Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Berkorban Apa Saja…

Seperti biasa kehadiran Hari Raya Aidiladha disambut masyarakat Muslim sedunia dengan menyoroti dan mendalami makna 'korban' – melampaui pemahaman secara harfiah.

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Berkorban Apa Saja…

Kambing-kambing korban Australia di Masjid Tentera DI Raja. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Seperti biasa kehadiran Hari Raya Aidiladha disambut masyarakat Muslim sedunia dengan menyoroti dan mendalami makna 'korban' – melampaui pemahaman secara harfiah.

Bagi yang tidak tahu, akan beranggapan 'Korban' bererti 'Sembelih'.

"Penerapan nilai dan kesucian ibadah korban, kalau tidak dijalankan dengan baik dan mendalam, akan membuat orang lain menganggap 'korban' sebagai satu amalan semata-mata. Dalam Bahasa Inggeris ia disebut 'ritual'. Sudah disembelih binatang ternakan, dagingnya dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir dan miskin. Dasar falsafahnya jauh lebih besar dalam rukun manusiawi," jelas seorang rakan
Lembu korban bagi SalamSG Korban. (Gambar: SalamSG)
Memahami Makna Korban

Sememangnya masyarakat Islam dididik dan diberi penerangan tentang segala hal yang berpaut pada 'korban' – cinta, keikhlasan, pengabdian, ketaatan, kesabaran, kecekalan, iltizam dan keazaman – yang memberi penekanan kepada nilai hidup berasaskan kasih sayang sesama manusia dan ketakwaan yang tidak berbelah bahagi kepada yang Maha Esa.

Lebih daripada itu, kita juga diberi kefahaman lebih mendalam tentang pengorbanan berkait masa, tenaga, ego, dan keinginan peribadi demi kebaikan yang lebih besar.

Didikan, bimbingan dan penerangan lengkap tentang 'korban' menjadikan kita seorang insan yang tulus, prihatin dan luhur. Menjadikan kita lebih berperi, lebih menyantuni, berakhlak dan berpedoman.

Sebagaimana biasa, sambutan Hari Raya di negara-negara Asia Tenggara selalunya selisih sehari. Sedang ada menyambutnya hari ini, Singapura, Malaysia dan Brunei menyambutnya esok (7 Jun). Namun, perbezaan ini tidak memisahkan kita sebagai umat; malah ia memperkukuh kesatuan hati dalam meraikan hari yang mulia ini.

Bagi sesetengah orang, kemeriahan dan semarak Hari Raya Korban berlaku selepas sembahyang Hari Raya, selalunya sekitar pukul 9.00 pagi. Keadaan jadi gamat bila ada ternakan yang mahu dikorbankan enggan ‘menyerah diri’ – ada yang terlepas kandang, ada yang naik minyak, ada yang tunjuk kekuatan tidak mahu tumbang. Gamat dibuatnya.
Singapura menerbangkan kambing dari Australia untuk disembelihkan. (Gambar: AFP/Amy Coopes)

Korban ‘First Class’

Rasanya, Singapura adalah satu-satunya negara yang menerbangkan kambing dari Australia ke sini untuk disembelihkan. Zaman bawa masuk kambing menerusi jalan laut sudah tidak lagi dilakukan.

“Kambing masuk Singapura ‘first class’ naik pesawat. Sebab tu harga ibadah korban di Singapura mintak ampun mahalnya,” komen seorang kawan bersahaja, yang menyifatkan harga jualan antara S$659 hingga S$699 bagi setiap ekor kambing atau kambing biri-biri yang disembelih di republik ini sebagai sangat tinggi.

“Ini bukan lagi berkorban. Ini terkorban namanya,” katanya penuh selamba.

Tahun ini, enam tempat melibatkan Masjid Al-Firdaus, Masjid Tentera Diraja, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Omar Salmah akan melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya, selain di PERTAPIS dan Persatuan Muhammadiyah.

“Mungkin dah tiba masa, masyarakat Islam kita fikirkan satu huraian lebih mampan dalam melaksanakan ibadah korban di sini dengan harga yang lebih dimampui. Takkan kita asyik jadi consumer (pelanggan) je,” kata kawan tu lagi.

Ada kebenaran pada kata-katanya itu.

 

Mencari Huraian Bijak lagi Mampan

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengadakan daya usaha ternakan kambing secara komersial di sini, sebagaimana dilakukan Hay Dairies – satu-satunya penternak kambing di Singapura – yang memulakan projek penternakan bagi keperluan tenusu dan beroperasi sejak 1988 dengan hanya 48 kambing tetapi kini menternak lebih 800 kambing pelbagai jenis, termasuk dari Amerika Syarikat.

Kalau Hay Dairies boleh, mengapa tidak kita?

Penternak kambing di Singapura, Hay Dairies. (Gambar: Mediacorp)
Singapura ada lebih 60 pulau, mungkin boleh difikirkan pembentukan satu syarikat usaha sama dalam penternakan kambing tenusu dan bekalan daging bagi keperluan tempatan untuk keperluan rakyat Singapura, di salah sebuah pulau yang ada ataupun di kawasan pertanian dan penternakan seperti di Lim Chu Kang.

Jika tidak pun, mengadakan ladang ternakan di seberang tambak di Johor – memanfaatkan jalinan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada 2024 atau membangunkannya di Batam menerusi jalinan Kerjasama Ekonomi Tiga Serangkai Sijori (Singapura-Johor-Riau) yang disepakati pada 1989.

Yang penting, usaha ini sejajar dengan wawasan “30 jelang 30” pemerintah yang pertama kali diumumkan pada 2019 – iaitu menghasilkan sendiri 30 peratus keperluan tempatan menjelang 2030.
Seorang pekerja melakukan pemeriksaan rutin di sebuah ladang di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
“Kita patut manfaatkan pelbagai insentif pemerintah untuk jayakan dasar “30 jelang 30” ni. Kita tunjuk kat pemerintah, orang Melayu, orang Islam kita pun boleh penuhi wawasan sebegini. Kita bukan tak ada tokoh perniagaan yang hebat-hebat kat sini, takkan lah mereka tak mahu turut serta,” tambahnya penuh semangat.

Sungguhpun usaha ini tampak mencabar, namun sekiranya digerakkan dengan strategi yang ampuh, kesepakatan yang kukuh dan matlamat yang membina, penternakan kambing halal boleh dijayakan. Lebih penting, ia membuka peluang pelaburan, pekerjaan dan pengembangan bakat, di samping menjimat kos serta menjadikan perbelanjaan lebih berhemat.

Tembusi Pasaran Halal Tempatan dan Serantau

Yang nyata, rantau ASEAN yang meliputi 11 negara (termasuk anggota terbaharu – Timor Leste – mulai Oktober 2025) menempatkan 700 juta penduduk keseluruhan dengan 40 peratus atau 240 juta daripadanya adalah masyarakat Islam.

Kalaulah masyarakat Muslim Singapura dapat mengadakan projek penternakan kambing dengan jayanya, ia tentu dapat menembusi pasaran Halal ASEAN, khususnya dalam sektor perladangan dan pemprosesan makanan.

“Kau tau, hal urusan kambing korban ni bukan baru. Kita ada AMPRO yang menguruskan ibadah korban sejak 25 tahun di sini, siap uruskan pengedaran daging korban dalam tin ke Gaza lagi.

“Orang besar AMPRO pun bukan calang-calang, mereka ni dulu pernah pimpin AMP, tahu selok-belok niaga, tahu pasaran dan keperluan kambing tempatan,” celah seorang lagi kawan.

Tertarik dengan nama AMPRO, saya pun semak laman rasminya dan mendapati kebenaran kata kawan tadi.
Daging korban dalam tin oleh AMPRO. (Gambar: AMPRO)
Ditubuhkan pada 1994, AMPRO Holdings Singapore Pte Ltd, yang digerakkan oleh tenaga profesional yang berkhidmat sebagai sukarelawan, telah merintis satu keusahawanan sosial.

“Komitmen kami adalah untuk memupuk sebuah Masyarakat Usahawan Yang Prihatin melalui dua tunjang strategik: keusahawanan sosial dan inisiatif kemanusiaan,” menurut AMPRO di laman rasminya.

Mengota Harapan

Sesuai dengan enam dekad kemerdekaan Singapura, telah tiba masanya Masyarakat Melayu/Islam Singapura mengorak langkah niaga yang lebih strategik dan berdaya tahan.

Usaha sama penternakan kambing tenusu dan bekalan daging halal tempatan bukan sekadar satu impian – ia satu keperluan yang boleh dicapai.

Dengan sokongan dan pelaburan daripada pertubuhan utama Melayu/Islam, kita mampu memulakan langkah pertama ke arah kemandirian makanan yang beretika.

Semangat gotong-royong – berat sama dipikul, ringan sama dijinjing – adalah inti pati pengorbanan yang kita hayati saban hari. Kini, ia perlu diterjemah menjadi tindakan bersama.

Kita telah berjaya membangunkan Wakaf Masyarakat Singapura. Mengapa tidak kini kita bina pula Ternakan Masyarakat Singapura?

"Kena sepakatlah supaya cakap-cakap kita ni berkah, jadi nyata," kata kawan saya.

MENGENAI PENULIS
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita