluhan lulusan institusi pengajian tinggi tentang kesukaran mereka mendapat pekerjaan meskipun mempunyai kelulusan yang baik.
Bola Sepak Sebagai Projek Nasional – Apa Pulangannya?
Kita pernah dengar macam-macam slogan: Goal 2010, Unleash the Roar! – semua gah pada awalnya, tetapi sepi akhirnya.
Kini, Forrest Li pula muncul.
Harapan tinggi. Nama besar. Pengalaman hebat tetapi itu bukan jawapannya.
Kita ingin melihat bola sepak dilihat sebagai projek nasional dengan pulangan yang lebih terjamin, tidak seperti sekarang yang simpang-siur dan berkecah.
Adakah kita benar-benar mahu bangunkan sukan ini untuk rakyat, atau sekadar melakar hasil pencapaian atau KPI yang boleh dibentang dalam laporan tahunan semata?
Akar Goyah, Hilang Arah
Kalau benar bola sepak ini milik rakyat, maka suara rakyat juga penting.
Cuma masalahnya, rakyat dah mula letih dan jemu. Letih menunggu. Letih berharap. Jemu mendengar.
FAS bukan dewa penyelamat.
Bahkan, bola sepak tidak patut disandarkan kepada satu entiti sahaja.
Penggembelengan tenaga dan kepakaran perlu digarap daripada pelbagai kementerian agar sama-sama memainkan peranan yang jauh lebih serius; dari Kementerian Kewangan (MOF) ke Kementerian Pendidikan (MOE) ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Kesihatan (MOH) dan pelbagai agensi pemerintah lain seperti SportSG, Lembaga Tote dan lainnya.
SPL Lesu, Sistem Mati
Bukan suatu yang rahsia bahawa Liga Perdana Singapura (SPL) suram.
Tiada sistem promosi dan penyingkiran. Tiada dorongan. Tiada kesan drama. Tiada sebab untuk penyokong benar-benar teruja.
Apa maknanya liga kalau tiada siapa yang boleh jatuh atau naik?
Kita boleh terus bangga menjemput kelab dari Liga Perdana England (EPL) datang ke sini – tetapi bila giliran kita bermain, stadium kosong.
Tengok sahaja Wrexham. Sebuah kelab kecil dari Wales, diambil alih dua pelakon Hollywood, kini jadi fenomena global.
Mereka cipta semula naratif – bukan sekadar pelaburan, tetapi gabungan budaya, komuniti, dan harapan. Kalau Wrexham boleh, kenapa tidak kita?
Lebih penting, menurut laporan 2025, Singapura kini mempunyai 49 bilionair.
Antara mereka: tokoh perbankan, hartawan syarikat cat, pengasas syarikat peranti perubatan, hartawan teknologi.
Mengapa tidak melibatkan mereka memiliki kelab sebagaimana Lion City Sailors?
Ahli perniagaan ini jelas tahu sesuatu yang kita belum faham. Falsafah korporat dan prinsip kejayaan mereka – kecekapan, inovasi, keberanian ambil risiko – mengapa tidak diadaptasi ke dalam bola sepak kita?
Mengapa mereka tidak dilibatkan secara strategik dalam memacu pembangunan bola sepak nasional?
Mungkin mereka tidak diajak. Mungkin mereka tidak nampak hala tuju. Mungkin mereka tidak percaya pada sistem.
Tetapi jika kita benar-benar mahu perubahan, kenapa tidak buka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang telah membuktikan kebolehan membina organisasi berjaya, mengurus aset bernilai, dan membawa jenama mereka ke dunia?
Bola Sepak Singapura Perlu Gerakan Nasional
Bola sepak boleh jadi pemangkin perpaduan.
Ia boleh bangunkan disiplin, semangat, karakter. Ia boleh jadi jalan keluar daripada tekanan sosial, atau ruang untuk anak muda cari makna dan maruah.
Tetapi hanya jika kita jujur. Hanya jika kita berani hadap realiti:
• Bahawa sistem kita tidak memudahkan.
• Bahawa minat ada, tetapi laluan tidak jelas.
• Bahawa sokongan akar umbi masih bersifat token.
• Bahawa kita terlalu cepat menyalahkan pemain, tetapi jarang soal siapa yang menyediakan sistem mereka.
Sebelum Tawar Huraian, Jawab Soalan Pokok
Jadi sebelum kita gubal pelan, suntik dana, atau melantik lagi satu tokoh... tanya dahulu: apakah kita benar-benar mahu selamatkan bola sepak kita – atau kita cuma mahu nampak seperti kita peduli?
“Tanya lagi: Adakah kita mahu anak kita jadi pemain bola sepak? Kalau tidak – mengapa?,” aju kawan saya.
Akhirnya, adakah wang, sekuat mana pun, mampu mengubah budaya yang tidak yakin pada bola sepak sebagai satu masa depan yang sah?
Kadangkala, soalan yang tidak dijawab lebih berkuasa daripada solusi yang tergesa-gesa.
Ini kerana, hanya bila kita jujur dengan persoalan-persoalan ini – barulah kita boleh bicara soal harapan.
MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.