Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Bukan Asal Ada…

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Bukan Asal Ada…

(Dari kiri) Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Goh Pei Ming; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Zaqy Mohamad; Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow; Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo; serta Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Jasmin Lau, pada sidang media di Pusat Akhbar Nasional, MDDI, pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 05:06PM
SINGAPURA: Nampaknya badai yang melanda politik masyarakat Melayu Singapura baru-baru ini mula reda.

Tuding-menuding serta teori konspirasi mula berkurang.

Keputusan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, untuk meninggalkan Kabinet dan politik secara mengejut bukan setakat badai... mungkin tsunami. Gegarannya amat terasa dan agak lama.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi GRC Marine Parade–Braddell Heights, Dr Faishal Ibrahim merasmikan pembukaan semula Galeri Warisan Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi pada Sabtu (8 Mei). (Gambar: Balai Rakyat Kampong Ubi)
Episod pengunduran beliau meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja terhadap barisan kepimpinan sedia ada, malah terhadap cara masyarakat menilai proses pembaharuan politik Melayu yang disusun atur parti pemerintah.

PASCA GE2025: MEMBACA ISYARAT MASYARAKAT

Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) membawa banyak pengajaran kepada semua pihak.

Sudah tentu keputusan itu dipengaruhi pelbagai faktor nasional mahupun tempatan, tetapi ia juga menunjukkan betapa sokongan masyarakat tidak lagi boleh dianggap terjamin hanya kerana adanya perwakilan Melayu disegani dalam sesebuah pasukan.

Dalam konteks masyarakat Melayu, keputusan pilihan raya ini harus dibaca sebagai isyarat bahawa sebahagian masyarakat kita meletakkan jangkaan lebih tinggi terhadap pemimpin politik mereka, bukan sekadar adanya orang Melayu di Parlimen.
Related article image
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. (Gambar: Facebook/Masagos Zulkifli)
Kesan hasil pilihan raya lalu menyaksikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad tidak lagi menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang digalas antara Mei 2018 hingga Mei 2025.

Peranan yang disandang selama tujuh tahun berakhir apabila Perdana Menteri Lawrence Wong melantik Dr Faishal memangku jawatan berkenaan – langkah yang disambut baik masyarakat.

Peralihan ini menjadi titik tolak usaha perpaduan dan kebersamaan lebih erat yang cuba dihidupkan Dr Faishal yang membawa kepada pembentukan M³ Plus – peluasan daripada konsep M³ (disebut M Kuasa Tiga) yang dirintis Encik Masagos pada 2018, menggembleng kerjasama Yayasan MENDAKI, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan badan penyelaras kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).

Yang jelas, perubahan kepada M³+ mencerminkan hasrat dan kesungguhan Dr Faishal melibatkan lebih banyak pertubuhan serta rangkaian tidak rasmi dalam masyarakat.

KEPIMPINAN LEBIH MENYERLAH

Masyarakat hari ini mahukan pemimpin Melayu yang diyakini mampu mempengaruhi dasar negara, dihormati Kabinet, berani bersuara baik dalam mesyuarat Kabinet mahupun sidang Parlimen dan mempunyai kewibawaan sebagai pemimpin nasional.

Lebih penting lagi, masyarakat kita tidak mahu keberadaan dan penyertaan seseorang Anggota Parlimen (AP) Melayu dalam Kabinet bersifat tokenisme atau asal ada.

Kepemimpinan politik Melayu harus menonjolkan kewibawaan dan tampil sebagai pemimpin nasional yang diyakini, bukan sekadar bertindak sebagai penghulu kampung.

Perubahan zaman menuntut kepimpinan Melayu yang lebih dinamis dalam kedua-dua aspek pembangunan bangsa dan negara. Perlu ingat, orang Melayu hari ini bukan hanya pantas merujuk buku agama tetapi mahir buka Hansard.

Dalam politik, kepercayaan tidak lahir semata-mata melalui jawatan yang disandang. Ia dibina melalui keyakinan bahawa seseorang pemimpin memahami denyut nadi masyarakat, mampu berkomunikasi dengan bijaksana dan sedia menggalas tanggungjawab lebih besar apabila diperlukan.

Sebab itulah episod melibatkan Dr Faishal mencetuskan pelbagai reaksi.

Bukan semua memberikan tafsiran yang sama terhadap keputusan yang diambil.

Bagi sebahagian kita, yang menarik perhatian ialah bagaimana keseluruhan episod itu berlaku dan dipersembahkan kepada umum.

Ada yang menyifatkan cara episod itu ditangani sebagai kurang berhemah.
Ada pula yang terus terang berkata, "tak ada bahasa."

Ada sesetengahnya berasa sokongan kuat masyarakat kita selama ini diambil ringan, diperlekeh dan dipermainkan.

Pandangan mereka ada kewajarannya, apatah lagi keputusan besar kelihatannya dibuat secara mendadak dan masyarakat tidak diberikan ruang untuk memahami konteks serta pertimbangannya.

Membina kepercayaan mengambil masa yang panjang. Kehilangannya pula boleh berlaku dalam sekelip mata.

Benar... patah tumbuh, hilang berganti, tetapi jika tiba-tiba tunas yang baru hendak tumbuh ditebas atau dicantas?

MENCORAK KEPIMPINAN

Jika disusuri sejarah jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sejak diperkenalkan pada 1977, setiap penyandang mengambil alih dalam persekitaran politik yang berbeza.

Ia bermula dengan penyandang pertama, Dr Ahmad Mattar pada 1977 hingga 1992, diikuti Encik Abdullah Tarmugi (1993 hingga 2002); dan Dr Yaacob Ibrahim (2002 hingga 2018).
Related article image
Dr Ahmad Mattar. (Gambar: Facebook/Mattar.Alia)
Related article image
Encik Abdullah Tarmugi. (Gambar: Mediacorp)
Related article image
Dr Yaacob Ibrahim. (Gambar: LinkedIn/Yaacob Ibrahim)
Seperti tiga pendahulunya, Encik Masagos diamanah jawatan itu ketika masyarakat Melayu berdepan pelbagai isu getir yang menguji hubungan antara masyarakat dengan pemerintah.

Dr Faishal pula mengambil alih daripada Encik Masagos semasa kesan pilihan raya umum masih membahang. Ketika itu, wujud penolakan daripada sebilangan besar masyarakat terhadap kepimpinan terdahulu. Parti pemerintah memerlukan pendekatan baharu untuk membina semula keyakinan masyarakat.

Percaturan parti pemerintah mendepankan Dr Faishal dianggap tepat. Beliau peramah, mudah menyapa dan cepat memesrakan diri dengan masyarakat di sekelilingnya.

Hubungan yang dibinanya tidak berlaku dalam sehari, tetapi berkembang sedikit demi sedikit sehingga ramai melihat beliau sebagai wajah baharu kepimpinan politik Melayu.

Sayangnya, sedang ramai meramalkan cuaca panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Kini, Encik Zaqy Mohamad pula disuguhkan sebagai ganti.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad berucap semasa Sesi Bina Rangkaian M³+ yang kedua di Wisma Geylang Serai pada 30 Julai 2026. (Gambar: M3 ECO)
Related article image
Para penerima Biasiswa MUIS, Biasiswa Syed Isa Semait bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad (paling kiri) dan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir (paling kanan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurhelmy Hakim)
“Bezanya, Zaqy bukan Faishal,” kata seorang rakan semasa kami bersembang tempoh hari.

“Kepimpinan Zaqy akan diteliti dan diuji oleh masyarakat, bukan hanya bos beliau,” tambahnya.

Di sinilah letaknya cabaran sebenar.

Bukan soal siapa yang memegang jawatan tetapi apakah bentuk kepimpinan politik Melayu yang Encik Zaqy ingin kemukakan kepada masyarakat.

Yang nyata, beliau mungkin dipilih dalam keadaan ‘darurat’. Cuma sebagai pemimpin politik mapan, beliau mampu tenang dengan segala ketidaktentuan, sepak terajang dan tuntutan politik semasa.

Beliau tidak mengambil alih sebuah jawatan kosong. Beliau mewarisi amanah yang datang bersama jangkaan masyarakat yang semakin tinggi. Lebih penting lagi, beliau memimpin sebuah masyarakat yang kini lebih peka, lebih kritikal dan lebih berani menilai mutu kepimpinan pemimpin politik mereka.

Justeru, langkah pertama Encik Zaqy bukan sekadar memegang portfolio Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Setelah memperoleh keyakinan Kabinet, beliau perlu pula meraih keyakinan masyarakat Melayu dan menjadi suara yang memahami denyut nadi bangsanya, agar masyarakat dapat terus maju sejajar dengan prinsip meritokrasi yang didukung pemerintah.

KEPIMPINAN MELEBIHI YANG NAMPAK

Tanggungjawab membina keyakinan itu bukan terletak di pundak Encik Zaqy semata tetapi juga di bahu kelompok baharu Anggota Parlimen (AP) Melayu.

Masyarakat mahu melihat mereka berkembang dengan lebih baik, bukan sekadar menjadi wakil kawasan yang rajin turun padang atau aktif di media sosial tetapi menduduki tempat lebih tinggi dalam kerangka kepimpinan politik negara.

Untuk itu, mereka perlu dikenali kerana kemampuan mengetengahkan gagasan baharu anak bangsa, menguasai bidang dasar tertentu, memperjuangkan kepentingan rakyat majmuk dan menawarkan penyelesaian dengan pertimbangan yang matang.

Dalam era digital, yang nampak mudah dibina. Kehadiran di majlis, turun padang dan video pendek boleh memberi gambaran seseorang AP sentiasa bekerja, tetapi percayalah, masyarakat kita hari ini semakin bijak menilai antara "keberadaan" dengan "keberkesanan".

Pemimpin politik Melayu yang berkesan membina kewibawaan melalui penguasaan isu, mutu hujah, pengalaman dan keberadaan yang nyata dalam masyarakat serta mampu menangani permasalahan dengan berhemah lagi bijaksana.

Bagi anggota barisan belakang, mutu kepimpinan juga harus terlihat melalui ketajaman soalan mewakili masyarakatnya di Parlimen, keberanian mengemukakan pendirian dan kemampuan menawarkan pilihan dasar lebih baik.

Sudah tiba masanya Anggota Parlimen (AP) Melayu kita dilihat bukan sekadar pelengkap kepada kepelbagaian politik negara. Mereka perlu tampil sebagai pemimpin nasional yang berpotensi menerajui kementerian, menggubal dasar dan memimpin institusi penting negara.

Inilah cabaran terbesar Encik Zaqy sebagai ketua kepemimpinan politik Melayu/Islam hari ini.

Masyarakat mahu melihat perjalanan itu bermula sekarang.

MASA DEPAN DIBINA HARI INI

Setiap generasi akan melalui proses peralihan.

Ada yang berlaku dengan tenang.

Ada yang berlaku dalam keadaan yang tidak pernah dijangkakan.

Apa yang menentukan kekuatan sesebuah masyarakat bukanlah bagaimana seseorang pemimpin mengakhiri perjalanan politiknya, sebaliknya bagaimana generasi seterusnya bangkit mengisi ruang yang ditinggalkan.
Related article image
(Dari kiri) Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Goh Pei Ming; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Zaqy Mohamad; Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow; Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo; serta Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Jasmin Lau, pada sidang media di Pusat Akhbar Nasional, MDDI, pada 22 Julai 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Bagi parti pemerintah, inilah masanya membina semula keyakinan masyarakat Melayu Singapura terhadap masa depan kepimpinan politik Melayunya, bukan melalui retorik.

Natijahnya, ukuran sebenar kejayaan bukanlah berapa ramai orang Melayu berada dalam politik, sebaliknya berapa ramai orang kita yang diyakini layak memimpin Singapura pada tahap tertinggi.

Kerana apabila air bah mengubah pantai, kita terdedah kepada ancaman hakisan.

Apatah lagi tsunami….

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita