OLEH-OLEH TEMASEK: Cubit Paha Kanan, Paha Kiri Terasa. Sakitnya Sampai Ke Mana?
Sekitar 20 peperangan meletus pada 2025, termasuk dua di Asia Tenggara. (Gambar: Reuters/Khamis Al-Rifi; REUTERS/Athit Perawongmetha; Reuters/Ebrahim Hajjaj; UGC via AP)
SINGAPURA: Ada pepatah lama Melayu berbunyi, “Cubit paha kanan, paha kiri terasa”. Ia bermaksud kesakitan yang dirasai seseorang turut dirasai oleh yang lain.
Peribahasa ini jelas mencerminkan sikap sebahagian besar masyarakat dunia hari ini, yang peka, peduli, prihatin dan lantang menentang kekejaman akibat peperangan yang berlaku.
Jelas, manusia hari ini masih punya semangat insaniah dan keihsanan dengan majoriti penduduk Bumi ini kekal berhati perut dan tidak beku hati melihat mayat berselerakan di panggung perang.
Ada ketikanya, saya seakan merasakan pepatah itu kian hilang maknanya di zaman moden ini, dan adakalanya juga satu pertanyaan berlegar di ruang fikiran – apakah kemanusiaan sudah mati? – menyaksikan perang meletus tanpa henti, tanpa mengira hari dan waktu.
Apa tidaknya, sekitar 20 peperangan meletus tahun ini sahaja – termasuk dua di Asia Tenggara – membabitkan perang saudara di Myanmar dan perang sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Hakikatnya, perang hari ini tidak lagi jauh dan asing seperti dahulu. Keterbatasan teknologi pada era lampau bermakna kisah tentang sesuatu peperangan hanya dilihat atau didengar menerusi siaran berita di kaca televisyen, radio mahupun di dada akhbar.
Hari ini, kepesatan digital membolehkan kita menyaksikannya secara langsung pada masa sebenar – di skrin telefon, di media sosial – pergolakan berdarah yang bertayangan tanpa henti.
Yang mengkhuatirkan, semakin lama pertumpahan darah ini disogokkan, semakin hilang rasa simpati itu – seolah-olah penderitaan manusia adalah hal biasa.
Perang Moden: Luka Yang Tak Pernah Sembuh
Perang moden tidak lagi menentukan siapa kuat dan siapa lemah – ia hanya menunjukkan sejauh mana manusia sanggup menghancurkan sesama sendiri. Dalam dunia yang kononnya bertamadun, kita menyaksikan teknologi digunakan bukan untuk membina, tetapi untuk memusnahkan.
Laporan Tinjauan Konflik Bersenjata 2024 oleh Institut Pengajian Strategik Antarabangsa (IISS) mencatatkan lebih 200,000 orang terkorban akibat keganasan bersenjata di seluruh dunia antara Julai 2023 hingga Jun 2024, peningkatan 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Di Palestin, ratusan ribu nyawa penduduk Gaza terkorban atau cedera atau menjadi pelarian sejak perang meletus dua tahun lalu.
Di Myanmar pula, jutaan rakyatnya berdepan kebuluran dan terkurung sejak perang meletus pada 2021; di Ukraine, kota-kota musnah tanpa erti kemenangan.
Namun dunia terus berjalan – seperti tiada apa berlaku.
Setiap angka kematian, kecederaan, kebuluran dan pelarian mewakili kehidupan yang direntap, masa depan yang dilenyapkan, dan mimpi indah yang tidak sempat menjadi nyata.
Ironinya, kita dapat melihat betapa semakin maju dunia, semakin mundur perikemanusiaannya.
Kita membanggakan tamadun, tetapi gagal mempertahankan nilai asasnya: kasih, cinta dan ihsan.
Kemanusiaan Yang Tercemar
Nilai kemanusiaan kini ditunggang untuk kepentingan politik. Kuasa digunakan bukan untuk melindungi, tetapi menindas. Ideologi dijadikan alasan untuk membenarkan pembunuhan, dan agama pula diseret sebagai perisai bagi kebencian.
Dunia ini tidak lagi bertanya, “Siapa yang benar?” tetapi hanya memilih untuk bertanya, “Siapa yang menang?” padahal dalam setiap perang, tiada pemenang sebenar. Yang mati ialah manusia; yang tinggal ialah kehancuran – lahir dan batin.
Di medan realiti, kita melihat anak kecil tanpa ibu, rumah tanpa keluarga, dan hati tanpa nurani.
Kita lupa bahawa darah manusia tidak mengenal bangsa, warna kulit, atau kepercayaan. Kesakitan mereka mengusik hati kita sendiri – atas nama manusiawi.
Dunia Yang Kehilangan Jiwa
Kelihatannya, semakin maju dunia hari ini, semakin fakir budi sesetengah penduduknya. Kita mampu mengirim satelit ke angkasa, tetapi gagal menghantar bantuan sewajarnya kepada mereka yang kebuluran. Kita mampu berdebat tentang ekonomi global, tetapi tidak mampu menenangkan tangisan anak yang kehilangan keluarga dalam perang.
Keamanan bukan lagi cita-cita bersama; ia menjadi barang dagangan, dijual beli oleh kuasa besar yang mengambil peranan Tuhan – menentukan siapa berhak hidup dan siapa layak mati.
Bagi sebahagian kita pula terasa hidup dalam keasingan kerana tiada upaya selain menonton, berdoa, menderma dan berharap semuanya akan berakhir tanpa benar-benar melakukan apa-apa.
Pada masa yang sama, kita menginsafi bahawa kehidupan di dunia moden dengan penduduknya yang semakin terpelajar, tidak menjanjikan keamanan tetapi keributan dan kecelaruan.
Lebih parah, kita didedahkan dengan nuansa – perang bukan sekadar strategi geopolitik tetapi pengkhianatan terhadap kemanusiaan, penafian terhadap moral dan akal budi, dengan nilai kebenaran dicomotkan.
Setiap bom yang digugurkan adalah tamparan terhadap peradaban yang kita banggakan.
Singapura dan Tanggungjawab Kita
Sebagai rakyat sebuah negara kecil yang hidup dalam damai, kita mungkin tidak berada di tengah-tengah peperangan. Tetapi keamanan yang kita nikmati bukan alasan untuk berdiam diri.
Kita harus menjadi suara yang menggemakan perdamaian, walau sekecil mana pun gema itu kedengaran.
Tugas kita bukan hanya untuk mengecam pemimpin yang memulakan perang, tetapi untuk menyemai kesedaran, cinta dan keihsanan dalam diri dan masyarakat untuk menolak tindakan berperang sebagai huraian mudah sebagai ‘pertahan hak’ yang sebenarnya dikaburi penindasan mutlak.
Setiap tindakan kecil – membantu mangsa konflik, mendidik tentang nilai keamanan, menyebarkan mesej kemanusiaan – adalah benih kepada dunia yang lebih berperikemanusiaan.
Kita harus berani menegur pemimpin yang buta dengan kuasa dan tuli terhadap tangisan manusia.
Dunia tidak perlukan lagi pahlawan yang bersenjatakan bom; dunia perlukan pemimpin yang berjiwa insan, yang tahu bahawa keamanan tidak boleh ditegakkan dengan senjata, tetapi dengan keadilan dan kasih sayang.
Ingat kata-kata pejuang anti-aparteid, Nelson Mandela, semasa berucap di Ceramah Tahunan ke-6 di Soweto, Afrika Selatan pada 2008, yang berkata:
“Adalah mudah untuk meruntuh dan memusnah. Wira sebenar adalah mereka yang membina damai dan menegakkannya”.
Menuju Dunia Yang Saling Mengasihi
Dunia yang kita warisi ini kian rapuh kelihatannya. Atas kesedaran itu, kita perlukan keberanian moral – bukan untuk berperang, tetapi untuk berdamai – kerana setiap manusia berhak hidup dalam aman dan bermaruah. Tidak ada bangsa yang harus kebuluran, tidak ada anak yang patut membesar di tengah-tengah ledakan bom dan muntahan peluru.
Kita mesti menolak anggapan perang itu suatu yang ‘biasa’. Kita mesti menolak kebisuan yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai ‘bukan urusan kita’.
Kita mesti mengembalikan nilai kemanusiaan kepada tempatnya yang tertinggi – melebihi pertimbangan politik – mengatasi segala bentuk keangkuhan manusia.
Dunia memerlukan kebangkitan baharu — satu tata dunia yang berpaksikan keamanan dan perpaduan sesama manusia. Ia tidak akan datang dari kuasa besar, tetapi dari hati-hati kecil yang masih percaya bahawa kasih adalah jawapan dalam memerangi kebencian.
Suburkan Keihsanan
Kita hidup di dunia yang semakin kehilangan daya rasa. Namun, selagi ada insan yang masih menangis melihat penderitaan orang lain, selagi ada yang berdoa untuk keamanan sejagat, selagi ada yang bergolok-bergadai demi menyediakan sekotak makanan untuk mangsa perang dan pelarian konflik bersenjata, maka masih ada harapan untuk dunia ini.
Setiap tindak balas kita harus membawa perdamaian dan ketenangan. Bukan mengeruhkan keadaan atau membawa perpecahan.
Kerana... apabila paha kanan dicubit, paha kiri harus terasa. Kalau kita tidak terasa lagi, maka barangkali yang mati bukan sekadar mangsa perang di luar sana – tetapi perikemanusiaan dalam diri kita sendiri.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.