Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Ganti Nama, Jangan Tukar Visi

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Ganti Nama, Jangan Tukar Visi
Setiap pemimpin membawa gagasan tersendiri. (Gambar: Facebook/M³)
SINGAPURA: Setiap kali bah, setiap kali pantai berubah. Begitulah lumrah perjalanan kepimpinan apabila tonggak berubah, pendekatan juga sering diperbaharui. Maklum, jangan cakap pemimpin, kita sendiri pun punya idea dan wawasan untuk masyarakat.

Cuma, perubahan yang dibuat sang pemimpin, arah tuju besar biasanya kekal sama: memacu masyarakat agar terus maju, mandiri dan mampu bersaing di pentas dunia yang semakin mencabar. Chairul Fahmy Hussaini menyelongkar perkembangan terbaharu pada peralihan kepimpinan Melayu/Islam.

Dalam konteks masyarakat Melayu/Islam di Singapura, perjalanan ini dapat dilihat melalui peralihan kepimpinan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sejak lebih dua dekad lalu. Setiap pemimpin membawa gagasan tersendiri, tetapi matlamatnya serupa, yakni meningkatkan keupayaan dan pencapaian masyarakat agar dapat memberi sumbangan bermakna kepada keluarga dan watan.

DR YAACOB IBRAHIM DENGAN CLF

Dari tahun 2002 - 2018, masyarakat didedahkan kepada semangat ‘Masyarakat Cemerlang’ yang digerakkan Dr Yaacob Ibrahim menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF), bertujuan mendorong pencapaian akademik, kemahiran dan pembangunan rohani masyarakat Melayu/Islam kita.
Related article image
Dr Yaacob Ibrahim berucap semasa acara Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) anjuran Yayasan Mendaki. (Gambar fail: Facebook/MENDAKI)
Prakarsa tersebut mencetuskan usaha besar-besaran menggembleng sumber yang ada dalam masyarakat untuk merapatkan jurang pencapaian sosial dan pertingkat ekonomi orang Melayu kita.

Pada masa yang sama, idea penubuhan Kolej Islam Singapura mula berputik. Institusi tersebut dijangka menerima kohort pertamanya sekitar 60 pelajar menjelang 2028, sekali gus membuka ruang baharu bagi pembangunan kepimpinan agama yang lebih tersusun di Singapura. Idea membina sebuah lagi masjid di Tampines turut dicetuskan.

Langkah menyuburkan seni dan tradisi Melayu Singapura menerusi pementasan ‘Gentarasa’ pula dipergiat – menjadi wadah memelihara identiti dan jati diri bangsa.
Related article image
Salah satu pementasan 'Gentarasa' yang diadakan pada 2018. (Gambar fail: Mediacorp)
MASAGOS ZULKIFLI DENGAN M³

Jika Dr Yaacob Ibrahim menghembus semangat Masyarakat Cemerlang, pada 2018 Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad memperkenalkan Masyarakat Gemilang.
Related article image
Encik Masagos Zulkifli. (Gambar fail: Mediacorp)
Related article image
M³ ditubuhkan oleh Encik Masagos Zulkifli (lima dari kiri) pada 2018. (Gambar: M³ Eco)
CLF digantikan dengan M Kuasa 3 (M³) yang bertujuan mempererat kerjasama tiga institusi utama - Yayasan MENDAKI, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Penasihat Persatuan Rakyat (MESRA). Kerjasama ini membolehkan usaha pembangunan masyarakat digerakkan secara lebih terselaras.

Dengan semboyan Maju Bersama M³, gagasan ini membawa kepada penubuhan jaringan M³ di estet-estet perumahan seperti Tampines, Pasir Ris-Punggol, Bedok, Choa Chu Kang, Jurong, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Woodlands. Ini bertujuan agar mendekatkan lagi segala bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Usaha mendampingi golongan rentan diperkukuh menerusi program seperti Fitrah yang memberi sokongan kepada bekas penagih dadah dan keluarga mereka.

Satu lagi pencapaian penting dalam tempoh kepimpinan Encik Masagos ialah pembentukan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) bagi memperkukuh sumber kewangan jangka panjang masyarakat Melayu/Islam.
Related article image
Wakaf Masyarakat Singapura dilancarkan di Masjid Muhajirin. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Dana wakaf ini dihimpunkan secara lebih tersusun bagi menyokong pembangunan masjid, pendidikan agama serta pelbagai program masyarakat.

Sehingga kini, dana wakaf tersebut berkembang kepada lebih S$100 juta dalam aset yang diuruskan oleh MUIS.

Pulangan daripada dana itu membantu membiayai pelbagai usaha pembangunan masyarakat serta memperkukuh keupayaan masyarakat menghadapi cabaran masa depan.

Dr FAISHAL IBRAHIM DENGAN M³+

Kini, tampuk kepimpinan masyarakat Melayu/Islam Singapura diamanahkan kepada Dr Muhammad Faishal Ibrahim. M³ menjadi M³ Plus (M³+). Semboyannya ‘Bersatu Hati, Maju Bersama’. M³ tambah Plus dan Maju Bersama tambah Bersatu Hati.
Related article image
Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: Mediacorp)
Gagasan ini memperluaskan kerangka M³ dengan melibatkan lebih banyak pertubuhan Melayu/Islam termasuk pertubuhan Muslim India (IMO) dan individu. Tidak tertumpu kepada kuasa yang tiga – MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Matlamatnya ialah memperkukuh kerjasama masyarakat agar usaha pembangunan tidak hanya digerakkan oleh beberapa institusi utama sahaja, tetapi menjadi gerakan kolektif yang lebih luas.

Dalam dunia yang semakin canggih, usaha meningkatkan kemahiran teknologi, digital dan kecerdasan buatan (AI) turut diberi perhatian agar masyarakat Melayu/Islam tidak ketinggalan dalam ekonomi masa depan.

Sebagai contoh, program di bawah MENDAKI kini memanfaatkan alat pembelajaran berasaskan AI bagi membantu tutor menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keupayaan pelajar serta memantau kemajuan mereka dengan lebih berkesan.
Pendekatan ini menggambarkan betapa cabaran hari ini kian rumit dan rencam, memerlukan kerjasama lebih luas antara pemerintah, institusi dan masyarakat kita sendiri.

CABARAN DALAM ERA BAHARU

Walaupun masyarakat Melayu/Islam telah mencapai kemajuan dalam pendidikan dan pembangunan sosial, tetapi di antara keprihatinan yang sering disuarakan anggota masyarakat ialah soal pekerjaan dan kestabilan ekonomi.

Cakap mudah, orang kita juga mempunyai aspirasi untuk menikmati keutuhan kewangan serta kerjaya lebih baik demi masa depan yang lebih meyakinkan.

Bagaimanapun, perubahan persekitaran global, tekanan ekonomi dan kesukaran merebut peluang pekerjaan menjadi sorotan dan keluhan.

Tekanan yang berpanjangan memberi kesan kepada kestabilan rumah tangga. Jadi, usaha memperkasa keluarga rentan adalah sangat baik, apalagi dengan adanya peningkatan sekitar 50 peratus bilangan Kadi dan Naib Kadi bagi menyokong pasangan Muslim.

Program tersebut memberi manfaat kepada lebih 180,000 penduduk dan mewakili pertumbuhan sekitar 60 peratus berbanding sebelumnya dalam usaha memperkukuh sokongan perkahwinan dan keluarga.

Langkah seperti ini penting dalam memastikan keluarga terus menjadi asas kekuatan masyarakat.

BUKAN KERANA NAMA

Akhirnya, yang harus kita tanyakan bukanlah apa nama gagasan yang diperkenalkan setiap kali kepimpinan berubah. Soal lebih penting ialah sejauh mana kedua-dua pemimpin dan masyarakat dapat bekerja bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Hakikatnya, masyarakat Melayu/Islam Singapura hari ini berada di persimpangan baharu.

Generasi muda semakin berpendidikan, aspirasi terhadap kerjaya dan kestabilan kewangan semakin tinggi, sayangnya, peluang ekonomi tidak menentu dan turut menjejas karyawan mapan. Kepimpinan baharu harus peka akan hal ini.

Di sinilah makna sebenar Bersatu Hati, Maju Bersama – bahawa kemajuan masyarakat bergantung kepada kekuatan kolektif seluruh kepimpinan politik, sivik dan masyarakat.

Perubahan gagasan – daripada Masyarakat Cemerlang kepada Masyarakat Gemilang, dan kini Bersatu Hati, Maju Bersama – sebenarnya mencerminkan satu perjalanan yang berterusan. Namanya mungkin berubah, tetapi visinya tetap sama.

Pada akhirnya, usaha dan kesungguhan kepimpinan politik Melayu dalam memajukan masyarakat Melayu/Islam akan dinilai apabila tiba masanya.
Related article image
Kohort kedua Tunas Bersama M³ bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim secara rasmi mengumumkan pembentukan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) di acara Simposium SCIS. (Gambar: Facebook/Paul Hedges)
Masa lalu telah memberi petanda besar akan sikap dan kesediaan masyarakat untuk menggembleng tenaga dan bekerja bersama, selagi aspirasi, kemahuan dan tuntutan masyarakat tidak diremehkan oleh pemimpin – apatah lagi dipandang enteng.

Kerana dalam perjalanan panjang membina masyarakat, kepimpinan boleh silih berganti. Tetapi harapan masyarakat tidak pernah berubah: mereka mahu didengar, dihargai dan dipimpin dengan amanah dan sepenuh keikhlasan.

Pada masa yang sama, jangan jadikan visi setakat jenama dan slogan, kerana yang utama adalah kesinambungan usaha dan kesungguhan kepimpinan memenuhi wawasan yang dilakar.

Natijahnya, usaha mempertingkat kehidupan masyarakat sudah bermula sejak lama, sebelum adanya jenama CLF, M³ ataupun M³+ ataupun slogan ‘Melayu Cemerlang’ atau ‘Melayu Gemilang’.

Yang perlu sekarang adalah gerak tindak, maju bersama.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita