OLEH-OLEH TEMASEK: Bila Teh Mencuit Rasa
Pertemuan dengan seorang rakan lama di kedai makan di Our Tampines Hub (Hab Tampines Kita) baru-baru ini agak mencuit hati apabila pertanyaan mudah yang dilontarkan olehnya bukanlah soalan "biashe-biashe" tetapi terselit seribu makna.
Kami saling memandang dan ketawa sebaik soalan itu diajukan. Sememangnya menggelikan hati.
Ia bermula apabila saya bertanya, "Nak minum apa?"
Beliau menyambut bukan dengan jawapan, tetapi pertanyaan, "Dah minum teh?," ujarnya dengan senyuman meleret.
Bagi orang yang tidak biasa, pertanyaan beliau itu kelihatannya sangat biasa dan tiada makna selain, dah minum air teh ke belum, ya kan? Tetapi bagi kami yang cukup lama bergelumang dalam dunia kewartawanan pertanyaan "sudah minum teh" membawa makna berbeza.
Cakap senangnya, ia 'soalan mahal'.
Mahal kerana hanya orang terpilih sahaja berpeluang menghadiri sesi minum teh ini.
Apatah lagi sekarang bahang pilihan raya semakin memuncak dengan media tempatan asyik mengetengahkan barisan bakal calon yang diduga bertanding.
2025 - Tahun Politik
Yang jelas, Pilihan Raya Umum ke-14 pascamerdeka mesti dijalankan pada atau sebelum November 2025.
Memeriahkan lagi keadaan, pilihan raya kali ini tertumpu kepada barisan karyawan dari kalangan generasi ke-4, dengan majoriti calon dijangkakan berusia 45 tahun dan ke bawah.
Sememangnya, peralihan era kepimpinan adalah sesuatu yang mengujakan.
Sebagai seorang yang mendewasa dalam tiga era kepimpinan (Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong), era baharu mengemukakan satu dinamisme yang menganjalkan ketimbang pendekatan lalu yang lebih tegas.
Yang jelas, jatuh bangun sesebuah negara bergantung kepada nilai dan sosok kepimpinan.
Cara Cari Calon
Bukan mudah cari calon untuk bertanding dalam pilihan raya di Singapura.
Setiap parti politik punya cara dan pendekatan masing-masing.
Ada parti menawarkan peluang kepada individu untuk turut serta dalam kegiatan parti sebagai sukarelawan terlebih dahulu sebelum dikemuka peluang menjadi ahli dan ditombangkan sebagai calon.
Ada pula undang individu mengadakan pertemuan langsung dengan pemimpin atau kepimpinan parti untuk ramah mesra, dan sekiranya diyakini dan disenangi, akan diketengah kepada khalayak.
Ada juga parti yang menerima ‘lamaran’ individu untuk tampil bertanding.
Cakap mudahnya, setiap parti politik punya cita rasa tersendiri dalam menarik seseorang itu untuk ditimbangkan sebagai calon.
Yang jelas, pelawaan atau peluang untuk bertanding bukan suatu keputusan yang boleh dibuat secara sambil lewa.
“Politik adalah suatu yang serius,” sebagaimana pernah diungkapkan oleh Perdana Menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew.
Sesi Minum Teh PAP
Untuk dikenal pasti calon yang sesuai, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengadakan sesi minum teh.
Memandangkan pilihan raya tinggal hitungan bulan, tentu sudah banyak sesi ini diadakan.
Lebih penting lagi, tidak semua orang yang diundang ke sesi minum teh atau dipelawa masuk politik menerima tawaran itu – atas pelbagai sebab.
Ada kerana majikan tidak mengizinkan. Ada pula keluarga tidak merestui. Ada pula menolak kerana merasakan dunia politik bukan dunia mereka.
Harga Mahal Masuk Politik
Realitinya parti-parti politik di Singapura berdepan cabaran besar dalam mencari bakat yang layak untuk tampil sebagai calon ‘Yang Berhormat’.
Ini disebabkan harga yang terlalu mahal yang perlu dibayar. Risiko yang dihadapi juga sangat besar.
Setiap tutur kata harus dijaga. Setiap gerak dan sikap diukur rakyat. Setiap tindakan dan keputusan yang dibuat, dinilai.
Apatah lagi dunia hari ini bersandarkan media sosial yang merakam segala, dan pantas menularkan apa sahaja – tanpa mengira siapa - orang biasa atau raja.
Hal ini yang mengakibatkan ramai kurang bersedia tampil kerana sedar mereka tiada lagi privasi sekiranya memasuki gelanggang politik.
Yang Dipelawa Menolak. Yang Nak Sangat Tak Dapat…
Namun begitu, apabila seseorang menyatakan kesediaan untuk dicalonkan dan bertanding dalam pilihan raya umum, maka dia harus berani berdepan segala kemungkinan.
Percayalah cakap saya, di Singapura ini ramai suka jadi detektif, lebih ramai suka jadi pembesar suara.
Tidak keterlaluan untuk saya katakan, sepanjang pengalaman duduk di barisan depan bagi menyaksikan sepak terajang politik negara ini, ramai yang kandas dan kecundang.
Yang kandas di saringan pertama dan kedua memang ramai dan itu perkara biasa, tetapi yang sangkut masa berkempen dan kecundang di garisan akhir betul-betul meruntun jiwa.
Apa tidaknya, namanya sebagai 'bakal YB' telah lama disebut dan dijejerkan. Bila ketemu dan bertanya, si individu ini lebih tersengih dari tersenyum.
Jadi, bayangkan bila keberadaannya siang-malam di sesebuah kawasan undi dan di majlis nasional dan acara masyarakat, mempengerusikan jawatankuasa itu, memimpin projek ini, tup-tup dia menghilang...
Ada bakal calon mengakui telah "dua-tiga kali" bersiap untuk diketengahkan dalam pilihan raya umum, siap wajah dicetak untuk poster, tetapi setiap kali nak muncul, nama diturunkan ke bangku simpanan.
Bayangkan tempoh menunggu untuk diperkenalkan sebagai calon, kemudian tidak menjadi – pilihan raya umum pula diadakan setiap lima tahun.
Ada pula, 'dilepaskan' di saat-saat akhir menjelang Hari Penamaan Calon.
Macam-macam hal, pelbagai alasan. Biarlah yang tahu, tahu…
Tetapi itulah, secebis warna-warni politik di sini.
Bak kata rakan saya sambil ketawa, “Yang dipelawa menolak. Yang nak sangat pula tak dapat hahaha…”
MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.