Skip to main content

Komentar

OLEH-OLEH TEMASEK: Bakat Tak Terpendam

Anggaran Waktu Membaca:
OLEH-OLEH TEMASEK: Bakat Tak Terpendam

Anugerah 2026 menyerlahkan bakat-bakat baru seni hiburan Melayu Singapura. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 31 Oct 2026 09:33PM Dikemas Kini : 31 Oct 2026 09:35PM
Temasek Takeaways: Hidden talent
  • Anugerah 2026, the 12th edition of Mediacorp’s talent competition, featured five finalists in solo performances, duets with alumni and a head-to-head round between Nada Fitri and Farras Qushayyi.
  • Nada, who won on her 25th birthday, combines a distinctive, versatile voice with discipline. After trying her luck in Indonesia, she returned to pursue her dream while balancing her responsibilities as a mother of two.
  • Farras, who was born in Batam and moved to Singapore in 2022 after getting married, did not win the top title but received a high number of votes and the PropNex Most Popular Star Award, reflecting audience acceptance.
  • The article stresses that winning and popularity only open doors; artists need hard work, creativity and opportunities to produce work and build an identity, while the industry needs to support talent development so artists can endure and go further.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kemenangan bakat baharu Nada Fitri dalam Anugerah 2026 menawarkan satu kesegaran dalam arena hiburan Melayu tanah air. Beliau hadir bukan sebagai penyanyi berbakat semata-mata tetapi mengemukakan adunan yang jarang dilihat dewasa ini – kesungguhan dan kemahuan.

Kemenangan pada hari lahirnya yang ke-25 mungkin satu kebetulan tetapi kemenangan itu sendiri bukan datang secara kebetulan. Ia adalah hasil kesungguhan beliau untuk berjaya, beralaskan kemahuan yang sudah lama terpahat dalam perjalanan hidup seorang wanita yang sejak usia muda menyimpan cita-cita untuk menjadi penyanyi.
Related article image
Nada Fitri menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi sejak usia muda lagi. (Gambar: Mediacorp)
Di sebalik sorakan, piala dan hadiah wang tunai S$25,000, ada persoalan lebih besar yang wajar kita renungkan: Apakah ciri bakat yang dikemukakan Nada sehingga berjaya menawan hati ramai dan sekali gus mengangkatnya sebagai pemenang?

Jika kita meneliti, ia tidak hanya terletak pada kemerduan suara, kebolehan menari dan kreativiti tetapi juga semangat juang serta kemampuan untuk menghindarkan diri daripada gangguan dan desakan luaran. Inilah tahap disiplin kental dalam menentukan jatuh bangun seseorang.

Apakah sebenarnya makna pertandingan seperti Anugerah kepada dunia seni Melayu Singapura?

Jawapannya terletak pada namanya sendiri – anugerah.

Dari segi bahasa, anugerah bermakna hadiah atau ganjaran. Selain itu, ia juga bermakna kurniaan dan penghormatan.

Jadinya, kemenangan yang dikecapi adalah satu anugerah, sedang bakat pula merupakan kurniaan daripada Ilahi dan anugerah yang cukup besar.
Related article image
Anugerah 2026 menyerlahkan bakat-bakat baru seni hiburan Melayu Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Di sinilah titik tolak Anugerah 2026, edisi ke-12 pertandingan adu bakat berprestij Mediacorp bagi mengetengahkan bakat-bakat baharu seni hiburan Melayu Singapura.

Meskipun Singapura dianggap negara kecil sekangkang kera tetapi percayalah, republik ini tidak kekontangan bakat.

Berduyun-duyun anak Melayu Singapura memasuki gelanggang sejagat dan meraih tempat teratas, jika pun bukan tempat pertama – daripada silat ke mendayung, daripada angkat berat hingga dunia profesional dan hiburan.

Orang Melayu Singapura tidak tandus bakat.

Sejarah sudah membuktikannya, apatah lagi dalam dunia muzik.

Anita Sarawak pernah membina nama sebagai penghibur merentas sempadan, dari Singapura ke Amerika Syarikat.

M Nasir menjadi antara pemuzik, pencipta lagu dan biduan paling berpengaruh.

Ramli Sarip membina identiti yang begitu tersendiri sehingga suara dan gayanya sukar ditiru.

Jatt Ali pula dikenali sebagai vokalis Black Dog Bone, kumpulan gitar rancak yang mencipta nama jauh melampaui Singapura.
Tambah nama seperti Hady Mirza, yang pernah muncul juara Asian Idol, dan Iskandar Ismail – naib juara Anugerah 2001 yang lebih dua dekad kemudian dinobatkan juara Gegar Vaganza 12 pada 2026 – cukup bukti bahawa saiz negara bukan ukuran sejauh mana bakat kita boleh dikembangkan.

Malah, perjalanan Iskandar memberikan satu pengajaran yang sangat relevan kepada generasi Anugerah hari ini.

Kekalahan dalam sebuah pertandingan tidak menentukan kesudahan kerjaya, sebagaimana kemenangan juga tidak menjamin seseorang akan terus menjadi bintang.

Menariknya, ada satu persamaan penting di sebalik nama-nama tersebut.

Mereka berjaya bukan kerana bakat semata-mata.

BAKAT TIDAK PERNAH MENCUKUPI

Anugerah 2026 memperlihatkan perkara itu dengan cukup jelas. Lima finalis membawa suara, gaya dan keperibadian berbeza.

Pada malam akhir, mereka bukan sekadar menyanyi. Mereka diuji melalui persembahan solo, duet bersama alumni Anugerah dan akhirnya, bagi Nada dan Farras Qushayyi, pusingan “face off” atau ‘bersemuka’.
Related article image
Nada Fitri (kanan) dan Farras Qushayyi. (Gambar: Mediacorp)
Juri Hady Mirza menyifatkan suara Nada sebagai unik. Beliau turut menekankan satu ciri lain – sifat versatil atau serba boleh. Malah, setelah melalui 10 episod, Nada masih mampu mempertahankan mutu vokal dan persembahan meskipun berdepan keletihan.

Di situlah letaknya perbezaan antara mempunyai bakat dengan mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mengembangkan bakat tersebut.

Keupayaan ialah apa yang seseorang boleh lakukan.

Kemampuan pula ialah sejauh mana seseorang mampu terus melakukannya apabila tekanan meningkat, persaingan menjadi lebih sengit dan tuntutan semakin berat.

Seorang penyanyi mungkin mempunyai suara luar biasa tetapi bolehkah dia menyampaikan pelbagai jenis lagu mengikut langgamnya?

Bolehkah dia menerima kritikan dan memperbaiki kelemahan?

Bolehkah dia berfungsi di bawah tekanan?

Bolehkah dia bangkit selepas persembahan yang kurang menjadi?

Tidak kurang penting: adakah dia memahami apa yang diperlukan untuk menjadi berbeza?

Dalam industri hiburan hari ini, menjadi “bagus” belum tentu mencukupi.

Menjadi juara juga belum bererti seseorang sudah menjadi bintang.

NADA: IMPIAN YANG TIDAK PADAM

Sebab itulah kisah Nada menarik perhatian.

Kemenangannya tidak bermula di pentas akhir Anugerah 2026 tetapi jauh lebih awal.

Pada usia muda, beliau sudah berani mencuba nasib dalam D'Academy di Indonesia. Pengalaman itu memberikan gambaran bahawa cita-cita menjadi penyanyi bukan sesuatu yang baru tumbuh dalam dirinya.

Bertahun-tahun kemudian, beliau kembali ke pentas pertandingan dalam keadaan kehidupan yang sudah jauh berubah, ketika dirinya sudah bergelar ibu dua anak.

Sepanjang Anugerah, cabarannya bukan sahaja menghafal lagu, menghadiri latihan atau memastikan persembahan vokalnya mencapai tahap yang dikehendaki. Beliau juga perlu meninggalkan anak-anak untuk latihan dan rakaman.

Inilah bahagian dunia hiburan yang jarang kelihatan apabila lampu pentas dinyalakan.

Kita melihat tiga atau empat minit persembahan. Kita tidak melihat berpuluh-puluh jam latihan di belakangnya. Kita tidak melihat perjalanan berulang-alik, kegelisahan, pengorbanan keluarga atau dilema seorang ibu yang perlu meninggalkan anak demi mengejar sesuatu yang sudah lama menjadi impiannya.

Maka apabila Nada berkata kemenangan itu merupakan “hadiah hari jadi yang terbaik”, ungkapan itu membawa makna lebih besar daripada sebuah trofi.
Related article image
Nada Fitri dinobatkan sebagai juara Anugerah 2026. (Gambar: Mediacorp)
FARRAS: MENANG TANPA MENJADI JUARA

Kisah Farras Qushayyi pula datang sudut berbeza.

Anak kelahiran Batam berusia 28 tahun itu membina kehidupan di Singapura selepas berkahwin dengan warga Singapura.

Beliau berpindah ke sini pada 2022 setelah meninggalkan kerjaya nyanyiannya di Batam untuk membina rumah tangga.

Sepanjang pertandingan, beliau mendapat sokongan kuat daripada keluarga di Batam dan Singapura.

Satu hal yang mengujakan, Farras mampu menawan hati khalayak di sini.
Related article image
Naib juara Anugerah 2026 Farras Qushayyi turut memenangi Anugerah Bintang Paling Popular PropNex. (Gambar: Mediacorp)
Undian online yang tinggi dan kemenangannya bagi Anugerah Bintang Paling Popular PropNex menunjukkan sesuatu yang tidak dapat diukur melalui keupayaan vokal semata-mata.

Meskipun tidak muncul sebagai juara utama, beliau beroleh sesuatu yang amat bernilai bagi seorang penghibur: penerimaan khalayak.

Dalam erti kata lain, walau tewas dia tetap menang.

Kisah Farras mengingatkan kita bahawa identiti seni Singapura tidak semestinya ditentukan oleh tempat seseorang dilahirkan.

Seperti Nada, penerimaan yang dinikmati Farras sekarang juga bukan jaminan bahawa namanya akan terus bertahan. Populariti boleh membuka pintu tetapi disiplin, kerja keras dan kesediaan merebut peluang akan menentukan letak duduknya dalam industri.

MENANG SELEPAS PERTANDINGAN

Ukuran sebenar kejayaan Anugerah 2026 bukan siapa yang menjulang piala pada malam penentuan tetapi apa berlaku setelah tirai dilabuhkan dan hadirin beransur pulang.

Apakah kita akan dapat menikmati lagu dan gubahan asli yang didendangkan Nada, Farras, Alfan Ryan, Izzan Adlan dan BANIE selepas ini?

Ini yang perlu kita soroti kerana zaman ini melahirkan penyanyi yang dikenali hanya menerusi sebuah lagu atau “one-hit wonder”, selain mereka yang mencipta nama dengan menyanyikan semula lagu-lagu popular.

Ditambah dengan adanya AI, sesiapa sahaja boleh hasilkan lagu lengkap dengan suara penyanyi. Tak percaya? Tanya Suno.

Kita merindui kecemerlangan penyanyi tersohor tanah air seperti Sanisah Huri, Rafeah Buang dan Jatt Ali yang menghasilkan banyak lagu popular dan malar segar, sebahagiannya masih dinikmati hingga hari ini.

Sememangnya, kita kadangkala terlalu ghairah mencari “bintang baharu”, sedangkan cabaran lebih besar ialah membina persekitaran yang membolehkan bakat baharu berkembang dan digilap sehingga benar-benar menjadi bintang.

Di sinilah kisah Iskandar Ismail sekali lagi wajar direnungkan. Lebih dua dekad selepas muncul naib juara Anugerah 2001, Iskandar terus melayari arena seni suara sebelum akhirnya menjuarai Gegar Vaganza 12.
Related article image
Iskandar Ismail merupakan juara Gegar Vaganza 12. (Gambar: BERITA Mediacorp/Aqil Ezat)
Perjalanan panjang seperti itu tidak dibina dengan bakat sahaja. Ia memerlukan disiplin untuk terus bekerja ketika perhatian sudah beralih kepada orang lain, kreativiti untuk berkembang, kesediaan memperbaiki kelemahan dan kebijaksanaan memahami apa yang membuat seseorang penyanyi berbeza.

Anita Sarawak, M Nasir, Ramli Sarip, Jatt Ali, Hady Mirza dan Iskandar Ismail melalui zaman dan jalan yang berbeza.

Tidak semua membina kerjaya sepenuhnya di Singapura. Sebahagian daripada mereka melihat rantau ini sebagai pentas yang lebih luas.

Jadi, anak seni Singapura tidak harus melihat keluasan geografi negara sebagai sempadan yang menghambat cita-cita mereka.

Ingat kata orang lama, kerja keras penting tetapi bekerja dengan bijak pun sama penting.

Nada membawa kisah seorang wanita yang sejak usia muda mengejar impian menjadi penyanyi, kemudian menjadi ibu sebelum kembali mengejar cita-citanya.

Farras membawa kisah seorang anak Batam yang mencuba nasib di Singapura dan akhirnya mendapat tempat di hati ramai di sini.

Dua perjalanan berbeza tetapi mencapai kejayaan di pentas yang sama.

AKHIR KATA

Anugerah telah melakukan tugas pertamanya – mencari dan mengetengahkan mereka.

Kini, bagi Nada, Farras dan peserta lain, cabarannya ialah membuktikan kehadiran mereka bukan sekadar asal ada.
Related article image
Para finalis Anugerah 2026. (Gambar: Mediacorp)
Mereka perlu mempunyai disiplin untuk terus mengasah bakat, menghasilkan karya, membina identiti dan merebut peluang untuk melangkah ke pentas lebih besar.

Bagi industri pula, cabarannya ialah menyediakan peluang supaya bakat yang sudah ditemukan dapat berkembang dan menjadi permata kesayangan ramai.

Menang pertandingan mungkin membuka pintu.

Menjadi bintang memerlukan perjalanan yang jauh lebih panjang.

Bakat yang ada tidak harus dibiarkan terpendam.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Chairul Fahmy Hussaini ialah mantan wartawan di Singapura dengan pengalaman lebih dua dekad.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita